TOKOH terbilang dalam bidang bahasa, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan menyifatkan negara terpaksa ‘membayar’ harga yang mahal hasil daripada tolak ansur apabila sekolah pelbagai aliran di negara ini dibenarkan.
Justeru, beliau melihat perlunya ada usaha untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan agar jurang bahasa dapat dikurangkan dan sekurang-kurangnya ada pemahaman bahawa untuk menegakkan dasar-dasar negara, keharmonian dan perpaduan yang memerlukan pengorbanan
Dalam Program Bersama Johan Jaaffar yang dianjurkan Sinar Harian, Awang Sariyan yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut berharap agar kerajaan memberikan DBP sedikit ‘taring’ untuk memantapkan bahasa kebangsaan dengan memberikan kuasa melaksanakan penguatkuasaan.
Beliau turut berkongsi tentang harapan dan ‘cahaya’ dalam mengangkat peranan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, dalam wawancara eksklusif yang dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.
JOHAN: Pada 22 Jun tahun ini, genaplah usia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 66 tahun. Kalau dihitung usia, sudah dikira warga emas. Apakah DBP dengan mentaliti warga emas?
AWANG SARIYAN: Memang dalam konteks angka, DBP sudah memasuki usia emas. Saya membayangkan usia emas DBP ini bukanlah dalam konteks orang tua yang keletihan dan kehilangan upaya tetapi orang tua yang sudah mencapai usia kematangan. Saya sendiri menjadi warga kerja DBP sejak tahun 1970-an dan melalui beberapa tahap bermula dengan pegawai biasa. Pernah menjadi Pengarah Jabatan Bahasa, apabila balik dari Beijing, China saya menjadi Ketua Pengarah dan kemudiannya berkelana lagi dan balik menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.
Saya dapati, ada kekuatan di DBP yang dapat dipertahankan bahkan dilonjakkan dalam konteks menghadapi cabaran-cabaran semasa. Baik dalam teknologi, kepesatan dan cabaran khalayak yang tidak lagi memberikan perhatian besar kepada sosiobudaya, bahasa dan sebagainya.
Kalau kita perhatikan, DBP lahir di tengah gelombang nasionalisme linguistik dan kita tahu bahawa era itu sudah berakhir. Adakah Datuk Seri merasakan bahawa DBP masih relevan dalam konteks itu?
Saya mungkin berbeza pandangan kerana saya kira, nasionalisme linguistik ini tidak sebagaimana fesyen dan ini sedikit sebanyak terbukti berlaku di negara lain juga. Saya beberapa tahun berada di China dan saya dapati nasionalisme linguistik dalam kalangan pemimpin dan cendekiawan pemimpin mereka begitu kuat.
Mereka mempertahankan bahasa Mandarin sebagai bahasa negara, bahasa kebangsaan, bahasa penyiaran, bahasa ilmu dan bahasa undang-undang. Pokoknya, segala dalam kehidupan itu digerakkan dengan bahasa kebangsaan dan ini berkait rapat dalam soal kesedaran kebangsaan.
Saya berpeluang menjadi tamu di Jerman yang merupakan negara maju dan saya dapati mereka tetap mempertahankan bahasa mereka. Pada hemat saya, ia disebabkan kesedaran kebangsaan mereka yang kuat. Jadi, saya melihat soal bahasa dalam konteks kemerdekaan itu masih tetap relevan.
Dalam konteks Malaysia, kita sentiasa menekankan kepelbagaian dan diversiti adalah kekuatan kita. Atas alasan itu, kita membenarkan sekolah pelbagai aliran namun penggunaan bahasa kebangsaan, tidak diberikan penekanan sepatutnya. Apa komen Datuk Seri?
Kita perlu membayar sedikit harga daripada tolak ansur, iaitu harga yang cukup mahal. Oleh sebab itu, kita mesti ada kebijaksanaan di pihak pimpinan, cendekiawan, wakil rakyat, pemimpin masyarakat termasuklah golongan dalam kalangan kaum-kaum lain yang mengendalikan sekolah jenis kebangsaan sendiri. Kita harus melihat ini dalam konteks membina sebuah negara dan kepelbagaian itu diraikan tetapi juga harus ada imbangannya supaya ada perasaan untuk membantu menegakkan dasar-dasar negara.
Sebagai contoh, dalam konteks sekarang, memang sesiapapun yang memerintah pada hemat saya menghadapi kesukaran besar untuk menghadapi struktur serta landskap pendidikan negara jika kita dengan tiba-tiba menutup (sekolah jenis kebangsaan). Oleh itu, pada hemat saya, kita pernah menyarankan ia bukan ditutup tetapi secara beransur-ansur diperbanyakkan penggunaan bahasa Melayu sebagai sebagai bahasa pengantar di sekolah jenis kebangsaan.
Tidak hanya dalam subjek Bahasa Melayu, itu pun ada dua darjat atau dua piawai. Jika tidak, sampai bila kita nak menghadapi masalah sebegini? Kita kena ada imbangan sikap di pihak lembaga pengurusan sekolah jenis kebangsaan dan rakan-rakan kita daripada kaum lain supaya mengubah sedikit sikap mereka.
Tidakkah Datuk Seri merasakan orang yang berpandangan seperti ini sebagai orang yang tidak realistik malah berpandangan rasis?
Saya tidak melihatnya sebagai rasis kerana saya katakan dari awal, kita menerima kehadiran mereka secara harmonis dan hidup bersama secara aman damai dan makmur ekonomi. Cuma pada pandangan saya, kita perlu ada imbangan. Kita tak mengatakan budi kita perlu dibalas tetapi sekurang-kurangnya ada pemahaman bahawa untuk menegakkan dasar-dasar negara dan keharmonian, perpaduan, mesti ada sedikit pengorbanan.
Kadangkala, saya melihat ini adalah masalah pemerintah. Ada ketetapan sekolah jenis kebangsaan tidak boleh dibina di tapak lain tetapi boleh diperbesarkan dan diperluaskan dalam konteks tapak itu. Cuma, barangkali ada kelenturan dalam sikap tolak ansur yang berlebihan, maka kita dapati sudah berkembang tapak-tapak sekolah jenis kebangsaan ini dan ini menjadikan keadaannya lebih sukar.
Saya kira, pimpinan politik sendiri tidak harus menjadikan isu ini untuk meraih kemenangan politik tetapi melihat keadaan yang perlu kita selesaikan secara bijaksana dan harmonis tapi mesti ada langkah konkrit. Misalnya kalau dalam tempoh enam tahun kita tentukan, tahun pertama barangkali meningkat 50 peratus penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, jadi kita akan dapat mengurangkan jurang yang ada sekarang ini.
Sistem politik kita bertolak daripada parti yang berteraskan kaum dan masing-masing ingin menjadi juara kepada kaum mereka. Bukankah itu memberikan gambaran bahawa hampir-hampir tidak mungkin hal yang dibayangkan Datuk Seri menjadi kenyataan?
Jika ada iltizam dan keazaman politik, perkara ini dapat diatasi. Kita lihat pada zaman Tun Abdul Razak Hussein (Perdana Menteri Malaysia Kedua), zaman Datuk Abdul Rahman Ya'kub (Menteri Pelajaran) yang mana beliau menukar aliran sekolah rendah jenis kebangsaan Inggeris kepada sekolah kebangsaan. Itu adalah satu kejayaan besar sekitar tahun 1970-an-1980-an dan mengubah landskap pendidikan negara dengan jelas apabila anak-anak pelbagai keturunan masuk sekolah kebangsaan. Episod-episod itu, kesan daripada keazaman politik. Langkah mesti dibuat secara bijaksana tetapi mesti ada arah dan perancangan.
Datuk Seri melihat, adakah ada keazaman politik itu?
Kita memang kecewa sedikit dalam soal ini, keadaannya pasang surut. Sekitar tahun 1980-an, ada harapan besar tapi merudum kemudian bila ada program yang bertentangan dengan dasar negara pada hemat saya seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai contoh.
Itu betul-betul menjatuhkan maruah bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Tetapi berkait dalam soal ini, saya melihat ada cahayanya apabila melihat komitmen dan penyataan apabila kali pertama seorang Perdana Menteri ungkapkan peranan bahasa dalam mengangkat maruah negara di peringkat negara dan antarabangsa. Kita harap ini ada momentumnya dan mesti ada penyertaan. Saya kira, kita kena menyokong kenyataan Perdana Menteri dengan setiap kementerian, kerajaan negeri dan agensi memberikan dukungan dan membuat program-program konkrit.
Salah satu perkara yang disebutkan akhir-akhir ini adalah keperluan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu menjadikannya sebagai bahasa utama ASEAN. Namun, nampaknya ada sedikit ketidaksenangan khususnya Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim yang menimbulkan bahawa sepatutnya bahasa Indonesia sebab mereka ada 240 juta rakyat. Apa komen Datuk Seri?
Isu ini sama ada kurang menyedari sejarah, ini juga masalah kesenjangan, masalah jurang generasi atau juga didorong oleh semangat patriotisme lebih tinggi sehingga melupakan realiti bahawa sebenarnya seperti yang saya katakan, Kongres Bahasa Indonesia Kedua pada tahun 1954 di Medan itu mencatat dengan jelas bahawa bahasa Indonesia ini asalnya atau akarnya bahasa Melayu tetapi mengalami perubahan berbeza.
Tentu saja kalau kita lihat bahasa Melayu di Singapura, Brunei, Thailand dan Filipina mengalami nasib sejarah berlainan tetapi akarnya tetap bahasa Melayu. Jadi, hanya pada tahun 1928 dikatakan baru dia ubah nama menjadi bahasa Indonesia atas soal pembinaan negara, jati diri dan sebagainya. Disebabkan itu, pada saya kita kena kembali kepada realiti, pada hakikat bahawa yang Perdana Menteri kita tidak merujuk kepada bahasa Melayu di sesebuah negara, Malaysia sebagai contoh. Beliau menyebut ini soal bahasa yang mewakili 300 juta umat bererti merangkumi di Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, Laos, Kemboja, Vietnam dan lain-lain.
Semangat keserantauan yang disebut oleh Perdana Menteri Malaysia itu mestilah disambut dan saya kira, Presiden Indonesia, Joko Widodo mempunyai kematangan yang jauh lebih tinggi apabila terus menyambut saranan itu dengan janji untuk bersama-sama mengangkat bahasa Melayu dengan pengertian. Jadi, soal nama ini bagi saya soal kedua.
Yang penting adalah semangatnya dan sebagai negara dengan pakatan serantau ASEAN, kita mesti menjelmakan juga kebangkitan kita iaitu mengambil satu bahasa yang majoriti dan Alhamdulillah, Perdana Menteri lebih realistik apabila beliau mengatakan kita tidak terus mengatakan bahasa Melayu bahasa ASEAN yang utama atau kedua. Lambat-laun, barangkali akhirnya akan menjadi bahasa ASEAN utama.
Isu tentang pengantaraan bahasa kebangsaan ini sebenarnya bukan satu perkara baru. Pada 1997, jemaah menteri sudah meluluskan penubuhan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM). Jadi apa yang berlaku di antara tahun 1997 hingga sekarang?
Saya ikuti perkembangan itu apabila menjadi Pengarah Jabatan Bahasa pada tahun 1999. Saya membaca rekod itu memang benar, Perdana Menteri dengan murah hati telah meluluskan penubuhan MABM meskipun Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dalam akta itu tidak menyebut peranan antarabangsa (MABM).
Tetapi kita tahu pada waktu itu, walaupun dalam keadaan kemelesetan ekonomi pada tahun 1997, 1998 dan 1999. Maka pada tahun 2000 baru DBP sebagai urusetia yang diberi amanah menggerakkan MABM dengan persidangan tahunan, mendapat laporan wakil-wakil wilayah. Kita ada wilayah Amerika Utara, Eropah, Bosnia, Asia Timur, Asia Tengah dan Asia Tenggara semuanya berhimpun dan masing-masing melaporkan apa perkembangan bahasa dan pengajian Melayu di tiap-tiap sektor itu.
Selain itu juga diadakan persidangan, program latihan, konsep munsyi antarabangsa dan penghantaran barang-barang rujukan ke pusat-pusat pengajian atau perpustakaan di luar negara, program pertukaran pelajar seperti Thailand dan sebagainya. Saban tahun memang kita meneruskan program itu. Kemudian pada tahun 2004, itu ialah tahun yang boleh dikatakan agak malap kerana MABM tidak digerakkan atas dasar yang saya kurang pasti.
Mungkin faktor kewangan, tetapi pada tahun 2012 sewaktu saya menjadi Ketua Pengarah, kita menggerakkan semula dan mengadakan persidangan di Bangi, Selangor dan sebagainya. Kita berharap dengan hasrat besar Perdana Menteri ini, MABM dapat digerakkan semula bermula dengan Simposium Perantaraan Bahasa Melayu yang diilhamkan sendiri oleh Perdana Menteri pada 8 hingga 10 Mei pada tahun ini.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini, DBP akan diberikan kuasa penguatkuasaan?
Ya, saya sendiri mengatakan bahawa kita tidak perlu memakai pakaian seragam dan DBP pun tidak mungkin cukup tenaga kerana daripada 800 staf pada masa itu, barangkali bergerak dalam soal penguatkuasaan atau pemantauan ini, paling tinggi pun dalam sekitar 50 orang atau 100 orang. Tetapi yang penting semangatnya ialah agar DBP tidak sekadar menjadi peruntukan akta DBP sebagai contoh memberikan teguran, nasihat dan bimbingan, jadi itu saya katakan DBP hanya ada kuasa badan dakwah bahasa.
DBP ada menerima dakwaan tidak berbuat apa-apa dengan papan tanda, iklan dan sebagainya. Sebenarnya, ia bukan di bawah kuasa bidang DBP sebaliknya pihak berkuasa tempatan (PBT). Jadi, di bawah keadaan dilema ini, kita mengharapkan kerajaan menimbangkan supaya DBP diberi kuasa sedikit untuk melaksanakan penguatkuasaan tentunya dengan penyelarasan pihak PBT dan agensi-agensi lain. Kita tidak bermaksud hendak mengambil alih tugas ataupun peranan undang-undang yang diberikan oleh pihak berkuasa lain tetapi berharap agensi-agensi kerajaan dan badan-badan lain itu melihat soal bahasa ini berkaitan dengan soal jati diri, maruah dan kedaulatan.
DBP selama ini telah pun menggerakkan tugas sebagai penyemak dan pengesah iklan tetapi mana-mana yang tidak menyerahkan kepada DBP, maka kami tidak boleh mengatasi kuasa PBT.
Indonesia, Britain dan Amerika Syarikat (AS) tidak ada DBP tetapi bahasa mereka berkembang khususnya bahasa Inggeris. Kita sudah ada DBP, tetapi kenapa orang membuat perbandingan bahasa Melayu tidak semaju dengan bahasa-bahasa lain?
Ya, barangkali untuk sebahagian besar negara yang disebutkan itu, memang tidak ada satu badan khusus tetapi Indonesia ada pusat bahasa yang dikenali sebagai Pusat Pengembangan dan Pembinaan Bahasa dan peranannya lebih kurang sama dengan DBP, kecuali aspek penerbitan itu dikendalikan satu badan berasingan.
Saya berada di China kira-kira enam tahun dan mengkaji memang tidak ada satu badan sebesar DBP. Ada sebuah jawatankuasa kecil di bawah Kementerian Pendidikan China yang diberi mandat untuk menyeragamkan misalnya pembangunan bahasa sebagai contoh Pinyin, penulisan perkataan Cina dalam Roman.
Institusi mereka mengamalkan bangsa kebangsaan Mandarin itu dengan penuh tanggungjawab dan PBT mereka dikuatkuasakan tanpa ada perasaan perlu didesak oleh orang lain.
Saya kira, itu luar biasa dan kita mengambil sedikit pelajaran daripada badan itu yang diberi kuasa mengambil tindakan udang-undang. Agaknya, jauh untuk DBP mencapai tahap itu tapi sekarang undang-undang kerajaan apatah lagi dengan syor Perdana Menteri, berilah DBP sedikit ‘taring’ bukan untuk tujuan menggigit tetapi untuk memantapkan bahasa kebangsaan.
Bukankah universiti pada masa sekarang juga dipaksa mengajar dalam bahasa Inggeris termasuk universiti yang kita perjuangkan untuk mengangkat martabat dan kedudukan bahasa Melayu?
Ya, ini juga satu tragedi. Kita melihat dasar kerajaan pada tahun 1983 itu telah kita tetapkan permulaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi. Maka ketika itu, kita tahu tokoh-tokoh yang faham tentang keperluan itu mengadakan dasar bahasa kebangsaan di setiap kampus dan sudah pun terhasil. Sekarang, Majlis Profesor Negara (MPN) ada hampir 3,000 orang profesor.
Ini sebahagian besarnya terhasil daripada sistem pendidikan kebangsaan dan angka yang saya ingat di Bahagian Penerbitan dan Penarafan (PRD) pernah mengeluarkan angka lebih kurang 5.4 juta pada tahun 2000, lepasan sekolah kebangsaan. Tetapi, tiba tiba apabila ada arahan pada 1995, saya ingat lagi ia bermula dengan kuliah atau kursus kritikal subjek hendaklah dalam bahasa Inggeris.
Maka akhirnya kita kehilangan profesor yang berkarya dalam bahasa Melayu kerana kita sudah kehilangan khalayak. Ini merudumkan pengaliran khazanah ilmu dalam bahasa Melayu. Pada akhirnya, ia menjadi kelongsong peluru yang tidak dapat digunakan untuk menembak kerana istilah mencapai satu juta tetapi penggunanya tidak ada.
Kita harus buat satu semakan semula dalam pelaksanaan dasar. Saya kira dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengadakan Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tetapi ini juga pada saya belum nampak hasil.
Harapan Datuk Seri tentang bahasa Melayu pada masa akan datang?
Saya tetap optimis kerana melihat kepada gerakan kita pada tahun 1970-an. Saya kira gerakan ini membuahkan hasil tetapi cabaran-cabaran tidak boleh dipandang sepi. Mesti ada satu gerakan secara bersepadu daripada kepimpinan politik, pimpinan institusi termasuk penjawat awam. Jika penjawat awam melaksanakan peranan sebagai penggerak dasar-dasar negara, saya yakin peralihan pimpinan politik tidak akan banyak menjejaskan dasar negara termasuk soal bahasa kebangsaan.