SETELAH siri pertama debat politik sempena pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) penggal 2022-2025 melibatkan dua calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) parti itu iaitu Adam Adli Abdul Halim dan Fahmi Zainol, idea pembentukan ‘khemah... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH siri pertama debat politik sempena pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) penggal 2022-2025 melibatkan dua calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) parti itu iaitu Adam Adli Abdul Halim dan Fahmi Zainol, idea pembentukan ‘khemah besar pembangkang’ menjadi topik paling ‘panas’ pada malam Selasa.

Kehangatan perdebatan isu berkenaan terus menjadi kesinambungan pertembungan hujah di antara dua calon Timbalan Presiden PKR iaitu Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli pada petang Rabu.

Menerusi program debat ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar’ yang dianjurkan secara eksklusif oleh Sinar Harian, secara jelas Rafizi mula mengasak Saifuddin untuk menjelaskan pendirian sebenar parti berhubung pendekatan ‘khemah besar pembangkang’ seawal pusingan pertama lagi.

Secara zahirnya, tekanan Rafizi terhadap Saifuddin untuk menjelaskan isu berkenaan adalah berasas dan difahami sebilangan akar umbi PKR kerana sehingga kini, kepimpinan parti dilihat tidak menghuraikan satu pandangan jelas terhadap idea itu.

Hal ini susulan Rafizi merasakan PKR tidak perlu melayan sebarang usaha pendekatan berunding dengan kelompok pemimpin parti yang pernah mengkhianati kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi peristiwa Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Rafizi pada program Berani Semuka bersama Saifuddin bertajuk ‘Siapa Layak Bersama Anwar?’ di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR

Bagaimanapun, penjelasan Saifuddin berulang kali menegaskan PKR tidak akan meneruskan rundingan kerjasama politik dengan parti-parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), seharusnya memberi kelegaan kepada aktivis-aktivis parti yang terkesan dengan kejatuhan kerajaan PH.

"Bagi Saifuddin, walaupun idea khemah besar pembangkang belum dimuktamadkan, beliau cuba membawa pendirian kolektif parti untuk bersikap lebih terbuka dalam mempertimbangkan sebarang idea yang boleh memberi kemenangan parti.

Saifuddin pada program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Namun hakikatnya secara tersirat, serangan Rafizi terhadap Saifuddin itu sebenarnya ditujukan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Hal ini lantaran pengesahan Saifuddin bahawa beliau mendapat restu parti untuk berunding dengan UMNO dan parti-parti lain bagi meraih kembali mandat kerajaan sebelum ini.

Anwar Ibrahim

"Dalam aspek rundingan dengan UMNO, walaupun ia tidak mendapat mandat Majlis Presiden PH, langkah penerokaan idea rundingan dengan parti lain itu dianggap Rafizi sebagai menghakis kepercayaan pengundi atas pagar dan penyokong PH sendiri,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar.

Secara keseluruhan, perjalanan program debat berdurasi lebih sejam dan melibat enam pusingan itu menyaksikan lontaran hujah-hujah Rafizi dilihat lebih banyak mengundang ahli parti melihat perspektif yang lebih besar iaitu apakah yang dimahukan oleh rakyat bukan sekadar apa yang dimahukan oleh ahli parti.

Hal ini kerana perspektif politik Rafizi dilihat lebih mahu membuka ruang kepada parti dan PH untuk merebut sokongan kelompok pengundi terbanyak iaitu pengundi atas pagar, pengundi 18 tahun ke atas dan daftar pemilih automatik, menerusi gerakan politik ‘Ayuh Malaysia’ yang digagaskan beliau bersama seorang lagi figura penting PKR, Nurul Izzah Anwar.

"Kita dapat lihat pelancaran gagasan politik ‘Ayuh Malaysia’ menampilkan beberapa tawaran politik penting bagi menarik segmen pengundi atas pagar yang kini cenderung beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dengan menggunakan wadah pendekatan tidak terlalu berpolitik.

"Pembentangan idea Rafizi menerusi debat kali ini adalah berbeza dengan Saifuddin di mana penonton tidak nampak perincian idea Setiausaha Agung PKR itu mengenai dasar politik untuk memenangi hati pengundi bukan ahli PKR sekiranya beliau menjadi Timbalan Presiden parti.

"Hujah pembentangan Saifuddin mungkin tidak popular di mata pengundi biasa. Namun dengan tema kempen beliau lebih memfokuskan usaha ke arah menyembuh luka dalaman parti, langkah pragmatik ini mungkin mampu mempengaruhi ahli-ahli PKR untuk memilih pemimpin lebih setia seperti beliau berbanding pemimpin sukar dikawal seperti Rafizi kelak,” ujar Hisommudin lagi.

Klik di sini untuk terus membaca