KEMENANGAN besar Ferdinand Marcos Jr atau lebih dikenali sebagai ‘Bongbong’ dalam persaingan Pilihan Raya Presiden Filipina pada Isnin sekali gus menghidupkan kembali legasi nama keluarga Marcos setelah hampir 36 tahun tersingkir.
Bongbong, 64, merupakan anak lelaki tunggal mendiang Ferdinand Marcos Sr, bekas Presiden Filipina dari tahun 1966 sebelum rejim diktator itu ditumbangkan menerusi revolusi kebangkitan rakyat diberi nama ‘People Power’ pada tahun 1986.
Marcos Sr dan ahli keluarganya kemudian terpaksa hidup dalam buangan di Honolulu, Hawaii sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 1989 di usia 72 tahun.
Keluarga Marcos kemudian dibenarkan pulang ke Filipina dan kembali aktif berpolitik sekali gus mengekalkan pengaruh dan kuasa keluarga mereka menerusi kekayaan dan hubungan luas.
MASIH SETIA
Berbalik kepada kemenangan Bongbong menewaskan pesaing beliau, Leni Robredo dengan kiraan awal tidak rasmi yang mencecah hampir 30 juta undi, ternyata mencerminkan satu hakikat yang tidak dapat disangkal.
Hampir pasti, rakyat Filipina masih ‘setia’ dengan jenama Marcos untuk mentadbir negara itu walaupun diketahui umum beliau berasal daripada keluarga berprofil tinggi yang pernah terpalit pelbagai kontroversi dan skandal yang menjadi perhatian dunia.
Tidak cukup Marcos Sr dikenali sebagai pemimpin korup yang ‘merompak’ daripada rakyat dan negaranya sendiri, isteri beliau juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya menempa populariti sebagai Wanita Pertama negara itu yang gemar berbelanja mewah dan boros.
Namun segala kepincangan keluarga Marcos seolah-olah tidak memberi kesan terhadap undi rakyat dalam memilih Bongbong sebagai Presiden baharu Filipina bagi menggantikan Rodrigo Duterte yang bakal menamatkan penggal pemerintahan pada bulan Jun.
Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berpandangan, pengaruh keluarga Marcos masih menebal dalam sebahagian besar rakyat Filipina dan secara tidak langsung menyumbang kepada kemenangan Bongbong.
"Walaupun berasal daripada keluarga yang dicemari pelbagai reputasi buruk sebelum ini, rakyat Filipina masih memilih untuk menyokong Marcos Jr berikutan pengaruh nama Marcos itu yang dilihat masih kuat,” kata Ahmad Marthada kepada Sinar Premium pada Selasa.
Katanya lagi, sepertimana ibunya Imelda yang pernah menjadi anggota kongres selama empat penggal, Bongbong juga pernah bergelar gabenor, anggota kongres dan senator. Menariknya, Bongbong dilihat tidak dihimpit banyak kontroversi atau isu panas sepertimana ibu bapa beliau.
"Walaupun tidak mempunyai manifesto spesifik dalam mendepani saingan Pilihan Raya Presiden Filipina namun imej bersih Bongbong ditambah gandingan bersama anak Duterte, Sara Duterte-Carpio yang bertanding jawatan Naib Presiden telah banyak membantu Bongbong meraih sokongan pengundi muda terutama di kawasan luar bandar,” katanya lagi.
Tambah beliau, kemenangan Bongbong juga disebabkan pengaruh media sosial yang banyak mendekatkan beliau dengan golongan muda negara itu.
"Kebanyakan generasi muda yang lahir selepas zaman revolusi menentang rejim Marcos tidak mempunyai sentimen dendam dan pada masa sama bersikap lebih terbuka,” ujarnya.
KELUARGA BERPENGARUH
Ditanya apakah cerminan di sebalik keputusan pilihan raya Presiden Filipina itu terhadap senario di Malaysia yang bakal berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi, Ahmad Marthada berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian pemimpin politik di negara ini.
"Antaranya, penggunaan media sosial dengan berhemah dalam menyampaikan aspirasi politik dan penampilan calon yang mempunyai imej bersih serta berkaliber adalah kunci kepada memenangi hati para pengundi pada PRU15 kelak,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa UUM, Profesor Dr Muhammad Fuad Othman berkata, salasilah keluarga yang penuh kontroversi bukan batu penghalang untuk Bongbong menang sebaliknya kepercayaan rakyat terhadap keupayaan beliau adalah lebih penting.
"Di sebelah pihak mungkin ada yang tidak suka kepada legasi Marcos, namun ada pihak yang mungkin masih setia dan menghargai keluarga Marcos. Jadinya dalam kes ini, memiliki salasilah keluarga yang berpengaruh merupakan satu kelebihan buat Bongbong.
"Selain itu mungkin rakyat Filipina melihat keupayaan Bongbong untuk memenuhi apa yang dijanjikan,” ujar Muhammad Fuad.
Tambah beliau lagi, dalam mana-mana persaingan pilihan raya perkara paling utama adalah persepsi dan kepercayaan rakyat.
"Akhirnya semua bergantung kepada persepsi rakyat, kalau misalnya dapat mengasingkan masalah peribadi dengan keupayaan untuk melunaskan janji politik maka rakyat akan memilih keupayaan itu.
"Rakyat akan memilih pihak yang boleh memenuhi keperluan dan memberikan mereka kehidupan lebih baik walaupun ada sedikit kepincangan di sana sini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca