PENDEDAHAN BBC tentang penipuan permohonan derma untuk rakyat Ukraine menerusi siber bukan perkara baharu. Wartawan BBC, Angus Crawford dan Tony Smith melaporkan berlaku banyak penipuan atas talian menggunakan beratus laman web kerja amal... Klik di sini untuk terus membaca

PENDEDAHAN BBC tentang penipuan permohonan derma untuk rakyat Ukraine menerusi siber bukan perkara baharu. Wartawan BBC, Angus Crawford dan Tony Smith melaporkan berlaku banyak penipuan atas talian menggunakan beratus laman web kerja amal palsu, bertujuan menipu orang ramai yang ingin menderma bagi membantu rakyat Ukraine.

Di Malaysia, saban minggu penulis menerima berpuluh emel daripada pelbagai madrasah, pusat tahfiz dan badan bukan kerajaan (NGO) meminta sumbangan bagi tujuan pengembangan ekonomi atau meneruskan kelangsungan hidup.

Penulis percaya artikel Crawford dan Smith disiarkan tepat pada masanya. Peringatan perlu diberi kepada rakyat Malaysia yang sangat pemurah, khususnya sepanjang Ramadan lalu.

Crawford dan Smith melaporkan penyangak siber menggunakan jenama ‘badan amal’ di laman web palsu seperti ‘Save the Children’ dan banyak lagi jenama yang berpura-pura mendapatkan bantuan kewangan daripada orang ramai di seluruh dunia.

Atas nama tentera Ukraine yang kehabisan bekalan ketenteraan dan rakyat kebulur, penjarah laman web palsu mencuri beratus juta dollar.

Laporan itu juga menyebut hasil siasatan mendapati tapak palsu sudah pun dikenal pasti. Ia berpangkalan di Abuja, Nigeria dan mereka menggelarkan diri sebagai ‘Save Life Direct’. Mereka mendakwa memerlukan peruntukan kewangan US$100,000 (RM438,000) kononnya untuk disumbangkan kepada ‘rakan-rakan tertindas’ di barat Ukraine.

Selain itu, ada beratus penyangak siber menggunakan ratusan ‘laman web amal’ palsu untuk menipu orang ramai yang ingin menderma, kononnya untuk rakyat Ukraine tertindas. Apabila siasatan dibuat, laman web tersebut segera ‘ditutup’ bagi mengelak kegiatan dikesan.

Penulis difahamkan Jerman turut dilanda demam laman web amal palsu. Beberapa hari lalu, penyiar saluran media antarabangsa paling berpengaruh di Eropah berpangkalan di Jerman, Deutsche Welle (DW) menyiarkan laporan tentang senario berkenaan. DW mempunyai lebih 290 juta ‘subscriber’ di seluruh dunia turut menyiarkan foto-foto dimanipulasi bagi menyalurkan kenyataan dan video palsu.

ALLAH SWT telah mengingatkan manusia tentang perkara ini menerusi surah al-An'aam ayat [6:123] bermaksud: "Dan demikianlah Kami adakan pada tiap-tiap negeri penjahat-penjahat yang terbesar agar mereka melakukan tipu daya dalam negeri itu. Dan mereka tidak memperdayakan melainkan dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.”

KISAH DI STESEN MINYAK

Sekali pun ALLAH telah memberi peringatan, namun masih ramai mudah ditipu oleh penyangak siber atau laman web amal palsu.

Beberapa tahun lalu penulis turut mengalami insiden sindiket amal palsu.

Ketika sedang mengisi minyak di Shah Alam, penulis dihampiri seorang kanak-kanak perempuan lingkungan umur 13 tahun membawa beg tangan buruk meminta derma dengan menunjukkan resit pembayaran sebuah pondok pengajian tahfiz di perkampungan Kedah.

Penulis menderma untuk mendapatkan resit tersebut. Selepas selesai mengisi minyak, penulis membuat panggilan berdasarkan nombor telefon tertera pada resit, malangnya nombor tersebut tidak wujud.

Paling menarik, penulis kemudian ternampak kanak-kanak perempuan yang sama memasuki sebuah kereta mewah yang menunggu tidak jauh dari stesen minyak tersebut.

Begitu mudah manusia ditipu menggunakan teknologi media dan penyangak siber demi kepentingan serta wang ringgit. Melalui penyiasatan penulis, ada pembikinan video dimuatnaik ke Youtube atau TikTok memaparkan ‘bangunan terbengkalai’ sebagai bangunan tahfiz sedang dalam pembinaan. Ia seolah-olah mengambarkan pelajar yatim piatu menagih tempat belajar.

Kononnya, wujud keperluan dan bantuan sumbangan wang ringgit untuk menyiapkan bangunan berkenaan. Penulis juga mendapati rakyat Malaysia tidak rasa kesal sekalipun menyedari atau percaya permohonan derma menerusi email itu sememangnya palsu. Namun mereka tetap menderma atas nama mencari pahala.

Kesimpulannya janganlah kita mudah tertipu dengan kegiatan laman web amal palsu yang bertebaran di seluruh dunia termasuk di negara ini. Kita harus memerangi kegiatan sindiket tertentu yang menggunakan pelbagai kemudahan dan teknologi terkini termasuk topeng agama demi mengaut keuntungan besar.

* Profesor Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Selangor Technical Skills Development Centre

Klik di sini untuk terus membaca