SEBELUM kes 1MDB, mantan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Sr adalah wakil kleptokrat Asia Tenggara. Dengan simpanan 3,000 pasang kasut mewah sungguhpun cuma sepasang kaki semacam insan lain, isterinya Imelda pula lambang pemborosan dan... Klik di sini untuk terus membaca

SEBELUM kes 1MDB, mantan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Sr adalah wakil kleptokrat Asia Tenggara. Dengan simpanan 3,000 pasang kasut mewah sungguhpun cuma sepasang kaki semacam insan lain, isterinya Imelda pula lambang pemborosan dan kemewahan.

Pada penghujung pemerintahan dua dekad Marcos, wang rakyat Filipina yang dicurinya bertimbun sampai mencecah AS$10 bilion atau AS$185 setiap rakyat Filipina. Tukar kepada nilai hari ini, hampir AS$500 seorang.

Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar atau real GDP tahunan di Filipina cuma 3.85 peratus dari tahun 1965 ke 1985, malah menjunam ke -7.04 peratus pada tahun 1984 dan -6.86 peratus.

Kerana kelembapan ekonomi, ramai orang Filipina terpaksa mencari rezeki di luar negara. Antaranya, siswa wanita yang kerja sebagai pembantu keluarga.

Marcos memasyhurkan pemerintahan tentera dari tahun 1972 ke 1981 untuk menekan suara rakyat marhaen yang semakin giat bangkit menentang rejim korupnya. Dianggarkan seramai 3,257 rakyat Filipina yang dibunuh tanpa bicara, 35,000 diseksa dan 70,000 dipenjarakan.

Pemerintahan kuku besi juga terdapat di Korea Selatan dan Taiwan tetapi mengapa Filipina tidak dapat menikmati pertumbuhan ekonomi sebagai imbuhan di bawah kezaliman?

Satu sebab utamanya ialah kronisme yang jauh lebih teruk daripada negara lain. Marcos memilih saudara-mara dan kawan karib untuk dijadikan hartawan dengan mengambil kedudukan dalam kerajaan, merebut tanah, mendirikan monopoli, juga menerima subsidi kerajaan.

Daripada menghasilkan ‘chaebol’ Korea dan usahawan kecil sederhana yang membina keajaiban ekonomi, Filipina terus dimiskinkan.

Pada Isnin, anak Marcos Sr, Ferdinand ‘Bongbong' Marcos Jr menang pilihan raya presiden dengan 59 peratus undi. Putera keluarga kleptokrat kini berjaya pulang kepada Istana Malacanang, kediaman Presiden Filipina, bukan sebagai tetamu istimewa kepada ketua negara, tetapi sebagai ketua negara.

Bongbong menang dengan kempen internet yang berjaya membersihkan kenangan rakyat Filipina tentang kezaliman Marcos Sr dengan berita-berita palsu dan pemesongan maklumat.

Ramai rakyat Filipina yang muda tidak mengetahui cerita zaman silam hampir empat dekad dahulu. Malah, era hitam pemerintahan Marcos Sr diangkat menjadi zaman keemasan. Kalau ayah tak salah, malu apa anak kleptokrat?

Mungkinkah Bongbong cuma ingin menutup aib untuk ayahnya dan tidak berhasrat untuk meneruskan legenda kleptokrasi ayah dan ibunya? Apakah dasar-dasarnya untuk mentadbir Filipina?

Tidak banyak yang diketahui kerana Bongbong tidak banyak menggerakkan undang-undang atau dasar-dasar sebagai senator. Dalam kempen pilihan raya, Bongbong yang mendahului calon lain juga enggan berdebat dengan mereka.

Pesanan kempen Bongbong ialah ‘perpaduan' kerana rakan-rakan dalam kemnya bersatu datang daripada pelbagai latar belakang. Sebagai contoh, dia dari Pulau Luzon di utara, calon Naib Presidennya, Sara Duterte, anak perempuan Presiden Rodrigo Duterte yang baru habis tempoh adalah dari Pulau Mindanao di selatan.

Apakah kebaikan kepada orang kebanyakan apabila ahli-ahli politik bersatu padu? Mana ada persaingan kalau semua bersatu. Tanpa persaingan, bagaimana rakyat dapat mengawal ahli-ahli politik daripada memakan rakyat. Bingung saya tertanya-tanya sendiri.

Apabila burung pegar memakan dan bukan menjaga padi, mengapa tuan punya sawah sibuk meraikan perpaduan pegar-pegar dan membantu mereka menawan Istana?

* Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca