SHAH ALAM - Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman domestik diakui wajar berikutan prospek ekonomi yang semakin membaik.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman domestik diakui wajar berikutan prospek ekonomi yang semakin membaik.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, walaupun kenaikan sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus itu mempengaruhi bank dalam menentukan kadar asas pinjaman (Base Rate), namun ia bersesuaian dengan situasi semasa yang menunjukkan pemulihan positif.

"Naik turun OPR adalah bergantung kepada situasi semasa ekonomi. Jika ekonomi bermasalah, maka OPR akan diturunkan, jika ekonomi menunjukkan pemulihan positif maka OPR dinaikkan,” ujar Mohd Afzanizam.

Menurut beliau, kadar OPR sebanyak 1.75 peratus yang berkuat kuasa sepanjang ekonomi negara dibelenggu Covid-19 sebelum ini sudah tidak lagi sesuai dan wajar dinaikkan.

"Umpama kalau sakit, kita akan makan ubat tetapi kalau sudah pulih kenapa perlu terus makan ubat? Namun yang membimbangkan adalah implikasi terhadap mereka yang mempunyai fasiliti pembiayaan (pinjaman) jenis kadar berubah seperti pinjaman rumah dan pinjaman peribadi.

"Jika ada pinjaman rumah dengan kadar berubah, maka bayaran bulanan akan naik disebabkan kenaikan OPR, namun ia tidaklah terlalu banyak.

"Contoh pinjaman rumah berjumlah kira-kira RM100,000 selama 10 tahun, dengan kadar OPR sebanyak 2.00 peratus hanya berlaku kenaikan RM10 sebulan,” katanya lagi.

Kata Mohd Afzanizam, kenaikan OPR boleh juga dilihat daripada sudut positif terutama bagi pendeposit simpanan tetap di institut perbankan.

"Kenaikan OPR bermakna kenaikan kadar deposit. Ia bermaksud pendeposit simpanan tetap akan menikmati pulangan lebih tinggi, sekali gus menjadi sebuah bentuk insentif untuk galakkan orang ramai menyimpan,” katanya lagi.

Katanya, kadar OPR yang berterusan rendah juga tidak baik untuk ekonomi selain menyebabkan kecenderungan untuk orang ramai membuat pinjaman berikutan kos pinjaman yang murah.

Klik di sini untuk terus membaca