"AIDILFITRI tahun depan saya nak pasang signboard besar-besar di tepi pagar.” "Nak tulis apa?” "TIDAK DIBENARKAN MENGGUNAKAN TELEFON ATAU APA-APA GAJET DI KAWASAN RUMAH INI.” Saya ketawa. "Kalau bos teringin hendak beraya sendiri atau... Klik di sini untuk terus membaca

"AIDILFITRI tahun depan saya nak pasang signboard besar-besar di tepi pagar.”

"Nak tulis apa?”

"TIDAK DIBENARKAN MENGGUNAKAN TELEFON ATAU APA-APA GAJET DI KAWASAN RUMAH INI.” Saya ketawa.

"Kalau bos teringin hendak beraya sendiri atau dengan anak isteri sahaja, cubalah pasang,” kata saya kemudian.

Saya tahu dia tidak akan pasang. Apa yang dikatakannya hanyalah luahan rasa kecewa seorang yang sentiasa prihatin terhadap apa juga perubahan berlaku di sekitarnya.

Kisah mengenai papan tanda itu ada permulaannya. Ia rentetan daripada perbualan kami sewaktu saya membawa anak isteri berkunjung ke rumahnya pada petang hari raya pertama kelmarin. Dia yang ajak. Katanya ada rendang landak. Saya tak makan landak, tapi rendangnya saya tak tolak. Hmm...

Kami berbual mengenai Aidilfitri. Bernostalgia tentang raya zaman kami kanak-kanak dahulu. Zaman masih ada kad ucap selamat hari raya, zaman budak-budak bergerak dari rumah ke rumah mengutip duit raya yang sekadar 20 sen atau 50 sen, zaman masih ada bunyi meriam kabaid, zaman berebut-rebut membuka balang kuih.

"Budak-budak sekarang dah tak tanya pasal kuih. Masuk saja ke rumah, belum duduk lagi sudah tanya password wifi,” katanya kepada saya.

Saya tidak terkejut. Ia bukan perkara baharu. Penyakit itu sudah muncul sejak lima enam tahun lalu. Bagaimanapun kebelakangan ini, berikutan liputan internet yang semakin cekap dan meluas, ditambah pula dengan meluasnya penggunaan peranti untuk mengaksesnya, penyakit itu semakin menjadi-jadi.

Bukan hanya pada hari raya, pada bila-bila masa pun, sama ada budak-budak, emak budak, bapa budak, abang budak, adik budak, masing-masing akan tenggelam dalam dunia sendiri bersama gajet di tangan.

Itulah realiti kehidupan sekarang. Kebanyakan tetamu yang datang beraya – sebenarnya apa-apa juga majlis − hanya hadir bersama jasad sedangkan fikirannya berada dalam dunianya sendiri; dunia maya. Dunia yang rajin atau malasnya, bijak atau bodohnya, ramah atau tidaknya, terletak pada jari.

SAMPUL RAYA PUN SUKAR BERTAHAN

Pada masa dahulu, hari raya menjadi tempat pertemuan untuk bertukar khabar dan berita tentang sanak-saudara dan handai-taulan. Ada suara sampuk menyampuk, ada juga gelak ketawa.

Di celah-celahnya mungkin ada bawang membawang sebagai perencah. Meriah. Sekarang ini ruang yang sendat dengan tetamu pun acap kali sunyi, kadangkala macam rumah orang mati.

Yang ada mungkin bunyi papan kekunci virtual ditekan atau bunyi ringtone yang iramanya pelbagai. Perbualan, kalaupun wujud, bukan lagi tentang saudara mara, tentang mercun dan bunga api tetapi tentang apa yang trending di media sosial atau tentang Fortnite, Minecraf, Counter-Strike, League of Legends dan seumpamanya.

Setakat tahun ini sampul duit raya masih popular. Kalau kita pegang sampul itu, mata budak-budak masih terjuling-juling memandangnya. Tetapi berapa tahun lagikah ia mampu bertahan?

Saya menjangkakan tidak lama lagi sampul angpau akan menerima nasib seperti kad ucap selamat hari raya. Akan menjadi sebahagian daripada sejarah.

Pada masa itu, duit raya tidak lagi diberikan secara tunai sebaliknya dengan kaedah imbasan kod QR. Mudah, dan yang bagusnya kaedah ini bukan sahaja boleh mengelakkan duit anak-anak tercicir, tetapi juga mengurangkan risiko ‘abah pinjam sekejap’.

Jangan berkecil hati jika kuih-muih yang disajikan tidak dijamah. Dulu-dulu orang memang jarang jumpa makanan dan minuman yang sedap-sedap.

Dapat makan kacang tumbuk sebulan sekali pun sudah terasa hebat sangat. Untuk menikmati makanan yang sedap-sedap terpaksa tunggu hari raya atau apabila ada majlis-majlis jamuan yang istimewa.

Kita masih harus bersyukur kerana anak cucu masih sudi balik beraya. Masih ada erti kerinduan pada kampung halaman di hati mereka.

TREND BALIK KAMPUNG AKAN TERHAKIS

Namun demikian bersiap sedialah untuk mendepani realiti bahawa tradisi itu juga sedang dihakis perlahan-lahan. Telah ada anak cucu yang menganggap memadai ‘bertemu’ emak bapa atau datuk nenek di kampung hanya melalui panggilan video.

"Dua kali tidak dapat pulang beraya disebabkan PKP, saya melepaskan rindu pada emak dengan membuat panggilan video. Mula-mula memang terasa sedih dan tidak puas hati sebab tidak berada bersamanya secara fizikal.

Tetapi lama-lama terasa seronok pula sebab saya dapat berbual panjang dengannya. Tak ada adik-beradik lain yang mencelah, tidak ada anak-anak saudara yang mengganggu,” cerita seseorang kepada saya beberapa hari menjelang akhir Ramadan yang lepas.

Saya percaya ada lagi orang yang macam dia; yang menemui keseronokan baharu tanpa perlu mengkematukan punggung di lebuh raya yang sesak untuk balik ke kampung.

Dan apabila orang macam dia itu bertambah ramai, tradisi balik kampung juga akan turut terancam. Pada masa itu, kepulangan ke kampung sudah menjadi tidak bermakna kerana rumah ibu dan bapa juga tidak lagi riuh-rendah dengan tetamu yang datang beraya. Semuanya hanya hadir dalam panggilan video sahaja.

Tetapi kelebihannya tetap ada. Di sisi positif, teknologi panggilan video membolehkan kita bertandang ke rumah semua kawan rakan secara mudah. Kalau dulu, jika kita berada di Sungai Panjang, bermakna hanya kawan-kawan di sekitar kawasan itu sahajalah dapat kita kunjungi.

Paling jauh pun mungkin sampai ke Ipoh, itu pun jika kawan itu perempuan dan cantik. Yang di Dungun, Mersing, Kota Bharu, Kuching, tidak dapatlah kita jenguk.

Sekarang ini tidak kira di benua mana pun kawan itu berada, selagi ada perkhidmatan internet, kita tetap dapat mengunjunginya. Hanya dengan satu panggilan, mereka dapat merasa kehadiran kita, dan begitu juga sebaliknya.

Memanglah tidak dapat berjabat salam, tetapi bukankah itu lebih baik sebab dapat mengurangkan kemungkinan menghidupkan semula wabak dan pandemik yang entah apa pula namanya selepas ini.

Jangan lupa metaverse, dunia baharu ciptaan Mark Zuckerberg yang saya pernah tulis di ruangan ini beberapa minggu lepas. Bayangkan kita ber‘Aidilfitri’, kunjung mengunjung, bermaaf-maafan, makan minum dan berseronok suka di dunia baharu itu tanpa perlu bergerak ke mana-mana.

Tetapi mak cik-mak cik, kakak-kakak sekalian tidak perlu risau. Di metaverse anda masih berpeluang berfesyen, melaram dan menayang-nayang macam sedia kala.

Dan apabila semua orang ‘terhasut’ untuk beraya dengan cara itu, maka mood raya sudah tentu berbeza. Orang tidak lagi berpusu-pusu ke pusat membeli-belah atau ke bazar untuk membuat persiapan.

Segala jenis pasar tidak lagi menjadi tumpuan. Balik kampung akan tinggal sebagai kenangan. Meriah raya akan hilang. Demikian juga nilai dan pengertiannya.

Yang bagusnya cuma satu; kita tak perlu lagi menggelabah jika tiba-tiba diumumkan ‘raya jatuh pada esok, bukannya pada lusa’!#dush!

Itulah realiti kehidupan sekarang. Kebanyakan tetamu yang datang beraya – sebenarnya apa-apa juga majlis - hanya hadir bersama jasad sedangkan fikirannya berada dalam dunianya sendiri; dunia maya.”

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 akan menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca