DEBAT Perdana Najib-Anwar disifatkan sebagai pertemuan epik yang ditunggu-tunggu rakyat sejak sekian lama, mempertemukan dua figura hebat dalam satu pentas yang sama. Ia adalah julung kali disertai Datuk Seri Najib Tun Razak sejak menjadi... Klik di sini untuk terus membaca

DEBAT Perdana Najib-Anwar disifatkan sebagai pertemuan epik yang ditunggu-tunggu rakyat sejak sekian lama, mempertemukan dua figura hebat dalam satu pentas yang sama. Ia adalah julung kali disertai Datuk Seri Najib Tun Razak sejak menjadi Perdana Menteri dari tahun 2009 hingga 2018 manakala Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kali terakhir terlibat dengan program debat awam adalah sewaktu pada 2008.

Dua isu utama yang didebatkan membabitkan persoalan sama ada syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar di dunia, Sapura Energy Berhad (SEB) perlu diselamatkan atau sebaliknya serta isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.

Dikendalikan moderator, Haslina AR Kamaludin, Debat Perdana Najib-Anwar merupakan kerjasama Sinar Harian, Astro Awani, Sin Chew Daily dan Malaysia Gazette serta disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur pada Khamis.

PUSINGAN PERTAMA: SAPURA ENERGY BERHAD

HASLINA: Kita mulakan mukadimah isu Sapura dengan mempersilakan Datuk Seri Najib.

NAJIB: Bila sebut tentang masa depan ekonomi negara, kita mesti tentukan hala tuju, ke arah mana kita nak bawa negara dan masa depan ekonomi negara. Saya ingin tekankan tentang visi dan matlamat kita yang tak lain, tak bukan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Ini boleh dijadikan sebagai visi yang kita kongsi bersama.

Kalau itu kita terima sebagai destinasi kita, soalnya bagaimana kita nak sampai ke situ. Apa kaedah, apa caranya. Saya ingin mengajukan supaya kita melakukan transformasi yang menyeluruh, bukan reformasi. Sehubungan dengan ini, ada empat aspek sebagai teras utama iaitu kita perlu kepada ekonomi yang kukuh, sektor korporat yang mapan dan berdaya saing, kestabilan politik dan mobiliti sosial.

Bila kita sebut sektor minyak umpamanya, menyumbang kepada 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Sektor minyak menampung 60,000 pekerjaan dan sektor ini juga memberikan peluang perniagaan kepada 4,000 perusahaan kecil dan sederhana. Nilai sektor ini keseluruhannya berjumlah RM383 bilion. Dalam hal ini, Sapura Energy Berhad (Sapura) merupakan sebuah syarikat strategik, lebih-lebih lagi setelah dijadikan milik rakyat Malaysia melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB). Justeru, kalau kita selamatkan Sapura, kita juga menguntungkan rakyat. Sebaliknya, jika Sapura muflis, rakyat juga yang rugi.

HASLINA: Kita dengar pula apa mukadimah yang ingin disampaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang Sapura.

ANWAR: Saya kenal Sapura sejak tahun 1990-an kerana Sapura merupakan ikon syarikat bumiputera yang berwibawa, berkeupayaan tapi apa yang kita lihat sekarang ini adalah generasi kedua yang mengalami banyak masalah. Kita melihat Sapura ini secara mudah iaitu daripada beberapa permasalahan syarikat besar yang terpaksa menuntut bantuan secara langsung atau tidak daripada kerajaan atau yang akhirnya membebankan rakyat. Masalah Sapura ini berbangkit sejak kerugian yang dicatatkan pada 2016 dan pada tahun yang sama tatkala kerugian dicatatkan, Ketua Eksekutifnya masih memperoleh pendapatan keuntungan hasil dan elaun RM83 juta.

Pada 2018 tatkala kerugian mencatat lebih RM25 bilion pendapatan beliau, RM71.9 juta. Keseluruhan pendapatan elaun Tan Sri Shahril Shamsuddin dan kelompoknya dari 2012 hingga 2021, mencecah RM1.17 bilion. Ini syarikat besar yang dipelopori Tan Sri Shahril peringkat awal, Tan Sri Kamaluddin Abdullah dan Datuk Mokhzani Mahathir. Jadi, kita nak bahaskan syarikat yang pada peringkat awal dipelopori mereka dan sekarang, bila timbul kemelut besar ini, dimiliki oleh PNB. Tapi, ia bukan soal bantu atau ‘bail out’ (menyelamatkan). Sebelum kita campur dengan urusan ini, mesti ada audit forensik.

Bila timbul masalah Perwaja dahulu, bila diarah untuk bantu Perwaja, apa yang saya lakukan adalah saya minta PricewaterhouseCoopers (PWC) menggunakan seluruh kuasa mengguna audit forensik. Kemudian, kita minta mereka uruskan syarikat itu kerana syarikat itu telah ‘rosak’ dan sekarang apa yang berlaku ialah kita diminta bantu apabila Ketua Eksekutifnya untung berbilion. Penjualan pada 2017 oleh Datuk Mokhzani. Itu semua mencatatkan keuntungan besar dan sekarang apabila golongan elit mendapat keuntungan besar, kita dibebankan dengan permasalahan untuk selamatkan seperti mana yang berlaku dengan Tabung Haji, Felda, 1MDB dan sekarang, mungkin Serba Dinamik. Oleh yang demikian, kita mesti melihat kerangka ini dalam bentuk yang lebih besar dengan masalah integriti, pengurusan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

HASLINA: Soalan saya kepada kedua-duanya adalah, apakah implikasi kepada ekonomi negara dan kepada kerajaan khususnya jika ‘bail out’ ini gagal kerana Malaysia mempunyai sejarah berkaitan ‘bail out’, ada yang berjaya dan sebaliknya.

NAJIB: Kenapa Sapura perlu diselamatkan? Yang bergantung kepada Sapura ini adalah 10,500 anak tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi, 3,000 vendor dan sumbangan Sapura kepada ekonomi tempatan berjumlah RM92 bilion dalam tempoh lima tahun. Saya nak tegaskan, Sapura ini milik rakyat Malaysia dan keputusan ini dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tahun 2019. Kalau tidak dimiliki oleh PNB, saya tidak berminat isu ini tetapi kerana rakyat Malaysia yang merupakan pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) 10.7 juta dan kerugian kepada PNB kalau Sapura ini gagal atau muflis berjumlah RM5 bilion. PNB telah gunakan sejumlah itu untuk memiliki 40 peratus dalam syarikat Sapura.

Perlu diingatkan Sapura pernah menjadi syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua yang terbesar di dunia dan syarikat ini bermasalah kerana struktur industri akibat kejatuhan harga minyak pada tahap yang begitu rendah selama tujuh tahun. Saya setuju kalau ada penyelewengan dalam Sapura, kita ambil tindakan. Kalau ada apa-apa yang tak kena pada Sapura, kita ambil tindakan tetapi janganlah kita membenarkan Sapura muflis sebab kalau Sapura muflis, yang rugi adalah negara dan yang rugi adalah rakyat Malaysia. Kita ada cara untuk menyelamatkan ini dan saya nak ingatkan bahawa jika kita tak buat sesuatu pada 10 Jun ini, maka ada kemungkinan Sapura boleh diisytiharkan muflis. Jika ini berlaku, kita akan kehilangan satu lagi syarikat negara yang bertaraf antarabangsa.

'Kenapa Sapura perlu diselamatkan? Yang bergantung kepada Sapura ini adalah 10,500 anak tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi, 3,000 vendor dan sumbangan Sapura kepada ekonomi tempatan berjumlah RM92 bilion dalam tempoh lima tahun. Saya nak tegaskan, Sapura ini milik rakyat Malaysia dan keputusan ini dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tahun 2019' - NAJIB

HASLINA: Bagaimana dengan Datuk Seri Anwar?

ANWAR: Kita nak tahu, 165,000 syarikat SME, syarikat kecil dan bumiputera yang gulung tikar, bukan menjadi masalah kita? 40,000 lebih yang muflis, itu bukan permasalahan kita? Permasalahan kita adalah kerana menjaga kepentingan beberapa ahli politik. Saya tidak nafikan keperluan kita melihat dengan menggunakan audit forensik, apa yang berlaku, bagaimana perjanjian dibuat, siapa yang ambil komisen, arahan siapa, orang politik mana. Kita kena tahu semua itu sebelum masuk campur, kalau tidak kita akan membuat andaian semuanya adalah baik sedangkan itu adalah tidak benar.

Malaysia Airlines, Perwaja kita dah lihat dan banyak masalah lain yang harus menjadi pengajaran kepada kita tetapi kita tidak ambil audit forensik. Pertamanya, kalau kita nak campur, minta audit forensik dan minta pengurusan sekarang beritahu penyelesaian mereka, adakah perlu campur tangan atau tidak. Kalau perlu, apa syaratnya dan kita harus gunakan siasatan yang rapi menghukum mereka yang bertindak menyalahgunakan kuasa mereka. Kalau tidak, mereka akan ulang macam MRT, RM20 bilion, RM40 bilion, RM60 bilion, apa yang jadi? Kita tidak tahu dan sehingga kita ulang yang sama, sehingga tiada integriti, ‘good governance’, tekad dan perubahan politik untuk membetulkan sistem yang wujud.

Bila ada masalah, dia ‘hempap’ kepada kita untuk menyelesaikannya. Datuk Seri Najib kata yang menjadi masalah adalah berpunca daripada masalah harga minyak jadi kita perlu buat audit forensik kerana banyak syarikat besar tidak mengalami masalah yang sama. Keduanya, harus ada unjuran. Kalau ada kepakaran dan pengurusan yang baik yang tidak menyalahguna kuasa mereka, dia ada keupayaan untuk menjangka dan meleraikan beberapa masalah dan kemelut yang dihadapi.

"Permasalahan kita adalah kerana menjaga kepentingan beberapa ahli politik. Saya tidak nafikan keperluan kita melihat dengan menggunakan audit forensik, apa yang berlaku, bagaimana perjanjian dibuat, siapa yang ambil komisen, arahan siapa, orang politik mana. Kita kena tahu semua itu sebelum masuk campur, kalau tidak kita akan membuat andaian semuanya adalah baik sedangkan itu adalah tidak benar. " - ANWAR

HASLINA: Saya teruskan kepada rumusan, peluang kerajaan untuk membantu Sapura. Adakah dengan membiarkan kerajaan membantu syarikat GLC ini akan membuka ruang dan peluang kepada syarikat ini bergantung harap kepada kerajaan semata-mata sekiranya dilanda masalah?

NAJIB: Saya nak nyatakan, Sapura ini adalah syarikat strategik dan kalau kita pilih nak selamatkan Sapura, dia mesti ada asas dan rasionalnya. Kita juga boleh menyelamatkan Sapura, tak bermakna kita tak boleh tolong yang lain. Syarikat lain yang bermasalah, ada cara lain untuk bantu tetapi Sapura ini berpotensi. Satu ketika dahulu, Sapura bernilai RM30 bilion sahamnya tetapi sekarang RM500 juta. Cadangan yang saya nak utarakan bukannya 'hempap' kepada kerajaan kerana kita libatkan sen pun duit rakyat.

Apa yang saya nak cadangkan adalah, pertama, saya nak anjurkan supaya Petronas ambil alih Sapura kerana mereka mempunyai kepakaran, PNB tiada. Bila sambil alih, Petronas boleh jamin RM7 bilion kontrak Sapura itu dapat ditamatkan dan diselesaikan dengan baik dan Petronas boleh jamin keuntungan yang cukup untuk Sapura. Bila syarikatnya sudah pulih, sahamnya sudah melambung naik, Petronas boleh jual di pasaran dan boleh untung. Jika kita gunakan pilihan ini, saya yakin dan optimis bahawa Petronas akan untung, pelabur ASB akan untung, negara akan untung dan kita akan mempunyai satu lagi platform di persada antarabangsa yang boleh kita banggakan.

Pilihan kedua pula, tidak melibatkan duit kerajaan tetapi kalau Petronas tidak ambil alih, kita perlu kepada bank memberikan pinjaman cuma kerajaan menjadi penjamin sahaja. Boleh pulihkan syarikat ini dan kita minta juga Petronas bantulah juga syarikat seperti Sapura ini. Saya yakin, dengan cara ini syarikat ini boleh dipulihkan dan kalau kita kata masalah Sapura ini adalah masalah dalaman, saya nak nyatakan, lima ‘service provider’ yang terbesar di dunia, semuanya menghadapi masalah termasuk ada yang kerajaan terpaksa bantu. Saya nak tekankan, BN bererti bina negara, bukannya menjual aset.

HASLINA: Silakan Datuk Seri Anwar untuk menggulung.

ANWAR: Kerajaan melalui PNB telah memberikan suntikan RM2.7 bilion yang menurut Datuk Seri Najib, dilakukan semasa zaman PH. Saya nak jelaskan, keputusan dibuat oleh lembaga dan dua bulan selepas itu apabila Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengambil alih, dia terpaksa teruskan kerana sudah ada ‘roll out’ kewangan tetapi ia tidak bermakna saya setuju. Kita harus jelaskan di sini, keputusan dibuat oleh kerajaan BN di bawah Perdana Menteri ketika itu, kemudian disambung kerana dalam tempoh dua bulan, semua kajian di buat sebelum itu.

Keduanya, disebut tiada satu sen duit kerajaan. Ini saya dengar banyak kali dah, tapi Petronas ambil alih. Ini berbilion ringgit bukan satu sen. Petronas ini milik siapa? Milik kerajaan, milik rakyat tetapi saya katakan kena audit forensik. Kena pertanggungjawabkan siapa yang terlibat, jangan selamatkan. Kita mesti ajar kes Serba Dinamik dan beberapa kes yang lain jangan lepaskan orang yang melakukan jenayah menjahanamkan syarikat-syarikat termasuk syarikat bumiputera. Kalau kita main selamat begini, kerajaan tak ada satu sen pun, keturunan apa yang dia katakan tiada satu sen.

Soal nak selamatkan syarikat bumiputera, saya tidak mahu ia dijadikan asas kerana sebaik sahaja kerajaan nak masuk campur, mesti dimulakan dengan audit forensik yang menyeluruh dan mesti dijadikan pengajaran, orang yang bertanggungjawab. Jangan kita lepas tangan, salahnya harga minyak sahaja. Itu tidak betul. Cari bumiputera yang layak, berwibawa, berintegriti dan benci rasuah, ramai yang layak. Ini baharu kita katakan menyelamatkan negara kita. Jadi, jangan bangkitkan soal nak selamatkan atau tidak, kaji dahulu apa masalahnya, buat audit forensik sekarang dan pertanggungjawabkan siapa yang bersalah.

PUSINGAN KEDUA : MASA DEPAN MALAYSIA

HASLINA: Pasca Covid-19 memberikan Malaysia peluang untuk melihat semula hala tuju negara. Adakah Malaysia sudah mempunyai pelan yang jelas? Kita persilakan Datuk Seri Anwar untuk mukadimah.

ANWAR: Kita kena terima kenyataan sekarang, apakah kemelut ekonomi dan pengurusan negara sekarang. Defisit berterusan sejak 1999 sehingga sekarang dan terus membengkak yang serius. Hutang bertambah sehingga mencecah RM1 trilion, pertumbuhan ekonomi tidak meyakinkan, pelaburan asing itu dijangka dan kita kalah dengan saingan Vietnam, Thailand dan Indonesia. Ini kenyataannya dan bagaimana kita boleh rungkai permasalahan ini? Kita kena melihat ke depan dan saya yakin permulaan ini perlulah dimulakan dengan pengurusan. Orang mual dengan keadaan politik sekarang ini, dengan percaturan politik dan perebutan dan pemunggahan kekayaan oleh pimpinan.

Kita harus bawa keyakinan baharu untuk menyatakan kepimpinan itu tidak lari daripada amanah yang dipertanggungjawabkan dan ia dilakukan dengan membersihkan negara daripada rasuah. Kemudian, isu yang dibahaskan sejak 1961 tentang masalah yang akan dihadapi oleh negara iaitu komunisme dan korupsi yang mana sekarang adalah lebih parah.

Kalau nak selamatkan negara ini, selamatkan kepentingan rakyat di bawah dahulu. Pekerjaan mereka, pendidikan mereka bahkan harga barang dan kos sara hidup yang seharusnya menjadi keutamaan. Ia mengenai masa depan negara termasuk soal persekitaran, perubahan iklim, prasarana asas dan soal keprihatinan kepada rakyat ia juga perlu menjangkau semua kaum. Jadi, saya harap pandangan ini akan menentukan masa depan negara yang baharu.

HASLINA: Kita persilakan Datuk Seri Najib untuk mukadimah masa depan Malaysia.

NAJIB: Memang cabaran kita masa kini amat berat dan kita bukan terasing, ini fenomena global. Masalah inflasi, harga minyak semakin tinggi dan sebagainya adalah masalah global dan kita ada peluang untuk ‘reset’ balik, dalam erti kita pengubahsuaian kepada pelan kita. tapi, matlamatnya jangan ubah, iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Macam mana kita nak buat? Ini mesti meneruskan projek infra rakyat sebab ini boleh menjana pendapatan berjuta-juta pekerjaan, umpamanya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang telah dilewatkan oleh kerajaan PH dahulu. Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Lebuhraya Pan Borneo, Transit Aliran Massa 3 (MRT 3), Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Tun Razak Exchange (TRX), Bandar Malaysia, ini semua projek yang boleh membangunkan ekonomi negara. Bila bangunkan ekonomi negara, rakyat untung. Pekerjaan dapat disediakan dengan berjuta-juta bilangannya.

Tapi, premisnya adalah kestabilan politik dan jangan ulang balik empat tahun, tiga kerajaan, tiga perdana menteri. Kita ini negara yang semakin maju lihat sahaja sebagaimana Korea Selatan yang mempunyai Hyundai, LG dan Samsung, kita juga hendak syarikat seperti itu. Kita nak bukan sahaja Petronas dan Sapura. Apa yang membuatkan saya terkilan sekali bila Tun Dr Mahathir Mohamad menjual IHH kepada Jepun sebab ia merupakan ‘servive provider’ kesihatan yang kedua terbesar dan sepatutnya menjadi ‘flagship’ kepada Malaysia seantero dunia. Inilah strategi yang patut kita lakukan dan pada itu, jangan lupa rakyat kerana asasnya rakyat.

HASLINA: Kita melihat banyak projek seperti ECRL, Pengerang, Lebuhraya Pan Borneo yang mendapat pelaburan asing untuk mengurangkan beban kerajaan dan manfaatnya dirasai rakyat. Apakah kaedah ini perlu diteruskan? Mohon Datuk Seri Anwar untuk jawab. ANWAR: Kita lihat ada dua pendekatan dasar, konsep yang berbeza. Satu, melihat keutamaan projek-projek mega ini seperti pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Lebuhraya Pan Borneo yang memberi manfaat kepada rakyat boleh dipertimbangkan. Kalau projek itu memberikan manfaat langsung kepada bawahan, boleh dipertimbangkan tapi ia mesti bermula dengan soal integriti.

Janganlah kos RM50 bilion jadi RM70 bilion. Sebab itu saya kata, kalau saya tangani masalah Perwaja, audit forensik dilakukan dan bentangkan di Parlimen tapi orang takut didedahkan penyelewengan ini. Kemudian, tak berani dibahaskan dan dibentangkan di Parlimen. Tak kiralah Tun Dr Mahathir atau sesiapa, buatlah. Saya bukan datang ke sini nak pertahankan sesiapa tapi saya nak pertahankan prinsip ini.

Begitu juga umpamanya mutu pendidikan rendah, tak dapat bersaing. Kemudahan kesihatan tidak menyeluruh dan keperluan asas seperti bekalan air pun belum selesai tapi kita nak buat HSR dan projek mega. Saya tidak pertikai, dalam mana-mana kerajaan harus ada keutamaan untuk tempoh tertentu. Belajar daripada Korea Selatan, tidak hanya Hyundai dan beberapa syarikat kerana mereka bermula dengan pertanian moden seluruh negara. Sebab itu saya kata, harus ada tekad politik yang jelas, harus ada kawalan pembalakan, mengambil tanah, pengurusan dana kerajaan, yang mana pertanggungjawaban ini baik dilakukan di Parlimen, berani membentangkan dan membahaskan.

HASLINA: Bagaimana jawapan daripada Datuk Seri Najib berkaitan soalan saya tadi?

NAJIB: Saya nak beri penjelasan berdasarkan kepada fakta, bukan retorik. Ini statistik perangkaan daripada Perangkaan Malaysia (DOSM) di mana ini pekali gini (ukuran ketidaksamaan edaran) menentukan perbezaan pendapatan antara yang kaya dan miskin. Sembilan tahun di bawah BN, pekali gini semakin mengecil. 22 bulan di bawah PH semakin melebar. Bererti apa? Bererti dasar BN lebih adil kepada orang miskin. Lebih adil kepada kumpulan B40 daripada dasar kerajaan PH. Ini fakta. Saya boleh cabar sesiapapun. Ini bukan propaganda, ini bukan retorik.

Ya cabaran kita banyak dan kerajaan pimpinan sekarang, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan kerajaan sekarang cuba berusaha. Antaranya bila UMNO memperjuangkan i-Citra, kerajaan sekarang ini meluluskan i-Citra. Ia satu kelegaan kepada rakyat. Terima kasih kepada Perdana Menteri luluskannya.Kita juga tahu ada kawalan harga, ada subsidi diteruskan tetapi kerajaan menghadapi tekanan. Tekanan apa? Hasil menguncup bila GST dihapuskan. GST ini kita kutip dan peroleh masa kita senang. Bila kita susah, kita ada duit simpanan. Kita boleh agihkan kepada rakyat. Inilah masanya kita nak tolong rakyat.

Kalau ada GST saya yakin rakyat Malaysia lebih senang hari ini. Tapi bila tak ada malanglah. Sekarang ini kita kena fikir balik apa caranya yang maknanya sekarang ini kita kena lihat pada keseluruhannya.

Anwar (kanan) membentangkan hujahnya ketika berdebat dengan Najib pada Khamis.

SESI SOAL JAWAB

ANWAR: Datuk Seri pernah mengemukakan keperluan perubahan atau transformasi tapi selepas beberapa tahun sebelum 2013, hal itu terhenti. Jadi soal pengurusan kerajaan, ketelusan, integriti tenggelam kerana muncul skandal-skandal skala besar. Soalan saya mengapakah setelah mengumumkan suatu gagasan yang besar tetapi kemudian tenggelam?

NAJIB: Kita mesti melihat pada keseluruhannya iaitu 'track record' waktu pentadbiran saya. Kita telah bawa pertumbuhan ekonomi pada kadar tertinggi di rantau ini. Pelaburan (FDI) kita adalah antara yang tertinggi. Saham kita rekod kenaikan dalam tempoh paling lama dalam dunia dan juga ringgit kita kukuh. Defisit kita turun tiap-tiap tahun. Projek kita banyak. Projek infra rakyat yang saya sebut tadi banyak.

Ini semua 'track record' kita dan syarikat-syarikat kita umumnya semua berjalan dengan baik, berkembang. Khazanah umpamanya, bila saya ambil alih Khazanah, nilainya RM34 bilion. Bila kita tamat perkhidmatan pada tahun 2018, nilainya RM114 bilion. Tapi bila 22 bulan lepas PH memerintah, ia menjunam kepada RM79 bilion. Soalnya kenapa? Kerana dasarnya tak betul. Ia bukan sahaja soal rasuah atau soal apa-apa. Saya setuju dengan apa yang Datuk Seri Anwar sebut. Ya kita pandang serius (soal rasuah). Tetapi jangan satu dua isu itu mengaburi apa yang kita buat yang secara positif.

Kalau sekiranya kita nak memerangi rasuah jangan lantik Peguam Negara yang mengikat dirinya sebagai pelantikan politik, yang bila tukar Perdana Menteri dia letak jawatan. Tak pernah dalam sejarah Malaysia ini, Peguam Negara merupakan lantikan politik. Yang lebih berat daripada itu juga Ketua Pesuruhjaya SPRM juga lantikan politik. Hari ini dia Ahli Majlis Pimpinan PKR, esok dia jadi Ketua Pesuruhjaya SPRM. Dada penuh dengan medal. Bila masa dia berkhidmat, banyaknya medal. Lawak tapi serius. Ini semua menjejaskan soal kita nak memerangi rasuah. Soal integriti. Kalau nak memerangi rasuah dan integriti jangan ada pilih bulu.

NAJIB: Datuk Seri Anwar terkenal sebagai seorang pendukung undang-undang dan ketelusan tapi waktu PH menjadi kerajaan, laporan polis selepas RCI skandal forex BNM ditarik, dibuat keputusan tiada tindakan lanjut (NFA). Kerugian forex zaman itu, 1994 berjumlah RM33 bilion. Kalau hari ini nilai kerugiannya dianggarkan RM150 bilion. Tak ada satu sen pun dapat balik dan tak ada seorang pun didakwa atau dipertanggungjawabkan. Tak ada (audit) forensik. Jadi saya nak tanya apa pendapat Datuk Seri Anwar sebenarnya sekarang ini dalam hal skandal forex ini?

