"SESUNGGUHNYA mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambah untuk mereka petunjuk.” (al Kahfi: 13)
15 Mei ialah Hari Belia Negara. Setiap tahun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Belia Malaysia (MBM) menganjurkan program sambutannya yang dirasmikan Perdana Menteri.
Dari segi pengurusan pembangunan belia, dengan menggunakan kriteria Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu sesebuah negara harus mempunyai agensi kerajaan, pertubuhan belia kebangsaan dan dasar belia, Malaysia antara yang terkehadapan. Kita mempunyai KBS (1964), MBM (1948) dan Dasar Belia Negara (1985).
Banyak kejayaan telah dicapai belia kita dalam pelbagai bidang dan hasil peranan banyak pihak. Namun, kita perlu memperbaiki mana-mana kekurangan dan meneroka pencapaian-pencapaian baharu.
Kita tidak boleh hidup dalam keagungan lampau. Kita perlu mencipta keagungan kini dan masa depan.
Justeru, beberapa perkara harus difokus:
- Meningkatkan pemikiran dan amalan pendidikan serta latihan belia yang holistik dan futuristik.
- Mendampingi belia setiap masa, bukannya bermusim (contohnya, dekat pilihan raya).
- Memahami ‘Tiga Permintaan Belia’ - belia mahu suaranya didengar, peranannya diiktiraf dan isu-isunya ditangani secara berorientasi-belia.
- Memperkasa ‘Penghakupayaan Belia’ terutama peranan belia dalam membuat keputusan.
- Meluaskan perundingan (syura) dalam pembangunan negara dengan melibatkan tiga sektor utama (kerajaan, swasta dan masyarakat sivil) di mana belia adalah sebahagian daripada masyarakat sivil.
- Memecahkan siling kaca yang mengehadkan peluang belia, contohnya memberi pendapat dalam membuat keputusan.Walaupun mereka mempunyai idea lebih bernas dan tidak dinaikkan pangkat, walaupun mereka lebih layak kerana terlalu mementingkan seniority.
Dunia hari ini adalah dunia sains dan teknologi terutama teknologi komunikasi dan multimedia. Pandemik Covid-19 menunjukkan dua keadaan penggunaan teknologi tersebut. Ada yang menggunakannya kerana memang menghayatinya, manakala ada yang menggunakannya kerana terpaksa.
Dalam keadaan pertama, belia pelopornya. Dalam keadaan kedua, belia pembimbingnya. Jadi, era ini adalah era belia.
Sejarah mengajar tentang manfaat besar yang diraih apabila belia diberi peranan memimpin. Sejarah Islam kaya dengan pengajarannya, contohnya Ali bin Abi Thalib dan Usamah bin Zaid. Sejarah Malaysia punya Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak.
Dalam politik hari ini, langkah sebuah parti merehatkan pemimpin-pemimpin seniornya daripada pucuk kepimpinan dan kehadiran Undi18 seharusnya membuka jalan untuk lebih ramai pemimpin belia diberi peluang memimpin parti serta dicalonkan dalam pilihan raya.
Semoga ia merebak ke bidang-bidang yang lain juga.
* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd
Klik di sini untuk terus membaca