SHAH ALAM - Pemaju mencadangkan beberapa langkah boleh dilaksanakan bagi memastikan pembinaan perumahan mampu milik dapat terus dijalankan di sebalik tekanan harga bahan binaan yang semakin meningkat.
Pengurus Kanan Projek Raya Baiduri Sdn Bhd, Noor Zaireen Abu Bakar berkata, antara langkah dicadangkan adalah menilai semula harga jualan rumah mampu milik ditetapkan oleh kerajaan.
"Jadi kalau harga jualan rumah ditetapkan oleh kerajaan negeri itu sudah lebih 10 tahun tidak disemak, kita berharap agar ia dinilai dan dinaikkan sedikit sesuai dengan pasaran semasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Kerajaan sebelum ini menetapkan harga kediaman mampu milik adalah pada RM300,000 dengan keluasan minimum 900 kaki persegi.
Cadangan lain yang dikemukakan Noor Zaireen adalah mengurangkan harga premium tanah yang dikenakan terhadap pemaju, selain mempercepat proses dokumentasi projek pembinaan.
Noor Zaireen berkata, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan perlu mewujudkan suasana perniagaan lebih mesra kepada pemaju supaya lebih banyak produk bermanfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan dalam situasi mencabar ketika ini.
"Contohnya, bantu kami dari segi mempercepat proses dokumentasi sebab itu semua memakan kos. Kadang-kadang ada projek sampai dua tahun belum lulus lagi sedangkan ada cara boleh percepatkan perkara tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Projek Landsworth Properties Sdn Bhd, Nor Izatulshima Mohd Zin berkata, jumlah penawaran rumah mampu milik jenis bertanah beberapa tahun kebelakangan ini sangat terhad disebabkan permintaan tinggi pembeli.
Katanya, faktor harga tanah yang mahal, selain kos pembinaan yang semakin meningkat juga menyebabkan tidak banyak rumah mampu milik jenis itu ditawarkan pemaju.
"Saya berpandangan jika mahu lebih banyak rumah mampu milik bertanah diwujudkan, kerajaan perlu bekerjasama dengan pemaju dengan menyediakan tanah, jika ada, bagi membina rumah bertanah supaya kos pembinaan dapat dikurangkan,” katanya sambil memberitahu, jumlah rumah mampu milik jenis bertingkat yang ditawarkan kini sudah agak berlebihan.
Klik di sini untuk terus membaca