ANWAR: Pendirian saya jelas. Kalau esok boleh bercakap dengan Perdana Menteri, bagi tahu Peguam Negara dan buat siasatan terbuka, saya tidak ada masalah. Ini beza saya dengan Datuk Seri Najib. Saya tidak mahu mana-mana kes yang melibatkan ahli politik menggunakan jentera politik untuk menutup kes atau mendera orang. Saya tidak suka jentera politik, jentera kerajaan diguna atau diperalatkan untuk menekan musuh politik.

Tetapi yang dibangkitkan, kalau betul mahu ambil tindakan tentang rasuah yang disebutkan. Ini masalah terbesar negara. Puluhan bilion hilang. Mana boleh kita kata ini salah satu daripada masalahnya. Kalau tidak diselesaikan masalah pengurusan, integriti dan rasuah, jahanam negara ini. Oleh demikian saya cadangkan jangan guna alasan ada kes tutup. Apa yang menghalang Peguam Negara sekarang untuk buka semula semua kes yang dianggap pendakwaan terpilih?

HASLINA: Kita tiba ke pusingan penggulungan di mana kedua-dua pendebat akan menggulung sesi debat perdana kita malam ini. Kita mulakan dengan Datuk Seri Anwar.

ANWAR: Apakah yang saya tekan secara konsisten? Negara ini harus beralih daripada sistem pentadbiran yang usang dan bobrok kepada satu sistem pentadbiran yang menekankan soal ketelusan, integriti yang bebas dari rasuah. Ini memerlukan perubahan yang sistemik iaitu badan kehakiman yang benar-benar bebas, pendakwaan SPRM dan penjawat awam dan seluruh jentera itu. Tetapi harus bermula daripada komitmen pimpinan parti politik pembangkang dan kerajaan. Bukannya untuk memperkukuhkan kerajaan itu hanya perlu agihkan habuan, jabatan-jabatan yang banyak dan kedudukan yang bertambah serta kontrak yang bertambah.

Jadi kalau anak muda mahu manfaat daripada digital teknologi, ekonomi dan AI maka ia harus bermula dengan satu sistem yang sangat telus dan berupaya. Soal lain disebut infra rakyat, itu tidak pernah mana-mana kerajaan pertikai atau menolak tapi yang kita tekankan adalah keupayaan. Siapa yang boleh berbicara soal persekitaran, alam sekeliling, pembalakan gak terkawal, itu tidak cukup kekuatan. Tidak ada kesanggupan untuk membuat siasatan tentang wang puluhan bilion boleh keluar. Daripada Panama Papers ke Pandora Papers. Puluh bilion dolar Amerika Syarikat keluar dari negara kita dan belum ada siasatan. Mengapa tidak gunakan kekuatan politik dan pengaruh sekarang mendesak Perdana Menteri buat siasatan telus untuk jaga kepentingan rakyat. Ini hala tuju yang mesti dibereskan sekarang.

HASLINA: Tiba masa untuk penggulungan daripada Datuk Seri Najib.

NAJIB: Negara-negara jiran kita lihat sudah ke hadapan. Malaysia perlu melakukan sesuatu dengan kadar segera supaya negara-negara lain tak pintas kita. Saya ingin melihat Malaysia berada di saf hadapan dengan negara-negara maju.

Ini semua mampu kita lakukan kalau kita menguruskan ekonomi dan pentadbiran dengan baik bermula dengan kestabilan politik. Kedua, lantik orang yang kompeten dalam kerajaan. Jangan lantik orang yang cakap merepek-repek. Minum sesudu sawit sehari. Kereta terbang. Ini mengarut punya cerita. Kita kena lantik orang yang kompeten.

Saya yakin kita ada kekayaan dalam Malaysia. Saya yakin kita cukup sumber untuk mengangkat tahap maruah, darjat kita ke tahap lebih tinggi. Saya setuju sebahagian Datuk Seri Anwar sebut, soal ketelusan, integriti, nak lawan rasuah. Kalau kita buat projek infra rakyat ini, kita buat tender terbuka dan bila buat begini maknanya yang terbaik akan dapat macam projek MRT1.

Bila kita pilih bumiputera yang terbaik mereka mampu melaksanakan kerja mengikut jadual. Ini adalah prinsip-prinsip dan kalau kita amal prinsip-prinsip ini, perkukuhkan institusi awam, perkukuhkan sistem keadilan, jangan ada lantikan politik lagi, jangan ada campur tangan politik lagi, kita pastikan bahawa ini semua akan menjadikan teras untuk menjamin masa depan kita.

Klik di sini untuk terus membaca