Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, pembudayaan mesti dikuatkuasakan atau dipupuk sejak awal iaitu di peringkat sekolah dan pendidikan universiti lagi.
"Ini juga menggambarkan satu tahap pemikiran atau tahap memuliakan bahasa. Di negara kita ini, kita perhatikan orang menggunakan bahasa dengan beranggapan bahasa itu tidak mengenal konteks.
"Dalam suasana rasmi, suasana pendidikan, pengajaran, perkuliahan dan kadang-kadang yang digunakan itu bukan bahasa Melayu sepatutnya iaitu bahasa Melayu formal.
"Bagi saya, ini satu tragedi yang mesti diatasi. Pada hemat saya, universiti pada masa sekarang mesti mewajibkan kursus bahasa dan penulisan,” katanya dalam Program Bersama Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, negara-negara luar seperti Indonesia, Arab dan China juga mempunyai standard penggunaan bahasa sendiri yang membezakan antara bahasa formal dan bahasa tidak formal.
"Ada ketentuan bahasa yang digunakan, iaitu berbeza dengan bahasa perbualan yang biasa dan ini tahap kesedaran tinggi yang berlaku dalam kalangan bangsa-bangsa yang melihat peranan penting bahasa.
"Di negara Arab, kita tahu ada Bahasa Fusha. Itu yang digunakan untuk tujuan persidangan, penyiaran, pendidikan dan untuk tujuan komunikasi pula, mereka menggunakan bahasa awam, Amiyah.
"Di China, Putonghua itu menjadi standard peratusan bagi lebih ratusan institusi Hanban di seluruh dunia,” ujar beliau.
Tambahnya, penulisan tanpa mekanisme dan penguatkuasaan bahasa akan menyebabkan negara ini gagal melahirkan cendekiawan yang ekspresif dalam bahasa yang baik, teratur dan mempunyai laras bahasa ilmiah.
"Jadi, ini satu pembudayaan yang mesti dikuatkuasakan atau dipupuk di peringkat sekolah dan pendidikan universiti.
"Agak malang di peringkat calon Ijazah Doktor Falsafah (PhD), masih ada yang tidak dapat menulis satu ayat yang sempurna untuk menyatakan hal-hal ilmiah,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca