SHAH ALAM - Kerajaan perlu melakukan perancangan dan hala tuju yang jelas dalam meningkatkan tahap nasionalisme dan patriotisme rakyat terhadap negara, agar tidak perlu lagi berdepan dengan masalah kehilangan jati diri dan tidak setia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu melakukan perancangan dan hala tuju yang jelas dalam meningkatkan tahap nasionalisme dan patriotisme rakyat terhadap negara, agar tidak perlu lagi berdepan dengan masalah kehilangan jati diri dan tidak setia kepada negara.

Tokoh terbilang dalam bidang bahasa, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, berbanding dengan negara jiran, Indonesia, rakyat mereka melihat bahasa itu sebagai sebahagian daripada jati diri, hasil daripada manifestasi daripada ‘keindonesiaan’.

Justeru, beliau melihat Indonesia mempunyai keberuntungan yang lebih kerana daripada awal, mereka mempunyai satu sikap melalui demokrasi terpimpin.

"Dalam soal perancangan bahasa, kewarganegaraan, budaya, semua itu terpimpin. Daripada awal mereka sudah tetapkan dasar negara seperti dalam Sumpah Pemuda dalam Kongres Pemuda Kedua pada 1928. Maka, ratusan etnik dan yang datang kemudiannya termasuk orang Cina, diserapkan dalam proses yang berbeza daripada negara kita.

"Malaysia pula mengamalkan dasar asimilasi dan pengubahsuaian tetapi Indonesia penerapan. Proses kenegaraan menjadikan semua warganegara mereka terikat dalam konteks dasar-dasar. Daripada segi itu, keberhasilan Indonesia memang lebih,” katanya dalam Program Bersama Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Awang Sariyan yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, Malaysia mengambil satu jalan yang lebih bertolak ansur dan bertoleransi.

Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Justeru, beliau melihat kita perlu ‘membayar’ harga daripada dasar yang ingin menjadikan hubungan asimilasi dengan penerimaan budaya yang pelbagai.

"Ini, saya kira kita perlu renung, sejauh mana perubahan untuk dibuat tentunya secara harmoni atau bagaimana peningkatan pemulihan dapat dilakukan supaya kita tidak berterusan menghadapi masalah kehilangan jati diri atau tidak setia pada negara.

"Indonesia dan Thailand misalnya, mempunyai undang-undang dasar yang cukup kuat dan ketentuan daripada peringkat pembantu am sehingga presiden hendaklah mengutamakan bahasa negara mereka,” ujar beliau.

Jelasnya, berbanding Indonesia, mereka sanggup mengubah nama bahasa itu atas dasar untuk membina kekuatan jati diri.

Sedangkan katanya, dalam Kongres Bahasa Indonesia Kedua pada tahun 1954 di Medan, mencatatkan dengan jelas bahawa bahasa Indonesia pada asalnya atau akarnya adalah bahasa Melayu tetapi mengalami perubahan yang berbeza.

"Saya kira, orang yang melihat peranan bahasa Melayu dalam pembinaan jati diri dan perpaduan itu masih ada tapi jumlahnya makin berkurangan dengan faktor yang dikatakan dasar langit terbuka dan dasar liberalisme dalam beberapa konteks pelaksanaan sistem pendidikan, sistem politik, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya.

"Saya melihat, kita mesti melakukan proses pemupukan supaya timbul kesedaran dan keinsafan untuk semua warganegara berasakan perlu, sebagaimana yang dilakukan Indonesia dan Thailand.

"Ini berkaitan perancangan. Pada saya, pimpinan mesti ada hala tuju, perancangan, pengisian walaupun orang kata biar lambat asal selamat, tapi kita mesti ada perancangan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca