SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) dan UMNO boleh bertanding solo, tetapi mereka sukar untuk memperoleh majoriti mudah atau menang sekurang-kurangnya 112 Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa kerjasama dengan parti lain terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Ini kerana ramai pemerhati dan penganalisis politik berpandangan bahawa BN dan UMNO hanya akan mampu menang 90 hingga 100 kerusi Parlimen jika mereka bertanding secara solo pada PRU15 akan datang.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan berkata, biarpun BN/UMNO memberi bayangan bahawa mereka akan bertanding solo pada PRU15 nanti, namun akhirnya mereka akhirnya terpaksa bergabung dengan parti lain termasuk Pas untuk membentuk Kerajaan Persekutuan lebih kukuh.
Azmi berkata, BN/UMNO bakal berhadapan masalah besar untuk membentuk kerajaan jika mereka hanya bergantung kepada parti politik dari Sabah dan Sarawak sahaja seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membentuk kerajaan selepas PRU15 nanti.
"Sebab itulah saya melihat memang BN/UMNO boleh pergi (bertanding) solo, namun sebaik-baiknya mereka perlu membentuk kerjasama dengan parti lain terutama Pas di Semenanjung bagi membantu mereka menghadapi cabaran pembangkang dan menang lebih banyak kerusi pada PRU nanti.
"Bagi Pas pula mereka mungkin kehilangan lebih banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika terus berseteru dengan BN/UMNO dan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 ini.
"Malah, kalau kita lihat mengikut keadaan sekarang Pas belum tentu mampu mempertahankan pemerintahannya di Kedah dan Terengganu jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat," katanya kepada Sinar Premium.
Berikutan itu, Azmi berpandangan UMNO dan Pas perlu mengekalkan kerjasama dibentuk menerusi Muafakat Nasional (MN) walaupun ucapan pemimpin utama UMNO beberapa hari lalu sudah menoktahkan hubungan MN.
"Saya juga berpandangan bahawa Pas dari segi strateginya tidak boleh bersama Perikatan Nasianol (PN) dan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) atau pun Pakatan Harapan (PH) atau pun bertanding solo kerana mereka tidak mampu menang banyak kerusi jika mahu berbuat demikian.
"Jadi Pas memerlukan bantuan rakan lebih kuat ketika ini dan gabungan yang paling sesuai bergandingan dengan mereka sekarang adalah BN/UMNO," katanya.
Dalam pada itu, Azmi berpendapat antara punca kegagalan kerjasama MN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, sebelum ini adalah kerana sikap Pas terlalu tamak dan mahu jumlah kerusi banyak berbanding dimenangi mereka pada PRU14 lalu.
"Jadi Pas mahu melembutkan hati UMNO, mereka perlu banyak mengalah dan tidak meminta diberikan jumlah kerusi terlalu banyak pada PRU15 nanti, sekali gus membantu UMNO/BN kembali menguasai Putrajaya selepas PRU15 nanti.
"Justeru, saya melihat walaupun Presiden UMNO sendiri mengatakan rundingan untuk memperkasakan MN sudah tertutup namun dari segi strategik politik 'pintu' kerjasama berkenaan masih terbuka," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca