SHAH ALAM - Cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Petronas mengambil alih Sapura Energy Berhad (SEB) disifatkan sebagai ‘menyelamatkan’ kroni dan orang berkepentingan.
Penganalisis ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, masalah yang dialami syarikat perkhidmatan medan minyak itu adalah berkaitan kepincangan pengurusan dan salah tadbir urus.
Justeru katanya, perkara yang perlu diutamakan adalah membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
"Dalam konteks SEB diketahui berlaku kepincangan pengurusan dan salah tadbir urus, maka kalau Petronas bail out, kita telah hantar isyarat yang salah, seolah-olah memberi ‘keredaan’ (salah tadbir urus berlaku)."Walaupun Najib kata kerajaan tidak perlu mengeluarkan satu sen (wang), itu adalah pembohongan yang nyata kerana duit Petronas itu duit rakyat.
"Apabila Petronas mengambil alih SEB bermaksud Petronas akan membayar royalti dan cukai yang sedikit kepada kerajaan kerana telah lakukan perbelanjaan terhadap SEB,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, dalam program Debat Perdana Anwar-Najib yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis, Najib memberi cadangan agar Petronas mengambil alih SEB supaya RM7 bilion kontrak syarikat itu boleh diselamatkan selain yakin pengambilalihan itu akan menguntungkan negara.
Mengulas lanjut Baharom berkata, kenyataan Ahli Parlimen Pekan itu yang mendakwa pengambilalihan Petronas terhadap SEB tidak akan melibatkan duit kerajaan adalah mengelirukan, malah pembohongan yang nyata.
"Najib kata kesian kepada pekerja dan ini adalah satu lagi pembohongan dengan ‘memperkudakan’ pekerja SEB. Apa yang nak dibantu sebenarnya bukan pekerja, tetapi pihak pengurusan dan orang berkepentingan.
"Sekarang ada portal atau program di bawah perkhidmatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) iaitu MyFuture Job, jadi amat mudah untuk menyenaraikan pekerja yang terlibat dan padankan mengikut kesesuaian,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan, sudah tiba masanya kerajaan memberi isyarat tegas dan jelas kepada pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk tidak berkompromi dengan sebarang kepincangan pengurusan atau salah tadbir urus.
Perkara ini katanya, dapat membantu negara di masa akan datang selain pengurusan GLC dan GLIC akan menjadi lebih profesional.
Klik di sini untuk terus membaca