SHAH ALAM - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa pihaknya mengenal pasti terdapat 54,000 daftar pemilih meragukan di seluruh negara menjelang pemilihan parti itu bagi penggal tahun 2022-2025.
Berikutan itu, bekas Naib Presiden PKR tersebut menyatakan sudah menghantar surat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada 12 April lalu dan menggesa jawatankuasa itu mengambil langkah memastikan anggota parti yang tersenarai dalam kelompok berkenaan tidak dibenarkan mengundi secara terbuka.
Jelas beliau, perkara itu dikenal pasti pihaknya menerusi penemuan senarai data yang melibatkan 1,500 nama daftar pemilih yang didaftarkan hanya bersandarkan satu nombor telefon semata-mata.
"Apabila pasukan kami menelefon sebahagian anggota PKR didaftarkan menerusi satu nombor telefon berkenaan, mereka sendiri tidak menyedari sudah didaftarkan sebagai ahli parti.
"Selain itu, terdapat juga pendaftaran keahlian parti yang tidak bersertakan nombor kad pengenalan yang betul dan isu keahlian ragu disebabkan anggota parti lain yang dibawa masuk menjadi ahli PKR. Ini kerana proses pendaftaran keahlian parti hanya memerlukan nama dan kad pengenalan diri.
"Perkara-perkara ini telah dibawa kepada JPP dan saya berharap JPP mengambil langkah memastikan bahawa kesemua senarai daftar pemilih ragu ini tidak dibenarkan mengundi secara terbuka seperti anggota-anggota lain," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Rafizi berkata demikian bagi mengulas sama ada beliau berpuas hati dengan proses perjalanan pemilihan PKR pada kali ini susulan pihaknya bakal bertembung dengan bekas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.
Pada pemilihan PKR tahun 2018, Rafizi turut bertanding jawatan sama dan menentang Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini keluar PKR dan menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN), bagaimanapun beliau tewas.
Bagaimanapun, Rafizi mendakwa kekalahan beliau ketika itu disebabkan sejumlah 20,000 undi yang 'tersangkut' dan tidak dikira JPP.
Di sebalik penemuan mengejutkan itu, Rafizi mengakui pihaknya berpuas hati dengan kesungguhan JPP PKR diketuai Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan beliau.
JPP AKUI SUDAH TERIMA ADUAN
Sementara itu, Zaliha sewaktu dihubungi mengesahkan pihaknya sudah maklum mengenai aduan dikemukakan Rafizi dengan perkara itu sudah dibentangkan dalam Majlis Perwakilan Pusat (MPP).
Jelas beliau, pihaknya juga sudah mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk berdepan dengan undi daftar pemilih ragu.
"Setakat mana jumlah daftar pemilih yang disahkan benar-benar meragukan, itu saya kena rujuk semula kepada data yang kita simpan dan kenal pasti.
"Apa yang pasti, kita akan memastikan tahap kawalan keselamatan sewaktu pemilihan PKR diperketatkan bagi mengelakkan mana-mana ahli yang diragui keahlian hadir mengundi," ujarnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca