SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpandangan audit forensik boleh dilakukan untuk mengenal pasti permasalahan yang dihadapi oleh Sapura Energy Berhad (SEB) sebelum kerajaan membuat keputusan untuk bail out syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar di dunia itu.
Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr Firdausi Suffian berkata, pihak berkenaan perlu memperincikan penyelesaian kepada permasalahan yang timbul sehingga mengakibatkan syarikat itu berdepan dengan krisis kewangan.
"Langkah forensik hanyalah bersifat diagnosis. Kalau kita sakit, doktor akan buat diagnosis dan tengok apa punca, sama seperti situasi ini, jadi matlamat akhirnya ialah adakah kita mahu bantu (SEB) atau tidak selepas mengetahui diagnosis tersebut.
"Lihat secara forensik, sama ada SEB berpotensi untuk berkembang dengan mengurangkan beberapa kos misalnya, gaji Pengarah Eksekutif tidak boleh diberikan terlalu tinggi sampai berbilion.
"Mana-mana pengurusan wang syarikat juga harus diperincikan semula dan sekiranya ia mempunyai prospek yang baik dan boleh berkembang, jadi kenapa tidak bail out. Ia memberi banyak manfaat kepada rakyat.
"Kena ada dulu forensik untuk tengok apa masalah yang dihadapi dan kemudian bail out lah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pada Khamis, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui hujahnya dalam Debat Perdana bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan audit forensik dilakukan bagi menyelamatkan SEB.
Mengulas lanjut, Firdausi berkata, mengikut trend sejarah, kerajaan sudah pernah bail out banyak syarikat gergasi sebelum ini.
"Ada yang lepas kerajaan bantu bail out, syarikat berkembang bagus dan masih lagi relevan, tetapi ada juga yang akhirnya bankrap.
"Tetapi yang paling penting, selepas bail out, SEB tidak boleh terus bergantung dengan kerajaan sebab bebanan kerajaan sudah tinggi.
"Ini kerana kerajaan dah guna banyak duit untuk bantuan Covid-19 dan bantuan kepada rakyat serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca