HARI yang dinanti-nantikan sudah tiba, hari ini pada jam 3 petang, Datuk Seri Saifuddin Nasustion akan bersemuka dengan Rafizi Ramli di pentas Sinar Harian.
Kata orang, bertemu buku dengan ruas. Sama hebat sama gagah, sama-sama nak jadi Timbalan Presiden PKR.
Awang nak ucapkan syabas kepada mereka berdua yang berani bersemuka. Sama ada langkah itu baik atau tidak untuk parti mereka, Awang tak berani komen. Tapi tentulah baik untuk tujuan dialog terbuka buat mereka berdua.
Banyak yang mengatakan pertandingan kali ini sama sengitnya dengan pertandingan untuk jawatan yang sama membabitkan Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi satu masa dulu.
Bezanya dulu "perang senyap”, kali ini perang terbuka di media dan di khalayak. Ada juga ahli parti yang khuatir takut pisang berbuah dua kali. Maklumlah, akan berlaku "perpecahan” yang membawa padah.
Azmin yang menang ketika itu rasa kemenangannya sia-sia oleh sebab orang yang kalah tetap mendapat kedudukan penting. Azmin pun sedar bahawa pimpinan parti tak ambil sikap berkecuali dalam pertandingan itu. Azmin keluar parti dengan kumpulannya.
Siapakah yang layak bersama Tuk Seri Anwar kali ini? Tak cukup setiakah Saifuddin? Atau cukup setiakah Rafizi? Itulah soalan yang bermain dalam fikiran ahli parti agaknya.
Selamat bersemuka kepada mereka berdua, jangan sampai menang jadi abu kalah jadi arang!
Klik di sini untuk terus membaca