PERMULAAN sesi persekolahan yang positif sudah tentunya dapat meningkatkan persediaan pembelajaran murid-murid, seterusnya menarik minat mereka untuk datang ke sekolah. Selain mendidik murid-murid mempelajari subjek tertentu, peranan guru... Klik di sini untuk terus membaca

PERMULAAN sesi persekolahan yang positif sudah tentunya dapat meningkatkan persediaan pembelajaran murid-murid, seterusnya menarik minat mereka untuk datang ke sekolah.

Selain mendidik murid-murid mempelajari subjek tertentu, peranan guru ialah meningkatkan minat mereka datang ke sekolah dengan keadaan yang menyeronokkan.

Umum mengetahui, sebahagian murid-murid yang baru memulakan persekolahan di peringkat tadika, rendah atau menengah kurang bersemangat disebabkan sudah seronok dengan cuti persekolahan yang panjang sebelum ini.

Lebih-lebih lagi pandemik Covid-19 membuatkan mereka menukar perspektif bahawa pembelajaran di rumah lebih fleksibel. Namun, mahu atau tidak, tanggungjawab guru menarik kembali perhatian mereka untuk datang ke sekolah adalah satu kemestian.

Terdapat beberapa teknik dan cara berkesan yang dapat meningkatkan minat murid-murid untuk datang ke sekolah. Pertama, pihak sekolah perlu mengadakan minggu suai kenal antara murid-murid dan guru. Kadang-kadang ketegasan guru dalam menghidupkan suasana pembelajaran dalam minggu pertama atau bulan pertama persekolahan menyebabkan mereka berasa tidak seronok datang ke sekolah.

Oleh demikian, guru perlu melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan semasa minggu suai kenal seperti melakukan aktiviti ice breaking yang dapat memberi peluang kepada murid-murid mengenali guru dengan lebih dekat selain meningkatkan ukhuwah dengan rakan-rakan mereka.

Aktiviti kedua ialah dengan mengadakan sesi ramah mesra antara ibu bapa, murid dan guru-guru pada minggu pertama persekolahan. Amalan ini masih kurang dilaksanakan di sekolah-sekolah Malaysia, tetapi ia dipraktikkan di negara luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia. Ia dapat memberi gambaran positif bagi membina hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak sekolah.

Guru juga boleh mengadakan aktiviti lawatan di kawasan-kawasan atau bangunan-bangunan penting di dalam kawasan sekolah. Lawatan ini bukan sahaja sekadar melihat benda-benda yang ada di sekeliling, tetapi guru perlu mewujudkan pemikiran murid yang lebih aktif dengan melakukan aktiviti ‘bedah siasat'.

Contohnya, di hari pertama pada minggu kedua persekolahan, guru boleh membawa murid ke perpustakaan dan meminta mencari buku berdasarkan subjek tertentu. Kemudian, mereka perlu merekodkan informasi penting berdasarkan penerokaan terhadap buku tersebut.

Pada hari ketiga, guru boleh membawa murid-murid ke makmal komputer. Pada masa ini, guru dapat mengambil peluang mengajar murid tentang literasi komputer seperti menggalakkan mereka bermain permainan matematik dalam talian bagi subjek Matematik.

Cara seterusnya ialah mewujudkan kelas yang ceria dan kondusif. Perbincangan mengenai keceriaan kelas bukan sahaja memerlukan unsur warna-warni pada bahagian-bahagian fizikal kelas, tetapi peranan guru mewujudkan susun atur yang kondusif juga memainkan peranan penting bagi memastikan murid-murid dapat belajar dalam keadaan tenang.

Bagi meningkatkan kedua-dua elemen ini, guru dapat melaksanakan aktiviti gotong-royong mini bersama murid-murid.

Melalui kegiatan ini, guru boleh melihat pandangan murid-murid tentang tetapan bersesuaian dengan umur mereka. Sebagai contoh, bagi peringkat prasekolah, guru boleh mencetak gambar pelajar dan kemudian menampalnya di pintu masuk. Situasi ini meningkatkan semangat mereka untuk datang ke sekolah.

Selain itu juga, guru boleh mewujudkan ruang-ruang pembelajaran mini seperti pustaka mini di dalam kelas bagi membolehkan murid-murid bertindak balas dengan keadaan sekeliling.

Perbezaan antara murid-murid yang ceria masuk ke kelas pada hari pertama dengan mereka yang masuk kelas dalam keadaan agak sunyi dapat dilihat dari segi penerimaan emosi mereka. Cuba bayangkan murid-murid prasekolah masuk ke kelas yang suram dan kosong, mereka pasti akan menunjukkan emosi yang pasif.

Kerjasama pihak sekolah khususnya dalam meningkatkan persediaan murid-murid ke sekolah adalah sangat penting. Jika persediaan mereka berada dalam radar yang terbaik, pasti mereka akan sedar akan kepentingan pendidikan di sekolah.

Pepatah yang bersesuaian ialah ‘alang-alang berdakwat biarlah hitam'.

* Muhammad Nur Azam Ghazali ialah Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kolej Teknologi Darul Naim

Klik di sini untuk terus membaca