SAYA cukup terkesan apabila membaca laporan berita mengenai tragedi yang menyebabkan lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah, Perak rentung apabila kenderaan mereka dilanggar treler berhampiran Terowong Menora pada Rabu malam.... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA cukup terkesan apabila membaca laporan berita mengenai tragedi yang menyebabkan lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah, Perak rentung apabila kenderaan mereka dilanggar treler berhampiran Terowong Menora pada Rabu malam.

Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, kemalangan itu melibatkan kereta jenis Honda City dinaiki lima mangsa dengan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar.

Katanya, ketika kejadian, treler muatan mozek dipandu lelaki berusia 37 tahun sedang dipandu di lorong kanan dengan kereta mangsa mengekori di belakang disebabkan lorong kiri laluan dari Kilometer 246 hingga 244.4 ditutup kerana penyelenggaraan jalan.

Ujarnya, semasa melalui kawasan tersebut, treler dan kereta mangsa memperlahankan kenderaan sebelum sebuah treler muatan pagar besi tidak sempat membrek lalu merempuh belakang kereta tersebut.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan kenderaan berat berkenaan menyeret kereta mangsa ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler lain dan menyebabkan kereta mangsa terbakar serta merebak ke bahagian kepala treler muatan besi pagar.

Melihat video kejadian kebakaran kenderaan mangsa yang disertakan bunyi letupan ternyata situasi itu amat menyedihkan dan semoga ahli keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan yang menimpa ketika bulan Syawal ini.

Sebagai pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), perasaan bimbang pasti ada setiap kali melalui laluan Terowong Menora untuk pulang ke kampung di Kedah dan pulang semula ke Shah Alam.

Ini kerana laluan tersebut sama ada ke arah Utara atau Selatan, kedua-duanya perlu melalui keadaan jalan yang berselekoh sambil menuruni bukit yang menyebabkan kenderaan sering terdedah kepada risiko kemalangan.

Sejak melalui laluan tersebut, saya rasa paling seram apabila terpaksa melaluinya pada waktu malam dalam keadaan hujan kerana banyak kemungkinan yang boleh berlaku.

Sebagai pemandu kenderaan kecil, saya juga bimbang apabila jentera berat seperti lori treler, lori simen, bas dan macam-macam kenderaan berat lain sukar mengawal kenderaan ketika jalan licin ataupun mengalami masalah brek semasa menuruni bukit.

Setiap kali melalui laluan itu juga, saya sebolehnya akan mengelak daripada berada hampir dengan kenderaan berat kerana sifat kenderaan berkenaan yang boleh mendatangkan pelbagai risiko.

BREK, TAYAR HAUS

Walaupun ajal dan maut di tangan Tuhan, sebagai manusia yang lemah kita perlu sedaya upaya mengelakkan diri daripada sebarang unsur yang boleh membawa kemudaratan.

Lagipun, sudah banyak kejadian melibatkan kenderaan berat yang menyebabkan tragedi kehilangan nyawa berlaku di kawasan berhampiran Terowong Menora.

Buatlah carian di internet, akan ada banyak kisah-kisah tragis terutamanya melibatkan jentera berat yang telah mengorbankan banyak nyawa.

Kejadian lalu juga tidak pernah menginsafkan pemandu kenderaan berat supaya melipatgandakan aspek keselamatan hinggakan kes seumpama itu akan terus berulang sampai bila-bila.

Saya bukan mahu menidakkan hak kenderaan berat untuk melalui lebuh raya atau jalan raya, tetapi kehadiran mereka memang membuatkan kita pemandu kenderaan kecil merasa bimbang.

Tambahan pula tindakan segelintir pemandu kenderaan berat yang tidak mengutamakan aspek keselamatan seperti membawa muatan berlebihan, keadaan tayar yang sudah haus, brek yang bermasalah dan lain-lain lagi.

Malah ada juga pemandu kenderaan berat yang berasa diri mereka seperti memandu Honda Civic Type R - memecut laju seperti mahu berlumba.

Saya juga pernah mengutarakan masalah yang sama berlaku di sepanjang Jalan Persiaran Mokhtar Dahari-Alam Budiman-Setia Alam, Selangor di mana banyak kenderaan berat dilihat memandu dalam keadaan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Sehingga kini situasi membimbangkan itu masih berlaku dan saya harap pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan dapat mengadakan lawatan yang kerap di sana bagi melihat dengan lebih dekat sikap pemandu-pemandu terlibat.

* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca