PRESIDEN Filipina ke-16, Rodrigo Duterte yang terkenal dengan sikapnya yang bermulut lancang dan 'perang' ganas terhadap dadah akan menamatkan penggal pemerintahannya sebagai pemimpin negara itu pada Jun depan. Duterte, 77, merupakan bekas... Klik di sini untuk terus membaca

PRESIDEN Filipina ke-16, Rodrigo Duterte yang terkenal dengan sikapnya yang bermulut lancang dan 'perang' ganas terhadap dadah akan menamatkan penggal pemerintahannya sebagai pemimpin negara itu pada Jun depan.

Duterte, 77, merupakan bekas Datuk Bandar Davao iaitu bandar raya kedua terbesar di Filipina tetapi paling besar di Pulau Mindanao yang dihuni oleh majoriti penduduk Muslim di negara itu dari tahun 2013 hingga 2016.

Beliau sendiri dibesarkan di rantau Mindanao sejak usia muda dan pernah mengaku bahawa nenek moyangnya merupakan penganut agama Islam semasa berucap pada tahun 2019.

Beliau mula menjadi Presiden pada 30 Jun 2016 untuk tempoh enam tahun.

Duterte yang pernah menjadi anggota Dewan Perwakilan Filipina dan bekas pendakwa raya menggantikan Benigno Aquino III yang menjadi Presiden negara tersebut dari 30 Jun 2010 hingga 30 Jun 2016.

Bagaimanapun, Duterte kali ini tidak bertanding dalam pilihan raya Presiden Filipina kerana undang-undang negara berkenaan menetapkan pemegang jawatan itu perlu berkhidmat hanya selama satu penggal sahaja.

Ketika memerintah, kempennya bagi memerangi pengedaran dadah amat terkenal di peringkat antarabangsa sehingga beliau dikecam kerana lebih 6,000 orang disyaki terlibat dengan aktiviti dadah termasuk pengedarnya mati ditembak dalam operasi polis.

MASIH GAGAL PERANGI DADAH

Bagaimanapun, pertubuhan hak asasi manusia menganggarkan kematian akibat perang terhadap dadah itu adalah lebih 26,000 orang sehingga menyebabkan satu siasatan dilakukan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap penyalahgunaan kuasa kerajaan Filipina

Namun, ICC telah menangguhkan sementara siasatannya terhadap dakwaan jenayah kemanusiaan yang dilakukan dalam perang Duterte terhadap dadah selepas Filipina meminta pendakwa raya mahkamah tersebut untuk menangguhkan siasatan berkaitan pembunuhan dalam perang bagi memerangi dadah semasa pemerintahan Duterte.

Walaupun begitu, pada 28 April lalu, ketika berucap dalam satu majlis di Cebu, Presiden itu mengaku kesilapannya ketika menyatakan bahawa beliau akan mengatasi masalah dadah dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas dipilih menjadi pemimpin No.1 Filpina.

Menceritakan kembali tentang perangnya itu, beliau menyedari betapa mendalamnya masalah tersebut semasa mengetahui bahawa enam jeneral dalam pasukan polis disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Persoalan kini timbul adakah kempen bagi memerangi dadah itu akan diteruskan oleh Presiden baharu Filipina?

Sesuai dengan latar belakangnya yang pernah menjadi Datuk Bandar Davao di Mindanao, beliau juga menandatangi undang-undang bagi memberi lebih banyak kuasa autonomi kepada pulau tersebut pada tahun 2019.

Undang-Undang Organik Bangsamoro yang ditandatangani Duterte itu akan mewujudkan kawalan tempatan di rantau tersebut yang lebih besar, peningkatan pembiayaan kerajaan dan Mindanao akan memperoleh bahagian hasil yang lebih besar daripada sumber aslinya termasuk bahan api fosilnya.

Wilayah Mindanao mendapat lebih banyak autonomi ketika Rodrigo Duterte menjadi Presiden. - Foto AFP

Sebagai pertukaran, kumpulan pemisah Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akan melucutkan senjata kira-kira 30,000 anggota pejuangnya dan ia merupakan langkah kerajaan Filipina untuk menamatkan pertelingkahan dan pertempuran selama setengah

abad yang telah menyebabkan seramai 120,000 orang terkorban.

Duterte juga pernah membuat ucapan yang mengejutkan apabila mendedahkan beliau bukannya seorang Kristian Katholik tetapi menyatakan sebahagian dirinya ialah Islam.

Beliau juga mengucapkan perkataan insya-ALLAH dan ALLAHU Akbar ketika berucap dalam perhimpunan aman untuk meratifikasikan Undang-Undang Organik Bangsamoro di Bandar Cotabato, Mindanao pada tahun 2019.

Ketika memegang jawatan, Duterte telah mengarahkan tentera dan pasukan polis untuk menamatkan dan membunuh semua pemberontak komunis di negara itu dan pernah menyatakan beliau sanggup masuk penjara kerana membuat arahan sedemikian.

Pemberontak komunis telah memerangi kerajaan di Filipina sejak tahun 1968 dan menurut tentera, pemberontakan itu telah meragut lebih 30,000 nyawa dalam tempoh lebih 50 tahun.

Duterte pernah mengumumkan penamatan rundingan damai kerajaan dengan pemberontak komunis pada Mac 2019 di tengah-tengah dakwaan serangan komunis terhadap tentera kerajaan semasa rundingan diadakan antara kedua-dua pihak.

Baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa terpulang kepada Presiden baru Filipina sama ada untuk meneruskan rundingan damai dengan parti komunis.

LAWAN SABUNG AYAM

Satu lagi pendekatannya yang mendapat perhatian ramai di Filipina ialah apabila beliau baru-baru ini menyatakan akan mengarahkan penamatan e-sabong iaitu laga awam sabung kerana kesan perjudian yang negatif terhadap rakyat Filipina walaupun

kerajaan boleh menikmati hasil berbilion-bilion peso daripadanya.

Dari segi dasar luar, pada Oktober 2016 iaitu empat bulan selepas memegang jawatan, beliau mengumumkan perubahan mendadak dalam dasar Manila terhadap China dengan menjadikan Filipina sebagai pro-Beijing.

Duterte yang pernah menggelarkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sebagai anak perempuan jalang sehingga Obama membatalkan pertemuan dengannya pada tahun 2016.

Beliau juga tidak menyokong Perang Ukraine.

Sebaliknya, Duterte pernah menyatakan bahawa beliau membunuh penjenayah dadah dan tidak seperti Presiden Rusia, Vladimir Putin yang 'membunuh' kanak-kanak, wanita dan orang tua ekoran negara tersebut menyerang Ukraine.

Walau apa pun, Duterte baru-baru ini berharap Presiden baharu yang dipilih bagi menggantikannya akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik berbanding dirinya.

Persoalannya dengan keputusan tidak rasmi pengundian rakyat Filipina menyaksikan, anak pemimpin diktator, Ferdinand Marcos Jr menang besar, adakah Filipina akan terus bersinar atau sebaliknya? - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca