SHAH ALAM - Baru-baru ini muncul sebuah syarikat penerbangan baharu memperkenalkan konsep ultra low cost yang didakwa mempunyai kos tambang paling murah daripada sedia ada namun ramai mempersoalkan sama ada syarikat itu mampu untuk bertahan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Baru-baru ini muncul sebuah syarikat penerbangan baharu memperkenalkan konsep ultra low cost yang didakwa mempunyai kos tambang paling murah daripada sedia ada namun ramai mempersoalkan sama ada syarikat itu mampu untuk bertahan sehebat AirAsia dan Malaysia Airlines.

Bekas Ketua Juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berpendapat, terdapat lima perkara wajib yang menjadi penentu kelangsungan syarikat penerbangan baharu di Malaysia.

"Pertama, struktur pengurusan. Apa yang saya perhatikan pengurusan MYAirline bakal ditadbir oleh orang hebat yang berpengalaman daripada syarikat penerbangan sebelum ini.

"Contohnya, pengasas mereka pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan pengurusan tinggi syarikat itu kebanyakannya orang yang mempunyai latar belakang serta networking yang luas,” katanya kepada Sinar Premium.

Selain itu, perundangan dan pesawat juga berkait rapat serta menjadi salah satu elemen penting sekiranya syarikat penerbangan baharu mahu meneruskan perjuangan dalam industri.

"Setakat ini mungkin MYAirline sudah memenuhi perundangan yang dikehendaki untuk memiliki lesen.

"Seterusnya, mereka dapat menarik pesawat yang tersadai. Kemungkinan mereka mendapat perundingan untuk memperoleh, menyewa atau memajak pesawat dengan harga yang rendah,” katanya.

Nik Ahmad Huzlan yang juga mempunyai pengalaman lebih tiga dekad terbang ke seluruh dunia itu berkata, sekarang ini adalah peluang terbaik bagi syarikat penerbangan baharu menarik bekas kakitangan seperti pramugari dan juruterbang yang bekerja sendiri atau sudah habis kontrak di luar negara untuk balik ke Malaysia.

"Mungkin juga kakitangan seperti pramugari dan juruterbang mudah didapati kerana ramai yang diberhentikan ketika pandemik dahulu.

"Kakitangan yang bagus dan cekap adalah faktor wajib yang penting dalam mana-mana syarikat penerbangan, bermula daripada pihak atasan sehingga ke bawah seperti jurutera, pengurus dan pemungut bagasi,” katanya.

Akhir sekali, untuk menentukan sama ada syarikat penerbangan baharu mampu bertahan mengalami kerugian sebelum keuntungan adalah dengan modal yang besar.

Keratan Sinar Harian pada Jumaat.

"Modal yang diperlukan untuk mengurus syarikat penerbangan boleh mencecah jutaan ringgit seminggu. Persoalannya, berapa lama mereka dapat bertahan kerugian sebelum mendapat keuntungan?

"Sekiranya duit modal tidak mencukupi, mereka akan rugi sebelum mendapat pulangan.

"Mereka juga harus mengambil kira bayaran sewa dan gaji untuk dua tahun sehingga duit itu melebihi kos operasi setiap hari serta mendapat balik pulangan modal untuk membayar balik hutang bank,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat lebih 25 syarikat penerbangan yang tutup, distruktur dan dijenamakan semula atau sudah tidak wujud kerana persaingan sengit.

Antaranya, termasuklah Rayani Air, Malayan Airways, Malaysian Airline System, Neptune Air Sdn Bhd, Pelangi Air, Penerbangan Malaysia-Singapura, Saeaga Airlines dan Silverfly.

LALUAN BUAT DUIT

Nik Ahmad Huzlan yang juga bekas ketua pergerakan haji dan sewa khas MAS berkata, antara cabaran buat syarikat penerbangan baharu adalah laluan penerbangan yang kompetitif antara syarikat penerbangan sedia ada.

"Dalam Malaysia ini, ada laluan yang boleh buat duit dan ada yang tidak boleh buat duit. Jika datang dari bakul yang sama, MYAirline perlu 'bertengkar' dengan MAS and AirAsia dan mesti ada tarikan serta kelebihan untuk menarik penumpang yang sama memilih penerbangan tersebut seperti ultra low cost yang ditawarkan.

"Buat masa ini, MYAirline mempunyai dua atau tiga buah kapal terbang sahaja jadi kekerapan pesawat kurang dari MAS dan AirAsia. Biarpun MYAirline menjual harga tiket murah, jika kos operasi tinggi, maka mereka masih tidak boleh mendapat untung,” katanya.

Tambahnya, kapasiti jumlah tempat duduk pesawat melebihi kehendak penumpang pada penerbangan domestik dalam Malaysia lebih-lebih lagi dengan adanya penambahan kapal terbang dari MYAirline kelak yang akan menyebabkan pesawat tersadai.

"Saya yakin sebelum mereka ingin membuka syarikat penerbangan baharu, mesti ada kajian yang sudah dilakukan. Buat masa ini, saya lihat lebih banyak tempat duduk daripada penumpang.

"Apabila kapal terbang terlalu banyak, maka pesawat yang terbang akan berkurangan. Oleh itu, syarikat penerbangan baharu memang berisiko tinggi dan mungkin akan memberi implikasi sedikit sebanyak kepada AirAsia dan MAS dengan syarat ia benar-benar merupakan ultra low cost,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca