SHAH ALAM - Penggunaan aset seperti dron dan skuadron kereta perisai sepanjang penugasan di sempadan darat Malaysia-Thailand berjaya mengekang kegiatan penyeludupan daun ketum pada musim perayaan.
Timbalan Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, bermula pada Hari Raya Aidilfitri pertama pada 2 Mei, rekod trend penyeludupan menurun begitu ketara sekali.
"Ini kerana batalion yang menjalankan penugasan di sepanjang sempadan darat di utara semenanjung telah meningkatkan pemantauan dan rondaan.
"Bagi tempoh sembilan hari bermula 2 Mei, hanya satu kes tangkapan melibatkan seorang lelaki warga Myanmar yang cuba menyeludup lima ekor anjing baka American Bulldog dengan nilai RM25,000,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Noh berkata, sindiket penyeludupan daun ketum sentiasa mengubah kawasan dan laluan bagi mengelirukan pasukan keselamatan.
Katanya, pihak PGA telah menggunakan aset-aset yang dimiliki seperti dron untuk membuat pemantauan selain atur gerak anggota skuadron kereta perisai yang berpangkalan di Ulu Kinta, Perak dan Kulim, Kedah bagi meningkatkan kawalan secara maksimum di lokasi hotspot."PGA akan terus melipatgandakan usaha mengekang penyeludupan daun ketum selain jenayah rentas sempadan lain.
"Kita percaya harga pasaran daun ketum di Thailand yang tinggi bernilai RM150 sekilogram berbanding jualan tempatan hanya RM30 menjadi faktor kegiatan penyeludupan itu dilakukan dengan pelbagai modus operandi,” ujarnya.
Tambahnya, kes akan disiasat di bawah Akta Racun 1952.
Tegasnya, segenap peringkat pegawai dan anggota juga diingatkan agar tidak sama sekali bersekongkol dengan mana-mana sindiket jenayah rentas sempadan.
"Tindakan tegas akan diambil sehingga ke peringkat dibuang kerja sekiranya terbukti bersekongkol dengan sindiket,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca