COLOMBO - Pasukan tentera lengkap bersenjata terlibat pemindahan bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa dari kediaman rasminya di Colombo pada Selasa setelah ribuan penunjuk perasaan bertindak merempuh pintu utama sehari selepas... Klik di sini untuk terus membaca

COLOMBO - Pasukan tentera lengkap bersenjata terlibat pemindahan bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa dari kediaman rasminya di Colombo pada Selasa setelah ribuan penunjuk perasaan bertindak merempuh pintu utama sehari selepas beliau meletak jawatan.

Situasi semakin meruncing selepas kumpulan protes berkenaan cuba menyerbu masuk ke kediaman dua tingkat ‘Temple Trees’ tersebut yang menjadi ‘tempat persembunyian’ Rajapaksa bersama keluarganya.

"Mereka telah dipindahkan dengan selamat ke sebuah lokasi rahsia di bawah operasi sebelum subuh. Pemindahan itu segera dilakukan setelah kira-kira 10 bom petrol dilemparkan ke kawasan kediaman tersebut,” kata jurucakap pihak berkuasa.

Insiden keganasan yang berlarutan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan sekurang-kurangnya lima terbunuh manakala hampir 200 cedera.

Ketika ini, penunjuk perasaan antikerajaan melancarkan serangan balas terhadap penyokong setia Rajapaksa yang menyerang peserta protes yang telah berkampung di luar kediaman adiknya, Presiden Gotabaya Rajapaksa, 72, sejak awal April lalu.

Penyokong Mahinda Rajapaksa didakwa membawa batang kayu ketika menyerang penunjuk perasaan yang berkampung di luar pejabat presiden pada Isnin.

Mereka turut menyalahkan bekas perdana menteri berkenaan kerana menghasut puak penyokongnya untuk melancarkan serangan ganas ke atas kumpulan tidak bersenjata yang menyertai demonstrasi tersebut secara aman.

Kedudukan keluarga Rajapaksa yang memegang tampuk pemerintahan di negara yang berdepan krisis ekonomi terburuk sejak ia mencapai kemerdekaan pada 1948 dikatakan semakin goyah.

Adakah Gotabaya Rajapaksa (kanan) akan mengikut jejak langkah abangnya, Mahinda Rajapaksa?

Perintah berkurung yang dikuatkuasakan sejak Jumaat lalu dan bakal berakhir pada pagi Rabu juga gagal mengekang protes ganas di Colombo.

Di luar ibu kota, anggota parti pemerintah, Parti Bersatu Kebangsaan (UNP) Amarakeerthi Athukorala dilaporkan melepaskan tembakan ke arah dua individu dan menyebabkan salah seorang daripadanya maut setelah beliau dikepung penunjuk perasaan antikerajaan.

"Beliau kemudiannya menembak dirinya sendiri dengan selaras senapang. Pengawal peribadinya juga ditemui mati di lokasi kejadian,” kata jurucakap polis.

Salah seorang penunjuk perasaan yang cedera dalam insiden pertempuran ganas di ibu kota.

Seorang lagi ahli politik yang tidak dinamakan juga bertindak sedemikian ke atas penunjuk perasaan dan mengakibatkan dua terbunuh manakala lima yang lain cedera di bahagian selatan negara tersebut.

KERAJAAN PERPADUAN?

Mahinda Rajapaksa, 76, memberi alasan keputusan pengundurannya bertujuan untuk membuka jalan kepada penubuhan kerajaan perpaduan.

Tetapi, masih tidak jelas sama ada pihak pembangkang bersetuju untuk menyertai kerajaan gabungan kerana mereka enggan mentadbir dengan mana-mana ahli keluarga Rajapaksa sebelum ini.

Di bawah sistem politik negara itu, presiden mempunyai kuasa untuk melantik atau memecat menteri dan hakim serta mempunyai imuniti daripada sebarang dakwaan.

"Kekecohan akan reda dan situasi kembali tenang jika presiden juga meletak jawatan,” kata penganalisis, Michael Kugelman dari Wilson Center.

Sementara itu, Akhil Bery dari Asia Society Policy Institute berkata, presiden tersebut belum memberi sebarang isyarat akan mengikut jejak langkah abangnya.

"Beliau mungkin akan melantik kerajaan sementara dan mengerahkan pasukan keselamatan untuk meredakan siri protes atau cuba menunggu penunjuk perasaan berkenaan ‘mati secara semula jadi. Apa pun yang berlaku, kerajaan seterusnya akan mengambil ‘keputusan tidak popular’ untuk memulihkan ekonomi yang semakin nazak.

"Sebarang bantuan pinjaman yang diberikan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang masih dalam rundingan hanya akan menaikkan cukai dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang merupakan ‘gabungan toksik’ dari segi politik,” jelasnya.

Negara yang berdepan bebanan hutang yang tinggi itu menyebabkan pemerintah terpaksa melarang kebanyakan import hingga mengakibatkan kekurangan bekalan barangan keperluan termasuk bahan api, inflasi dan pemotongan bekalan kuasa elektrik yang akhirnya mencetuskan siri protes tersebut. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca