SHAH ALAM - Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambros memberi gambaran jelas bahawa kerjasama antara parti itu dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang mungkin tidak diteruskan.
Noor Azleen berkata, perkara itu berdasarkan penilaian pada beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti di Johor dan Melaka yang berlaku selepas PRU14.
"Apa yang bakal berlaku dalam PRU15 nanti dapat disaksikan menerusi siri PRN sebelum ini. Contohnya di Melaka, UMNO cuba buka pintu rundingan dengan Pas untuk bertanding guna bendera sendiri, namun tidak disambut baik. Begitu juga di Johor yang ketika itu cubaan berunding jumlah kerusi tidak diterjemahkan dalam bentuk diharapkan.
"Justeru perkara itu memberi gambaran tentang apa yang akan berlaku pada PRU15 nanti dan kita tahu indikator utama apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) nak berdepan dengan pilihan raya adalah soal pembahagian kerusi," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar Edisi 343 bertajuk 'Hubungan UMNO-Pas Hampir Musnah' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis adalah penganalisis politik, Mujibu Abd Muis dan Profesor Dr Mohd Aizuddin Mohd Sani manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Mengulas perkara itu, Noor Azleen yang juga Ketua Pemuda BN Pasir Gudang berkata, setakat ini ahli di peringkat akar umbi tidak mendapat sebarang maklumat daripada pimpinan tertinggi parti berkenaan mengenai kerjasama dalam MN, mahupun rundingan kerusi bersama Pas.
Justeru katanya, perkara tersebut memberi isyarat jelas bahawa akan berlaku pertembungan tiga penjuru melibatkan UMNO-BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU akan datang.
Sementara itu mengulas mengenai pendirian di peringkat akar umbi, Noor Azleen berkata, terdapat perbezaaan pandangan di kalangan ahli Pas ekoran sesetengah pemimpin parti itu yang bertindak secara agresif memastikan PN menang pada PRN Johor lalu menerusi penglibatan dalam kempen, ceramah dan pemasangan poster.
"Namun ada juga sebahagian pimpinan akar umbi Pas mengambil pendekatan tidak ambil peduli, khususnya ahli yang agak berumur yang dilihat tidak selesa dengan PN.
"Golongan ini hanya dengar pandangan pemimpin PN, namun tidak mahu terlibat secara agresif, berbanding yang lebih muda dan pro Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bersungguh-sungguh memenangkan PN," ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca