SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Pandemik Covid-19, peperangan di antara Rusia dan Ukraine serta perubahan iklim merupakan tiga cabaran utama global dalam dunia multipolar.
Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Peter Blomeyer berkata, wabak Covid-19 telah menyebabkan kemerosotan besar dalam sektor ekonomi seluruh dunia dan menyaksikan bagaimana ia telah memisahkan golongan miskin serta kaya.
Menurut beliau, masyarakat perlu bersama-sama bagi mengharungi cabaran global itu dan tidak mengorbankan satu sama lain serta terbukti mampu menangani pandemik ini apabila vaksin dibangunkan dan dieksport ke negara lain.
"Kesatuan Eropah (EU) telah membangunkan vaksin dan separuh daripadanya dieksport," katanya dalam ucaptama Wacana English bertajuk Cabaran Global dalam Dunia Multipolar anjuran Sinar Daily pada Isnin.
Ia merupakan pertama kali dalam sejarah apabila Portal bahasa Inggeris Kumpulan Sinar Karangkraf, Sinar Daily menganjurkan satu program Wacana Edisi Inggeris yang melibatkan wakil-wakil dari negara EU untuk membicarakan isu global.
9 Mei merupakan Hari kesatuan Eropah iaitu sebuah perayaan tahunan bagi meraikan keamanan dan penyatuan di Eropah malah dikenali sebagai Hari Schuman.
Untuk rekod, EU telah diwujudkan oleh Perjanjian Maastricht pada 1 November 1993 dan ia adalah kesatuan politik serta ekonomi antara negara-negara Eropah yang membuat dasarnya sendiri mengenai ekonomi, masyarakat, undang-undang dan tahap keselamatan ahli.
Turut hadir selaku panelis, Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas dan Profesor Ekonomi, Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Rajah Rasiah manakala Dr Rahul Mishra sebagai moderator.
Perwakilan lain itu adalah Duta Besar Jerman, Dr Peter Blomeyer, Duta Besar Hungary, Dr Petra Ponevacs; Duta Poland, Krzysztof Debnicki; Duta Besar Austria, Andreas Launer; Duta Besar Finland, Sami Leino dan Duta Besar Romania, Nineta Barbulescu.
Selain itu, Duta Besar Ireland, Hilary Reilly; Timbalan Ketua Misi dari Itali, Pietro Tombaccini; Timbalan Ketua Misi dari Sweden, Ola Pihlblad dan Timbalan Ketua Misi dari Sepanyol, Santiago Lozano.
Turut sama, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob; Pengarah Eksekutif Kumpulan Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi; Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman.
Mengulas lanjut, Blomeyer berkata, ketika dunia melangkah keluar dari bayang-bayang pandemik dengan harapan untuk menumpukan perhatian dalam memulihkan kesukaran ekonomi dan sosial, satu lagi cabaran global muncul iaitu perang pencerobohan di Ukraine oleh Rusia.
Menurutnya, tidak seperti wabak Covid-19, perang adalah malapetaka buatan manusia dan ia merupakan tamparan hebat kepada undang-undang antarabangsa dan sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Berpuluh-puluh ribu maut, lebih ramai cedera dan antara mereka adalah kanak-kanak yang trauma akibat terlalu ramai kehilangan nyawa termasuk ibu bapa mereka," katanya.
Beliau berkata, lelaki dan wanita di Ukraine terpaksa meninggalkan kehidupan mereka untuk berjuang demi negara sehingga sanggup menggadaikan nyawa sendiri.
"Ini tidak termasuk kemusnahan bandar, infrastruktur dan warisan budaya di negara ini. 141 negara termasuk Malaysia dan tujuh negara anggota ASEAN lain telah mengutuk perang pencerobohan Rusia.
"Rusia juga telah dikecualikan daripada majlis hak asasi manusia tetapi mereka masih dalam majlis keselamatan," katanya.
Tambah beliau, peperangan itu telah menyebabkan ancaman besar kepada keselamatan makanan di seluruh dunia kerana Ukraine adalah salah satu pengeksport terbesar gandum dan keperluan makanan lain.
Blomeyer berkata, ia juga telah menyebabkan dunia mengalami kesusutan nilai dengan kadar inflasi yang melambung tinggi seperti yang dapat dilihat iaitu lonjakan harga makanan dan minyak.
"Bagaimana reaksi dunia multipolar terhadap perkara ini, siapakah pelakon dalam dunia multipolar? Lima ahli tetap majlis PBB? Negara yang memiliki senjata nuklear, negara yang mempunyai keluaran dalam negara kasar (KDNK) tertinggi? Syarikat multinasional? pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa? Bagaimanakah kriteria ini berkaitan dengan cabaran global?” soalnya.
Mengulas lanjut, Blomeyer berkata, satu lagi cabaran global yang dihadapi di seluruh dunia adalah perubahan iklim yang berpotensi memusnahkan bumi ini.
"Perubahan iklim bukan sahaja datang tetapi ia sudah pun berlaku. Kita mengalami hujan yang semakin lebat menyebabkan tanah runtuh. Kita mengalami kemarau dan gelombang panas seperti di India sekarang.
"Kita mengalami perubahan corak cuaca dan kita mempunyai enam gelombang besar kepupusan spesis yang mana lebih cepat dari sebelumnya," tambahnya.
Katanya, alam sekitar bakal dimusnahkan oleh perindustrian yang berterusan, pertambahan penduduk dan eksploitasi sumber semula jadi.
Tambah beliau, Jerman menyasarkan untuk menjadi neutral karbon menjelang 2045 manakala Eropah dan Malaysia menjelang 2050, namun dengan melihat peningkatan pelepasan, sukar untuk membaik pulih keadaan.
Klik di sini untuk terus membaca