RAMALLAH - Risiko kehilangan tanah di Tebing Barat telah menghantui Ali Mohammed Jabbareen selama lebih dua dekad. Tetapi, kini ketakutan itu menjadi kenyataan selepas keputusan sebuah mahkamah Israel akhirnya bakal memaksa Ali, 60, keluar... Klik di sini untuk terus membaca

RAMALLAH - Risiko kehilangan tanah di Tebing Barat telah menghantui Ali Mohammed Jabbareen selama lebih dua dekad.

Tetapi, kini ketakutan itu menjadi kenyataan selepas keputusan sebuah mahkamah Israel akhirnya bakal memaksa Ali, 60, keluar dari perkampungan Jinba yang merupakan sebahagian daripada kawasan Masafer Yatta yang menjadi kawasan pertikaian dengan rejim Tel Aviv.

Ali juga bimbang jika pihak berkuasa melakukan tindakan perobohan dengan notis yang memberikan tempoh masa terlalu singkat kepada mereka.

"Kami tidak mendapat sebarang maklumat tentang langkah itu. Unit tentera Israel boleh robohkan rumah saya pada bila-bila masa. Ke mana kami mahu pergi?” katanya dengan nada sedih.

Penduduk Palestin di Masafer Yatta menegaskan, mereka telah tinggal di kawasan itu sepanjang kawalan di Tebing Barat bertukar tangan sejak tempoh mandat British hingga ia berada di bawah pentadbiran Jordan pada tahun 1948 hingga 1967 iaitu tahun ketika pendudukan Israel bermula.

Komuniti terpencil itu berada di Kawasan C yang terletak di bawah kawalan Israel dan sebahagian rumah mempunyai sambungan kepada sistem bekalan kuasa elektrik dan air.

Keadaan rumah penduduk Palestin yang daif dan menjadi tempat berteduh keluarga mereka di Masafer Yatta.

Ali membina rumahnya yang didiami 12 penghuni di tengah-tengah kawasan ladang miliknya dan sumber pendapatan utama mereka ialah dengan menggembala kambing biri-biri serta bercucuk tanam.

"Ini adalah tanah milik saya dan mereka mahu mengusir saya dari sini,” ujarnya.

Difahamkan, sebahagian daripada penduduk Palestin di Masafer Yatta telah diusir pada tahun 1999.

Pada tahun berikutnya, Persatuan untuk Hak Sivil di Tel Aviv (ACRI) membantu beberapa keluarga untuk mencabar langkah pengusiran itu di mahkamah.

Mereka kemudiannya mendapat keputusan penangguhan sementara yang kekal berkuat kuasa sehingga keputusan akhir diputuskan hakim pada minggu lalu.

Jurucakap ACRI, Roni Pelli bagaimanapun menyelar keputusan tersebut.

"Perkampungan di Masafar Yatta adalah tempat tinggal pempetisyen dan mereka tiada rumah lain. Keputusan pengusiran mereka adalah melanggar undang-undang,” katanya sambil menambah rejim Zionis sengaja menggunakan zon tentera sebagai alasan untuk merampas tanah di Tebing Barat.

LAYANAN BERAT SEBELAH

Dokumen pada tahun 1981 yang diperoleh kumpulan hak asasi manusia, Akevot menunjukkan cadangan pengisytiharan zon ketenteraan oleh bekas perdana menteri, Ariel Sharon telah memudahkan mereka untuk mengusir penduduk Palestin.

Penempatan haram pendatang Yahudi di kawasan berhampiran jelas menunjukkan layanan berat sebelah terhadap penduduk Palestin.

Kawasan penempatan haram Yahudi yang dibangunkan di kawasan antara Baitulmaqdis dan Ramallah di bawah projek peluasan walaupun dikecam masyarakat antarabangsa.

"Mereka diberi kebenaran untuk membina struktur kekal yang sempurna, manakala ramai penduduk Palestin tidak mendapat permit bangunan dan terpaksa hidup dengan risiko berdepan langkah pengusiran. Mereka bina rumah konkrit lengkap dengan bekalan air dan elektrik.

"Tentera turut mengawal keselamatan mereka. Kami pula mendapat layanan sebaliknya,” menurut Ali lagi.

Ketika ini, antara 600,000 dan 750,000 pendatang Yahudi tinggal di kira-kira 250 kawasan penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca