SHAH ALAM - Malaysia pernah mengalami inflasi pada tahun 1997-1998 akibat kemelesetan ekonomi ketika nilai ringgit menjunam.
Ringgit Malaysia jatuh sebanyak 2.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu kejatuhan terburuk sejak Jun 1998.
Kerajaan memperkenalkan sebuah model dengan objektif menstabilkan semula pertumbuhan ekonomi di negara ini pada tahun 1998.
Antara kandungan model tersebut adalah menstabilkan kadar pertukaran mata wang di mana Ringgit Malaysia diikat pada 3.80 berbanding dolar AS.
Melalui kaedah berkenaan, perubahan turun naik mata wang serta spekulasinya dapat dihentikan.
Selain itu, kerajaan juga menurunkan kadar faedah dengan ketara, menutup perdagangan ringgit di luar negara serta perdagangan saham Malaysia di Singapura.
Untuk tahun 2022 pula, timbul kebimbangan mengenai Malaysia bakal menghadapi hiperinflasi akibat pelbagai faktor sejak dunia dilanda pandemik.
Situasi itu sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi yang mungkin memberi impak terhadap pertumbuhan negara dan kehidupan rakyat.
Justeru itu, kerajaan disaran mengawal bekalan wang dalam pasaran bagi mengelak risiko berlakunya hiperinflasi di negara ini.
Pakar Ekonomi dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Wan Azman Saini Wan Ngah berkata, kawalan bekalan wang amat penting kerana ia akan memberi impak teruk terhadap peningkatan harga barang.
"Apabila terlalu banyak sangat wang dalam pasaran (tiada kawalan bekalan wang dalam negara), ia akan menyebabkan permintaan naik mendadak.
"Maksudnya, orang ramai mudah membuat pinjaman dan banyak berbelanja. Apabila banyak berbelanja, ia akan menyebabkan harga barangan naik tinggi.
"Kesan itu jadi bertambah rumit akibat kejutan penawaran berpunca pandemik Covid-19 yang mengurangkan bekalan barangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.Pada Selasa, pakar ekonomi, Profesor Dr Rajah Rasiah memberi amaran bahawa beberapa negara mungkin menghadapi hiperinflasi atau inflasi di luar kawalan di mana harga barangan dan perkhidmatan meningkat pada kadar tahunan 1,000 peratus atau lebih.
Sementara itu, Wan Azman Saini mengakui tidak bersetuju dengan pandangan bahawa hiperinflasi akan berlaku di Malaysia berikutan kadar inflasi negara ini tidak begitu tinggi seperti negara-negara lain.
"Kalau dilihat kepada situasi semasa, kita tidak akan menuju kepada hiperinflasi.
"Peningkatan kadar inflasi itu ada tetapi empat peratus (untuk Malaysia), belum dikira sebagai hiperinflasi,” ujarnya.
Menurutnya, hiperinflasi yang berlaku di Zimbabwe juga antaranya berpunca daripada bekalan wang terlalu banyak dalam pasaran.
Jelasnya, Zimbabwe merekodkan insiden hiperinflasi kedua tertinggi dalam sejarah di mana harga barangan di negara tersebut hampir dua kali ganda setiap hari.
"Kerajaan Zimbabwe cetak duit mereka terlalu banyak sehingga mata wang itu tiada nilai. Itu yang dipanggil hiperinflasi,” jelasnya.Dalam pada itu, Canselor Universiti Cyberjaya dan Ahli Majlis Perundingan Gaji Negara, Professor Emiratus Tan Sri Anuwar Ali berkata, kerajaan perlu pastikan penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 dilaksana di semua sektor.
Katanya, gaji minimum RM1,500 kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja pada 1 Januari depan juga perlu diteruskan.
"Ia membantu mengurangkan hiperinflasi dan bantu golongan pekerja sebab negara berdepan masalah kenaikan harga,” katanya.
Bagi penganalisis Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, kerajaan juga perlu meningkatkan stok bekalan makanan dalam negara ini.
Katanya, ia dapat memastikan supaya bekalan makanan mencukupi sekali gus boleh diimport ke negara luar.
"Kita perbanyakan (usaha) pertanian dan makanan. Dijangkakan harga-harga itu naik disebabkan timbulnya isu bekalan makanan.
"Maksudnya kita perlu pastikan stok makanan cukup untuk negara sendiri,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca