SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN yang bertujuan menangani ketidakstabilan di Myanmar adalah permulaan yang baik walaupun percubaan untuk melaksanakannya gagal, kata bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar.
Menurut beliau, 5PC yang dilakukan oleh sembilan pemimpin ASEAN dan telah dipersetujui Ketua Junta Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing adalah untuk menamatkan pencabulan hak asasi manusia di Myanmar.
"Dalam ASEAN sendiri, saya boleh katakan Myanmar cukup sensitif tentang kuasa barat atau Amerika Syarikat memberitahu mereka apa yang perlu dilakukan. Adalah lebih baik untuk ASEAN mengendalikan mereka.
"Saya rasa konsensus lima perkara yang dibincangkan oleh pemimpin ASEAN adalah permulaan yang baik walaupun masih belum berjaya di Myanmar.
"Kita perlu menangani perkara ini dan saya tidak tahu sama ada mereka akan berubah atau tidak. Tetapi ASEAN mesti melakukan sesuatu yang lebih drastik dan radikal iaitu secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjadi panelis dalam Wacana English bertajuk Cabaran Global dalam Dunia Multipolar anjuran Sinar Daily pada Isnin.
Ia merupakan pertama kali dalam sejarah apabila portal bahasa Inggeris Kumpulan Sinar Karangkraf, Sinar Daily (www.sinardaily.my) menganjurkan satu program Wacana Edisi Inggeris yang melibatkan wakil-wakil dari negara EU untuk membicarakan isu global.
Turut hadir selaku panelis, Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas dan Profesor Ekonomi, Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Rajah Rasiah manakala Dr Rahul Mishra sebagai moderator.
Perwakilan lain yang juga hadir, Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Peter Blomeyer; Duta Besar Hungary, Dr Petra Ponevacs; Duta Poland, Krzysztof Debnicki; Duta Besar Austria, Andreas Launer; Duta Besar Finland, Sami Leino dan Duta Besar Romania, Nineta Barbulescu.
Selain itu, Duta Besar Ireland, Hilary Reilly; Timbalan Ketua Misi Itali, Pietro Tombaccini; Timbalan Ketua Misi Sweden, Ola Pihlblad dan Timbalan Ketua Misi Sepanyol, Santiago Lozano.
Turut sama, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob; Pengarah Eksekutif Kumpulan Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi; Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman.
Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, Malaysia memerlukan lebih ramai pihak dari negara lain untuk menyuarakan mengenai perkara itu.
"ASEAN perlu lakukan lebih banyak lagi seperti Malaysia yang sentiasa menyuarakan apa yang patut dilakukan.
"Kami memerlukan lebih ramai rakan dari negara lain untuk bercakap berkenaan perkara ini bersama kami," tambahnya.
Pada sidang kemuncak di Jakarta pada 24 April 2021, sembilan pemimpin ASEAN dan Ketua Junta Myanmar, Min Aung Hlaing bersetuju dengan lima perkara yang dibincangkan.
Perkara tersebut adalah menamatkan keganasan di negara itu dengan serta-merta, dialog antara semua pihak, pelantikan utusan khas, bantuan kemanusiaan oleh ASEAN dan lawatan utusan khas ke Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak.
Bagaimanapun, junta membatalkan pengesahan dua hari selepas perjanjian konsensus dan mengumumkan ia akan mempertimbangkan cadangan yang dibuat apabila keadaan kembali stabil.
Myanmar bergolak sejak 1 Februari tahun lalu apabila ketua angkatan tentera Jeneral Min Aung Hlaing menggulingkan kerajaan pilihan rakyat yang dipimpin Aung San Suu Kyi dengan lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pergolakan itu.
Pelbagai jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang berlaku termasuklah pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan, penangkapan sewenang-wenangnya, dan serangan terhadap orang awam.
Klik di sini untuk terus membaca