[WAWANCARA]
Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tokoh politik yang tidak dapat dinafikan banyak mencorakkan warna-warna politik dalam negara dari dahulu sehingga sekarang.
Justeru, Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini dilihat sangat signifikan, khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan orang nombor dua yang akan membantu Anwar adalah sangat penting.
Program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu mempertemukan dua calon Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2022 itu iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli.
Dikendalikan moderator, Amin Idris, program anjuran Sinar Harian ini turut menampilkan Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian dan Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis, yang menjadi pentas untuk menguji kredibiliti kedua-dua calon berkenaan dalam mengemukakan hujah berkenaan isu semasa dan soal masa depan PKR.
PUSINGAN PERTAMA
AMIN: Kita minta Datuk Seri Saifuddin untuk mengemukakan idea beliau. Tujuh minit diberikan.
SAIFUDDIN: Debat petang ini bukan bertujuan untuk mencari siapa menang atau siapa yang kalah. Saya tidak fikir rasional itu yang patut jadi ukuran sebab saya dan rakan, Rafizi komited dengan agenda reformasi dan kami berkongsi idealisme perjuangan sama, kami memilih platform parti sama. Parti ‘multiracial’ yang terasnya inklusif kepada kepelbagaian dengan jaminan keadilan untuk semua.
Kalau parti ini ada polisi, polisi ini sangat prorakyat, sangat anti rasuah dan tegas impikan satu prinsip tata kelola good governans. Parti ini juga tegar dalam mempertahankan prinsip-prinsip yang disepakati dalam Perlembagaan, bersabit dengan peranan institusi Raja-raja, Islam sebagai agama Persekutuan, Perkara 153 kedudukan istimewa Melayu, bumiputera, Sabah dan Sarawak dan kedudukan bahasa Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.
Saya yakin dan penuh sedar, kedua-dua kami sangat menjunjung nilai demokrasi dan komited dalam memperjuangkan agenda reformasi. Dengan panduan itu, saya berpendapat bahawa Pemilihan PKR ini adalah sekadar satu proses untuk memulangkan kembali hak mandat demokrasi kepada anggota parti untuk membuat keputusan yang akhirnya mengisi kekosongan jawatan-jawatan dalam parti yang kosong sejak Februari 2020 akibat peristiwa pengkhianatan Sheraton.
Ia adalah peristiwa, sebagai menghormati dan memulangkan kembali mandat demokrasi kepada anggota parti untuk memilih. Saya sedar, audiens petang ini ada dua iaitu orang awam dan anggota parti. Saya memilih fokus saya adalah anggota parti yang akan mengundi mulai 13 Mei sehingga 22 Mei nanti. Saya yakin, di tangan merekalah yang akan membuat keputusan.
Saya juga penuh yakin dan sedar, ini adalah perlawanan antara sahabat. Rafizi adalah kawan dan adik saya yang baik yang mempunyai banyak kualiti. Justeru, pemilihan kali ini tidak akan sama sekali mencarikkan persahabatan, ukhuwah dan setiakawan sesama kali. Tentunya, tidak akan sama sekali mengulangi kebimbangan peristiwa 2018 yang menyebabkan parti sedikit sebanyak tercalar.
Oleh yang demikian, saya percaya bahawa debat ini menjadi tumpuan kepada latar belakang kekalahan PKR dan Pakatan Harapan (PH) dalam siri-siri Pilihan Raya Negeri (PRN).
Selain itu, tumpuan lebih kepada PRU15 sudah dekat dan kenapa mesti PKR membuat proses pemilihan sedangkan UMNO sendiri, parti pemerintah akan buat persidangan khas untuk meminda perlembagaan bagi menangguhkan pemilihan. Kenapa PKR juga tidak berbuat demikian? Kami tegaskan bahawa sebagai parti reformasi dan demokratik, PKR tidak akan menggunakan sama sekali alasan sedemikian.
Takut perpecahan membawa mudarat kepada parti menjelang pilihan raya, sebaliknya kami sangat menghormati hak dan mandat demokrasi anggota parti kepada pimpinan.
Oleh yang demikian, walaupun suasana dan latar belakangnya menghidangkan satu keadaan yang serba sukar tapi kami mempunyai keyakinan bahawa selesai sahaja pemilihan parti ini, kami akan berganding bahu untuk mempersiapkan pasukan PKR dan PH mendepani pilihan raya.
RAFIZI: Negara kita sedang berdepan dengan pelbagai masalah-masalah besar yang kita telah warisi sejak berdekad. Masalah-masalah ini telah menjadi suatu masalah struktur. Kita berdepan dengan masalah struktur ekonomi yang mana nilai ekonomi kita jana setakat ini tidak lagi mampu untuk menyediakan peluang pekerjaan yang membayar gaji setimpal kepada anak-anak muda daripada pusat-pusat pendidikan.
Kita berdepan dengan masalah meruncing iaitu perbekalan makanan yang terlalu banyak bergantung kepada import dan apabila keadaan ekonomi kita tidak kukuh, itu menyebabkan kita terdedah kepada kenaikan harga barang mendadak seperti dialami kebelakangan ini.
Kita juga ada banyak masalah-masalah lain yang akhirnya menyebabkan rakyat biasa terbeban. Disebabkan itu, harapan rakyat sejak beberapa tahun lalu ialah untuk melihat percambahan idea dalam kalangan pimpinan negara daripada semua parti. Bukan sahaja idea, tetapi kesungguhan untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.
Rakyat telah memainkan peranan mereka. Apabila pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), rakyat membuat keputusan yang tidak pernah dibuat sebelum itu iaitu menukar kerajaan buat kali pertama.
Sejak berlakunya Langkah Sheraton lebih dua yang lepas, ada tanggapan bahawa kepimpinan politik di negara ini di semua parti lebih sibuk mencatur bagi mendapatkan kedudukan dan kuasa daripada benar-benar bersaing untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.
Itu menyebabkan berlakunya kelesuan politik dan perkara itu dizahirkan dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlaku. Kita tengok keadaannya adalah undi UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak bertambah.
UMNO/BN masih lagi berada pada takat sokongan sama pada 2018. Tetapi penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) yang mengubah kerajaan pada tahun 2018 telah membuat keputusan untuk mengalihkan sokongan itu kebelakangan ini kepada Perikatan Nasional (PN) menyebabkan dalam pertembungan tiga penjuru, BN tetap kembali tetapi sebenarnya dengan undi minoriti rakyat.
Sebanyak 63 peratus daripada pengundi-pengundi di negara ini tidak tahu untuk memilih mana-mana parti apabila masuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan mereka mengharapkan satu pembaharuan dan isyarat jelas daripada parti-parti politik yang bertanding.
Sebab itu saudara-saudari, dalam keadaan ini saya beranggapan setelah saya melalui kehidupan sebagai orang biasa dan pengundi biasa sejak empat tahun yang lepas bahawa suara rakyat mahukan pimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak bersikap defensif dan menerima maklum balas ini yang telah dizahirkan dalam kekalahan empat PRN berturut-turut. Kita ada PRU yang mungkin kurang setahun dari sekarang.
Disebabkan itu, kita mesti bersiap sedia dari sekarang dan perlu yakin dengan kekuatan kita. Apabila strategi untuk masuk ke pilihan raya itu setakat ini hanyalah strategi khemah besar iaitu untuk berunding bersama parti-parti lain dengan harapan kita dapat menggabungkan sokongan pelbagai parti ini, itu akan menyebabkan kita lari daripada fungsi utama kita sebagai gagasan politik iaitu membentangkan, menyelesaikan dan meyakinkan rakyat bahawa kita bukan sahaja ada idea untuk menyelesaikan masalah-masalah besar tadi tetapi kita juga ada pimpinan yang cekap dan berkebolehan untuk melaksanakan idea-idea itu sekiranya kita menang.
Sebab itu secara tegas saya menyatakan bahawa kita perlu mengubah cara kita dan meninggalkan strategi yang telah kita cuba selama dua tahun iaitu khemah besar ini. Kalau kita terus berunding, itu juga bermakna bahawa kita terpaksa memeluk kembali watak-watak yang sebelum ini kita kritik dan dibenci oleh rakyat dan dalam proses kita memeluk kembali itu, ia akan melunturkan kepercayaan rakyat kepada kita kerana rakyat melihat bahawa parti-parti politik yang ada di negara ini semuanya membawa matlamat menghalalkan cara demi untuk mendapatkan kuasa.
Sebab itu saudara-saudari, sahabat-sahabat yang menonton dan yang akan mengundi rakyat Malaysia, saya kira dalam keadaan ini saya sependapat dengan ramai sahabat-sahabat baik dalam Keadilan atau pengundi biasa di luar bahawa pemilihan Keadilan pada kali ini dijadikan satu pungutan suara supaya kita boleh menghantar isyarat jelas dalam proses demokrasi ini apakah pendekatan yang mahu diambil oleh Keadilan dan PH dalam memasuki PRU akan datang.
Kami yakin bahawa seperti mana kita telah menang dalam PRU lepas, cara untuk memenangi hati rakyat sekali lagi dan mengatasi kelesuan politik yang ada sekarang ialah dengan meyakinkan rakyat bahawa kita ada penyelesaian, kita ada pimpinan dan kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi kembali hati rakyat melalui gagasan itu, bukannya dengan cara kita terus berunding sehingga kita melalaikan apa yang disuarakan oleh rakyat.
PUSINGAN KEDUA
AMIN: Kita kembali kepada Datuk Seri Saifuddin untuk membalas hujah saudara Rafizi. Masa diberikan empat minit.
SAIFUDDIN: Februari 2020 kerajaan PH jatuh kerana mungkir janji dan pengkhianatan. Rakyat yang menyokong menjadi kecewa dan keliru, penyokong-penyokong parti dan PH juga menjadi marah. PH tidak jatuh melalui rakyat tolak, sebaliknya sejumlah ahli Parlimen khianat dan meninggalkan parti. Pada ketika itu, kedudukan PH dan blok pembangkang berjumlah 109 bererti kurang tiga sahaja kedudukan untuk membentuk majoriti mudah.
Kita baru menjadi kerajaan selama dua tahun. Tempoh kerajaan itu lima tahun. Sentimen ketika itu ialah PH buatlah sesuatu untuk kita mengungkap tunggu tiga tahun lagi kita masuk pilihan raya. Mood rakyat ketika itu sukar untuk menerima, benar kita mengusahakan untuk mendapat sejumlah sokongan.
Bukan satu kerja yang mudah, kita telah usahakan untuk mendapat balik kuasa politik. Saya akui secara jujur kerana mood dan sentimen ketika itu memang ke arah itu kerana kekurangan angka yang kecil. Kita berjumpa dan berunding untuk mendapatkan sokongan.
Kalau kita usaha ada dua kemungkinan, kita berjaya atau kita gagal. Kalau kita tidak berusaha ada satu kemungkinan, sudah pasti gagal. Pada akhirnya setelah kegagalan yang kita capai, episod perundingan telah kita tinggalkan lama dahulu. Kita kembali mengukuhkan parti dan PH seadanya
Rundingan atau khemah besar menjurus kepada momen pada ketika itu. Hari ini tajuk khemah besar tidak pernah jadi agenda dalam PKR, tidak pernah dibincangkan dalam temu rapat, tidak pernah jadi agenda biro politik, tidak pernah jadi agenda dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Bermaksud memberikan penjelasan secara tepat adalah pra syarat yang sangat penting untuk memahamkan bukan sahaja anggota tetapi rakyat seluruhnya. Saudara yang saya hormati sekalian, kerana itu saya mahu bergerak ke hadapan, kita menerima hakikat kita hilang kerajaan bukan kerana ditolak oleh rakyat, kita menerima hakikat kita menerima kekalahan demi kekalahan.
Sebab itu, reaksi segera pimpinan keadilan (PKR) adalah menganjurkan beberapa sesi pertemuan, perbincangan strategik temu rapat yang berlaku beberapa pusingan, hasilnya sebagai reaksi terhadap hal yang kita bincangkan penolakan rakyat dan sebagainya, kita menghasilkan satu penjanaan idea yang melibatkan seluruh pimpinan parti, ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pimpinan angkatan muda, pimpinan wanita dan dalam siri-siri pertemuan ini kita kemudian menghasilkan satu dokumen yang berupa panduan pelan tindakan yang kita namakan sebagai ‘Positioning Keadilan in GE15’ memposisikan PKR menghadapi PRU15.
Ini membabitkan analisis terperinci soal sentimen pengundi Melayu dan bukan Melayu, memperkasakan parti dalam PH, kemudian penstrukturan semula ekonomi, rasuah adalah satu pandemik, harus ada satu tawaran yang tuntas, membela kebajikan rakyat adalah keutamaan.
Bermaksud penjanaan idea ini sedang dan telah dilakukan dan akan diperkemaskan sebagai persiapan PKR untuk menghadapi pilihan raya. Kita sedang bekerja sebagai memberi reaksi terhadap perkembangan politik yang berlaku sekarang.
AMIN: Saya berikan empat minit untuk balasan hujah.
RAFIZI: Saya berada dalam mesyuarat pertama selepas Langkah Sheraton. Seingat saya sehari selepas Langkah Sheraton, saya bersama-sama Datuk Seri Saifuddin sendiri, Datuk Seri Anwar dan pimpinan-pimpinan kanan lain. Dari awal saya telah menyatakan bahawa melihat kepada jumlah kedudukan kerusi di Parlimen ketika itu, satu jalan kalau kita cuba mendapatkan kembali angka, itu bermaksud kita terpaksa mengambil dan menggalakkan lompat parti kali kedua daripada sama ada UMNO ataupun kumpulan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) yang meninggalkan PKR ataupun Bersatu dan lain-lain.
Kalau kita berjaya mendapatkan mereka, besar kemungkinan angka yang melompat itu tidak ramai antara tujuh ke lapan orang sahaja. Itu akan menyebabkan kerajaan akan berterusan menjadi tidak stabil.
Sebab itu dari awal pandangan saya adalah jalan yang terbaik ialah kita menggunakan emosi dan kemarahan rakyat yang memang cukup marah kepada tindakan mengkhianati mandat itu. Pada masa itu kemarahan rakyat adalah tertumpu kepada Azmin dan Bersatu yang mengkhianati mandat rakyat.
Dalam keadaan tahun 2020 hanyalah dua tahun sebelum pilihan raya umum, saya telah menyatakan secara jelas pada hari itu dan turut dipersetujui Saifuddin sendiri pada ketika itu bahawa lebih baik kita menggunakan kemarahan itu untuk menjana gelombang supaya kita tidak melunturkan idealisme kita dan kita boleh masuk PRU15 nanti dengan mendapat mandat yang lebih besar supaya kerajaan PH pada PRU15 tidak perlu bergantung pada watak-watak yang melompat mengikut kuasa.
Pada ketika itu ia dipersetujui. Kemudian saya dimaklumkan bahawa akhirnya kepimpinan parti membuat keputusan untuk berunding. Bermula berunding dengan UMNO, kemudian walaupun Saifuddin mengatakan bahawa itu cerita lama, saya boleh sebut bahawa Saifuddin pun tahu bahawa sehingga pilihan raya negeri yang lepas, PRN Johor iaitu dua bulan yang lalu ketika kita sedang berkempen di Johor beberapa pimpinan parti sedang berunding dengan Tan Sri Muhyiddin.
Ia kerana pada ketika itu dirasakan kalau PKR menarik diri dan memberi laluan kepada Bersatu, itu akan membantu undi. Jadi perkara ini walaupun tidak dibincangkan secara terbuka di dalam proses membuat keputusan parti tetapi masih ada lagi watak-watak yang masih membawa perkara ini.
Jadi bagi saya akar umbi PKR telah memberikan masa yang cukup lebih dua tahun supaya perkara ini dibuktikan boleh dilaksanakan. Perkara itu telah terbukti gagal dan kita telah membayar harga yang mahal dalam empat PRN yang lepas. Sebab itu bila Saifuddin dalam kenyataan-kenyataan media dan dalam kempen kali ini pun masih lagi menyebut dan mempertahankan kenapa kita perlu berunding, perkara ini sebenarnya melukakan hati anggota bawahan.
Jadi pada pendapat saya, kita gunakan pemilihan kali ini supaya kita dengar sendiri apa pandangan anggota dan rakyat di bawah aa ada mereka bersetuju untuk kita terus berunding dan ada ruang untuk parti-parti lain (bekerjasama dengan kita) seperti Bersatu. Atau kita tumpu sepenuhnya menjadi agresif dan membina kekuatan kita seperti mana kita menang PRU 2018 dahulu.
PUSINGAN KETIGA
AMIN: Saya kembalikan kepada Datuk Seri Saifuddin untuk membalas hujah.
SAIFUDDIN: Sejak Oktober 2019, saudara Rafizi sudah tidak lagi bersama dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik dan banyak pertemuan-pertemuan penting yang berakhir dengan parti membuat keputusan. Saya hormati keputusan saudara Rafizi. Justeru itu, saya ulangi bahawa bukan pertemuan di antara saya, Rafizi dan Anwar yang menjadi keputusan parti. Parti ada disiplinnya dan ada prosesnya untuk membuat keputusan.
Saya ulangi bahawa pendekatan berunding adalah menjurus kepada kedudukan selepas PH hilang sejumlah kerusi dengan jumlah yang sangat kecil. Untuk satu tempoh, kita mengusahakannya dan setelah menemui kegagalan, kita ‘move on’ dan tidak lagi bercakap, apalagi bercakap tentang berunding dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, berunding dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, berunding dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) atau watak-watak seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau Datuk Zuraida Kamaruddin.
Ini kerana, kita faham sentimen dalam parti ini, ada watak-watak yang paling mereka benci. Kerana itu, untuk tujuan pemilihan parti, akan ada kelompok yang cuba ambil keuntungan daripada sentimen itu supaya memberikan gambaran yang tidak tepat, seolah-olah pendekatan rundingan masih lagi ada. Rundingan tetap wujud. Dengan DAP, kita tetap kena berunding tentang kerusi dalam pilihan raya, jentera kempen, mobilisasi. Dengan Parti Amanah Negara, kita kena berunding hal-hal yang bersabit dengan persiapan pilihan raya.
Sementelah dalam mesyuarat PH, fokus kita persiapan pilihan raya. Pendekatan berunding tetap pendekatan yang kita terima pakai.
Oleh yang demikian, saya ulangi kedudukan sekarang yang menjadi polisi parti adalah bergerak ke hadapan dengan mengukuhkan parti, mengukuhkan kerjasama dalam PH kemudian mengenalpasti punca penolakan rakyat dalam siri pilihan raya dan kita bukan ada masa dua, tiga tahun. Kita mungkin terpaksa berdepan dengan rakyat dalam tempoh beberapa bulan terdekat.
Kita sangat jelas, fokus dan hala tuju gerak kerja kita. kerana itu, kita nak menyelesaikan pemilihan parti ini dalam tempoh kurang daripada 10 hari, di mana PKR akan menentukan barisan kepimpinan.
Bermula dari situ, kita akan bergerak ke hadapan dan tidak akan lagi terjebak dengan pertikaian masa silam. Sebab itu, kita telah selesaikan jumlah kerusi yang kita sasarkan untuk kita menangi dan kita ada kumpulan yang mempersiapkan ke arah ini. Semalam, kita bincang dalam PH perkara-perkara yang menjurus kepada masa yang pendek untuk menghadapi pilihan raya.
ita sedang bergerak ke arah itu. Insya-ALLAH, diulang kemenangan boleh menjadi milik kita bersama.
RAFIZI: Saya bersyukur kerana dalam perdebatan hari ini yang ditonton oleh semua rakyat Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengulangi berkali-kali bahawa tidak timbul soal rundingan juga mengakui bahawa fokus parti sepatutnya adalah kepada dua perkara. Pertama ialah untuk mengukuhkan prestasi parti dan yang kedua untuk mengenalpasti punca kenapa rakyat telah menolak Keadilan dan PH dalam empat PRN berturut-turut.
Pandangan saya ialah kalau dalam PRU lepas, memadai untuk Keadilan dan PH membentangkan idea besar bagaimana untuk kita menyelesaikan dan membawa perubahan dalam negara ini untuk memasuki PRU akan datang selepas PH telah diberikan peluang untuk berkuasa, kita sebenarnya perlu memperincikan lagi idea-idea itu.
Disebabkan itu, saya kata pemilihan kali ini perlu menjadi medan untuk kedua-dua calon membentangkan bukan idea kepada anggota parti sahaja tetapi idea kepada rakyat supaya kita nampak dekat dengan rakyat dan saya harap Datuk Seri Saifuddin Nasution bersama-sama dengan kami untuk turun mendekati rakyat dengan melontarkan idea-idea baharu. Contohnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution ada pengalaman yang cukup baik sebagai bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Dalam keadaan masalah telur, ayam dan harga barang antara yang paling meruntun kehidupan rakyat. Saya tidak nampak Datuk Seri Saifuddin Nasution berada paling di hadapan sedangkan beliau mempunyai 22 bulan dan saya pasti beliau tahu masalah dari segi bekalan sampai ke bawah kerana rakyat tidak lagi mahu mendengar kita menyatakan bahawa kerajaan gagal menurunkan harga barang.
Rakyat nak tahu kalau kamu akan menurunkan harga barang, bagaimana kamu nak menyelesaikan contohnya dedak ayam kita masih lagi mengimport.
Kita tidak boleh hanya melontarkan masalah, kita perlu memperincikan masalah. Jadi, sebab itu gagasan yang saya cuba yakinkan kepada anggota Keadilan bahawa kita perlu tampilkan barisan pimpinan yang bukan sahaja boleh menunjukkan masalah tetapi ada kajian, ada kebolehan, ada kepakaran dan mengambil sesuatu isu itu sehingga dekat dengan rakyat kerana hanya itulah sahaja jalannya untuk kita meyakinkan kembali kepada rakyat bahawa kita lebih layak untuk memimpin.
Saya tahu bahawa rundingan dan sebagainya tentang rundingan kerusi di dalam PH perlu dijalankan. Apatah lagi dalam PRU lepas yang mengetuai rundingan kerusi itu adalah saya sendiri. Jadi, saya faham proses ini sudah tentu perlu dilakukan. Tetapi, itu bukan syarat untuk menang pilihan raya.
Syarat untuk menang pilihan raya ialah sementara kita menguruskan proses pentadbiran biasa di dalam PH, yang lebih penting ialah bagaimana kita memenangi hati rakyat. Kita perlu terus ke depan, agresif, kreatif, berubah dengan perubahan zaman terutamanya dalam melontarkan idea-idea untuk menyelesaikan masalah-masalah rakyat. Saya ingat di situ, Insya-ALLAH kami akan ada kelebihan sekiranya dipilih untuk memimpin Keadilan pada sesi ini.
RAFIZI: Saudara adalah tonggak utama yang merundingkan dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan sokongan UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sehinggalah insiden Datuk Seri Anwar mengumumkan angka tetapi tidak ada.
Bolehkah Datuk Seri Saifuddin berterus-terang dan menyatakan kepada rakyat dan anggota parti rentetan peristiwa dan bagaimanakah Datuk Seri yakin bahawa Datuk Seri Zahid dan Datuk Seri Najib akan menyokong Datuk Seri Anwar?
SAIFUDDIN: Apabila kerajaan PH jatuh, parti berbincang, PH berbincang. Keputusan diambil. Tugasan diberikan kepada beberapa pimpinan tertentu bermaksud saya hendak tegaskan ia bukan soal Saifuddin berunding. Ia adalah keputusan kolektif setelah pimpinan-pimpinan parti dan PH berbincang.
Ia beza dengan Saifuddin pandai-pandai pergi bincang dengan Saifuddin diberi peranan dan tugasan sesuai dengan keputusan konsesus parti-parti dalam PH. Tugasan diberi untuk saya mendekati, pimpinan dari Sabah dan Sarawak. Peranan diberi juga kepada saya untuk berjumpa parti-parti di luar daripada komponen PH, ahli Parlimen bebas, ahli Parlimen daripada parti islam, daripada UMNO. Kesemua sekali yang kita perlukan bukan mereka berpindah parti, yang kita perlukan adalah komitmen sokongan kerana itu apabila tugasan dibuat. Keputusan itu dibincang bersama, tugasan diberi, tugasan itu jatuh kepada saya, maka saya laksanakan.
Saya berterima kasih saudara Rafizi bertanya soalan ini dan beri peluang kepada saya membuat penjelasan supaya memberi gambaran yang lebih adil. Ia bukan pandai-pandai personaliti Saifuddin. Dia bergerak sebagai melaksanakan ketetapan konsultatitif dan konsesus dalam kalangan pimpinan kerana itu saya tidak perlu untuk berbasa-basi, berselindung dan jika ditanya pengumuman saudara Anwar saya juga akui kita telah menghantar surat ke Istana Negara.
Kita telah mempunyai kesemua dokumen sah yang membuktikan angka sokongan. Mana mungkin kita menghantar surat ke Istana Negara, dokumen sah dan sebagainya. Istana bukan perbuatan dan kerja main-main kerana itu saya laksanakan tugas saya. Kalau pengakhirannya tidak kesampaian , sudah tentu pelbagai perkara lain ikut mempengaruhi.
Saya ulangi keputusan saya berunding dalam pengetahuan pimpinan parti. Keputusan saya berunding dalam pengetahuan pimpinan PH. Kita laporkan kemajuan secara terbuka dalam mesyuarat-mesyuarat parti. Kita beri taklimat kepada kesemua pimpinan ahli Parlimen PKR, tanpa berselindung.
Kalau ini satu operasi sulit yang memudaratkan mana mungkin kita mengambil pendekatan yang sangat telus. Itu sebagai satu ikhtiar kerana pada saat itu kita kekurangan sejumlah kecil akibat daripada kehilangan kuasa politik kerana episod pengkhianatan dan mungkir janji kerana itu kalau ditanya kepada saya adakah saya menyesal, saya kata tidak kerana saya melaksanakan keputusan pimpinan PH dan saya memberikan peranan dan sumbangan saya . Alhamdulillah kalau pun itu tidak kesampaian sudah tentu ada hikmahnya saya belajar daripada episod itu.
AMIN: Jawapan yang dikemukakan. Kini saya beri peluang kepada Datuk Seri untuk mengemukakan soalan kepada Rafizi.
SAIFUDDIN: Umur PKR dah 23 tahun. Masuk pilihan raya dah banyak kali. Lebih banyak kalah daripada menang. 2004 kita tinggal satu. 2008 kita muncul sampai menjadi parti pembangkang terbesar, 32 (kerusi). Episod-episod kekalahan di beberapa PRN ini memang agak membimbangkan. Apakah Saudara Rafizi bersedia untuk berkongsi pendekatan yang paling baik untuk parti ambil sebagai azimat (pesan) kita kepada anggota parti dan apakah tempoh pilihan raya yang dekat itu memadai untuk kita menang membentuk kerajaan atau menjadi pembangkang?
RAFIZI: Seperti saudara Saufuddin sendiri sebut bahawa kita kena memahami motivasi dan hati rakyat yang menzahirkan keputusan empat siri PRN. Dengan mengetahui kunci utamanya itu membantu kita untuk merumuskan strategi yang terbaik.
Daripada keempat-empat keputusan tersebut ada beberapa perkara yang kita perlu amati. Pertamanya ialah seperti yang saya sebut, undi UMNO dan BN tidak meningkat. Ia kekal sekitar 40 ke 43 peratus. Kedua, undi atas pagar itu telah beralih kepada pakatan yang kedua iaitu PN.
Yang ketiga, kita melihat kelesuan politik yang melampau dari segi berapa ramai pengundi yang keluar. Jumlah pengundi yang tidak keluar itu sebenarnya adalah pengundi atas pagar yang sebelum ini mengundi PH.
Daripada angka politik ini sebenarnya kalau kita masuk tanpa berunding dan berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang kita hanya perlu untuk mendapatkan kembali lima hingga 10 peratus pengundi atas pagar yang sebelum itu mengundi PH tapi beralih kepada PN.
Kalau kita dapat lima hingga 10 peratus untuk kembali kepada PH, kita makin dekat. Kalau kita berjaya meyakinkan kembali dan membuat kumpulan penyokong tegar kita yang berkali-kali pilihan raya kita kalah, mereka tetap menyokong kita. Kalau kumpulan ini teruja kembali untuk keluar mengundi dan berkempen untuk kita.
Kalau kita berjaya tingkatkan lima peratus kadar keluar mengundi, dengan dua angka ini sebenarnya kita boleh membentuk blok yang paling besar dalam pilihan raya umum akan datang dalam pertandingan tiga penjuru.
Jadi pandangan saya sebab itu kita kena tahu kenapa yang dulu mengundi PH beralih kepada PN. Kita kena faham kenapa yang dulu berkobar-kobar menyokong kita, tidak mahu lagi keluar mengundi.
Sebabnya ialah kerana mereka merasakan bahawa PKR dan PH telah terpisah daripada nadi rakyat. Dua tahun kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi yang ditumpukan dalam pimpinan PKR dan PH adalah soal mendapatkan orang melompat sedangkan rakyat dekat bawah kita tidak suarakan masalah mereka.
Kita masih ada dalam empat lima bulan dan harapnya satu tahun. Dalam tempoh ini kalau kita betul-betul ikhlas, nampak kita sedar kesilapan kita dan kita memberi isyarat yang jelas bahawa kita tidak pentingkan kedudukan.
Soal ke Putrajaya bukan soal siapa Perdana Menteri atau menteri. Soalnya kita nak memastikan negara berada di landasan yang lebih baik supaya rakyat tidak perlu menanggung beban sekarang. Empat lima bulan kalau kita betul-betul buat, yakin dan ikhlas, Insya-ALLAH saya yakin yang lima peratus sebelum ini sudah hambar dengan kita, mereka akan teruja. Yang 10 peratus yang sebelum ini tidak mengundi kita kerana mereka merasakan PKR, PH, PN atau BN ini semua sama, mereka akan dapat melihat kembali perbezaan yang ditawarkan oleh PH kerana sebab itu dulu pada 2018 mengundi kita.
Jadi strateginya itu jelas dan strategi itu tidak pernah berubah daripada yang kita menang 2018 iaitu kita mesti yakin dengan rakyat sebab rakyat tidak bodoh. InsyaALLAH yang itu kalau kita buat, kita akan jadi blok terbesar selepas pilihan raya umum yang akan datang.
PUSINGAN PENGGULUNGAN
AMIN: Kita akan saksikan apa kesimpulan mereka.
RAFIZI: Pemilihan Keadilan kali ini walaupun boleh dilihat sebagai satu proses dalaman, tetapi atas peranan PKR sebagai tulang belakang PH, ia memberi hala tuju negara dan rakyat di luar. Kita bukan lagi dalam keadaan boleh sembunyikan masalah-masalah struktur negara, kita tidak boleh lengahkan untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.
Disebabkan itu bagi saya, pemilihan kali ini bukanlah soal semata-mata untuk menguruskan parti, bukan soal semata-mata untuk mengisi kedudukan. Ia sebenarnya satu tanggungjawab yang cukup besar kerana di bahu kita ialah amanah untuk memastikan rakyat dapat terbela dan bukan sahaja rakyat dapat pilihan yang terbaik dalam memilih kerajaan, tetapi juga yang dipilih itu dapat melaksanakan tanggungjawab dari segi menjadi pentadbir yang cekap, kreatif, sehingga dapat menyelesaikan masalah-masalah struktur ini.
Kalau itu keadaannya, maka anggota Keadilan di luar perlu membuat pilihan bentuk timbalan presiden yang bagaimana sesuai pada masa, keadaan dan keperluan sekarang. Kalau perlu seorang yang mahu menguruskan parti soal pentadbiran, saudara-saudari boleh pilih Datuk Seri Saifuddin Nasution. Beliau adalah setiausaha agung yang paling lama dalam parti ini.
Kalau anggota parti merasakan dengan pembawaan Keadilan seperti sekarang iaitu diplomasi, pengurusan dan segalanya berbentuk dalaman itu akan memenangkan Keadilan, maka itulah yang perlu dibuat dalam membuat undi nanti.
Tetapi kalau pengundi-pengundi Keadilan dapat merasakan denyut nadi rakyat yang telah memberikan keputusan dalam empat PRN lepas, mahu melihat Keadilan menjadi lebih agresif, mahu melihat Keadilan kembali kepada landasan reformasi iaitu memperjuangkan perubahan dalam proses dan sistem negara, adakah saudara-saudari merasakan seorang yang hanya menumpukan kepada soal pentadbiran akan dapat membawa pendekatan yang agresif itu?
Itu tawaran saya dan sahabat-sahabat buat kepada anggota-anggota parti. Saya yakin bahawa kita perlu bergerak seiringan dengan kehendak pengundi di luar. Pertandingan politik menjadi semakin teruk sekarang dan pengundi boleh memilih pelbagai parti.
Disebabkan itu kita perlukan pendekatan dan produk yang terbaik boleh memikat hati rakyat. Insya-ALLAH saya rasa saya telah bentangkan secukupnya dan saya yakin anggota Keadilan akan membuat pilihan yang terbaik.
SAIFUDDIN: Prinsip bisnes mana-mana parti adalah menang dalam pilihan raya. Sebelum sesebuah parti mampu meyakinkan rakyat dengan formula dan strategi serta tawaran-tawaran parti, parti itu mestilah dilihat bersatu, kompak dan utuh.
Parti itu mesti menguruskan dahulu rumah tangganya supaya jangan berantakan. Satu kapal tidak boleh ada dua nakhoda. Harus ada disiplin dalam membuat keputusan dalam parti.
Apabila tertib perjalanan dalam parti itu dicapai, saya yakin ia akan dapat dicapai selesai pemilihan, barulah kita dapat yakinkan rakyat. Tidak ada rakyat yang yakin untuk memberikan undi dan sokongan kalau rumah tangga sesebuah organisasi itu berantakan.
Itu tidak boleh menangkap sokongan dan imaginasi rakyat, walau sehebat mana pun strategi pendekatan itu.
Sebab itu, dalam siri-siri temu rapat pimpinan yang kita buat membabitkan semua, kekuatan PKR ini adalah kekuatan kolektif konsensus dalam membuat keputusan dan menghargai setiap bakat yang ada.
Kekuatan PKR ini bukanlah kekuatan dan kelebihan seorang tokoh hatta Anwar seorang tokoh terbilang pun, sangat menghargai idea orang lain melalui proses-proses musyawarah. Inilah rahsia kekuatan PKR selama 23 tahun, apalagi sifatnya rencam dan pelbagai. Saya mempunyai tekad untuk mengukuhkan elemen ini. Organisasi wajib kekal kukuh supaya kemudiannya tawaran kepada rakyat.
Saya ringkaskan, parti mesti kompak, kuat, utuh dan mantap daripada segi organisasi kepimpinan dan menghormati tertib dalam membuat keputusan dalam parti.
Ia mesti bersifat kolektif dan menghargai peranan dan sumbangan orang lain, bahawa bukan sahaja kita seorang yang hebat dan tawaran-tawaran kepada rakyat itu haruslah membabitkan dan menyentuh soal kebajikan, hati nurani rakyat dan kita yakin, kita sudah ada formula ke arah itu.
Klik di sini untuk terus membaca