GAMBAR sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dikatakan daripada syarikat penerbangan tambang murah baharu, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai tanda tanya sekaligus... Klik di sini untuk terus membaca

GAMBAR sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dikatakan daripada syarikat penerbangan tambang murah baharu, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai tanda tanya sekaligus memupuk perasaan teruja kepada penumpang.

Dengan memperkenalkan konsep ultra low cost yang didakwa menawarkan tiket penerbangan lagi murah dari mana-mana kos tambang murah di Malaysia, tidak mustahil syarikat ini mungkin menjadi pesaing hebat syarikat penerbangan lain iaitu AirAsia Group Bhd serta Malaysia Aviation Group (MAG).

MYAirline sebelum ini didaftarkan sebagai Z9 Elite Sdn Bhd, telah diberikan kelulusan bersyarat untuk Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada 22 Disember tahun lepas dan dikendalikan oleh orang-orang hebat seperti Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman yang juga mantan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA).

Namun, persoalannya, mampukah MYAirline menjadi pesaing hebat di industri penerbangan atau konsep ultra low cost ini hanya sekadar umpan?

BERITA BAIK UNTUK PENGGUNA, CABARAN UNTUK SYARIKAT LAIN

Konsultan Keselamatan Pengangkutan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar berpendapat, perkara ini semestinya sebuah berita yang baik untuk penumpang tetapi bukan sesuatu yang menyenangkan bagi syarikat penerbangan yang sedia ada di Malaysia.

"Semestinya ini berita yang baik untuk para penumpang kerana mereka akan diberi pilihan yang baharu untuk memilih penerbangan yang lebih murah dan sesuai.

"Namun, ia mungkin bukan satu berita yang menggembirakan buat syarikat penerbangan lain kerana mereka baru sahaja bernyawa semula selepas pandemik dan masih belum mendapat keuntungan yang dikehendaki dengan harga minyak yang semakin meningkat.

"Oleh itu, mereka harus memikirkan strategi bagaimana untuk tidak kehilangan penumpang yang sedia ada dan cara menambahkan kapasiti penumpang di syarikat masing-masing,” katanya kepada Sinar Premium.

Abdul Rahmat Omar

Tambahnya, tidak dinafikan syarikat penerbangan lain akan menerima persaingan sengit dari segi penumpang sekiranya MYAirline berjaya memenuhi permintaan mereka.

Malah sekiranya, perkhidmatan yang disediakan syarikat baharu ini adalah lebih baik, maka tidak mustahil kita dapat melihat orang ramai berpindah ke penerbangan baharu ini.

"Persaingan akan menjadi lebih sengit. Mungkin kita tidak nampak pada awal-awal operasi namun selepas MYAirline semakin stabil, kita akan mengetahui berapa ramai pelanggan yang ‘lari’ ke syarikat itu,” kata Abdul Rahmat.

Beliau yang juga pernah berkhidmat sebagai Penyiasat Tentera Udara DiRaja Malaysia itu berkata, perlunya peningkatan kapasiti dalam sektor penerbangan tempatan bergantung kepada permintaan penumpang yang merupakan ‘kunci’ kepada hala tuju syarikat.

"Kita tidak boleh mengawal syarikat penerbangan baharu untuk muncul. Saya pasti pihak bertanggungjawab sudah membuat kajian bahawa ada keperluan meningkatkan lagi kapasiti untuk penerbangan.

"Namun, kita berbalik kepada kehendak penumpang. MYAirline harus memikirkan strategi untuk menarik penumpang dan melihat daya saingan,” katanya.

NASIB RAYANI AIR

Walaupun mungkin ramai penumpang yang tertarik pada konsep ‘ultra low cost’, ia bukan jaminan bahawa penumpang akan seratus-peratus memilih penerbangan tersebut.

"Apabila mereka sebut penerbangan ‘ultra low cost’ ini, mereka harus menjelaskan apa maksud sebenar konsep tersebut, hala tuju dan perkhidmatan yang akan diberikan kepada penumpang.

"Murah tidak semestinya boleh bersaing dan bukan pengukur sesuatu syarikat boleh bertahan kerana banyak syarikat yang menjanjikan tambang murah sebelum ini tidak dapat bertahan. Oleh itu, mereka harus tahu perkhidmatan yang diberikan dan kehendak penumpang itu sendiri,” katanya.

Syarikat penerbangan baharu dengan konsep patuh syariah pertama di Malaysia, Rayani Air sebelum ini misalnya pernah mencuba nasib yang sama pada Disember 2015.

Rayani Air turut menggunakan konsep syarikat penerbangan tambang rendah namun gugur di tengah jalan apabila pengasasnya, Ravi Alagendrran membuat pengumuman menggantung operasi Rayani Air berkuat kuasa serta-merta, pada 9 April 2016.

Mavcom dan DCA kemudiannya membatalkan ASL dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air kerana didapati melanggar peraturan ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan serta pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial. Bagaimana pula dengan nasib yang bakal menimpa MYAirline?

PECAH MONOPOLI PASARAN

Bagi Pakar Pengurusan Penerbangan dan Operasi Lapangan Terbang, Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Ts Dr Wan Mazlina Wan Mohamed, hadirnya syarikat penerbangan baharu dalam industri akan menjadi cabaran buat syarikat penerbangan sedia ada yang memonopoli pasaran.

Katanya, jika sebelum ini, AirAsia memonopoli tambang rendah penerbangan di Malaysia, sekarang ini, penumpang mempunyai pilihan sendiri untuk memilih penerbangan yang mungkin mempunyai kos lebih rendah.

Wan Mazlina Wan Mohamed

"Bagi saya, perkara ini dapat meningkatkan persaingan dan sesuatu yang bagus dalam industri untuk membaik pulih servis perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya.

Bekas jurutera pesawat dan pengurus latihan di Airod Sdn Bhd, Subang itu berkata, kelangsungan syarikat penerbangan ini juga bergantung kepada daya tarikan laluan penerbangan yang ditawarkan.

"Sekiranya mereka mempunyai permintaan yang mencukupi untuk syarikat penerbangan ini dan mereka mengetahui keutamaan penumpang sekaligus benar-benar menawarkan penerbangan ultra low cost, maka, tidak ada masalah MYAirline untuk hidup lama di dalam industri.

"MYAirline perlu mencari daya tarikan laluan penerbangan yang akan meningkatkan permintaan penumpang untuk kos tambang murah. Namun, jika mereka terpaksa merebut laluan yang sama dengan syarikat sedia ada, ia akan menjadi persaingan sengit dan sukar untuk kelangsungan operasi,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca