SHAH ALAM - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menjangkakan peningkatan harga bahan binaan bakal menjejaskan jualan rumah di dalam negara dan seterusnya memperlahankan penyediaan rumah mampu milik di bawah model subsidi silang.
Pemangku Presiden Rehda, Datuk NK Tong berkata, kenaikan kadar inflasi di seluruh dunia sejak dua tahun lalu telah secara langsung meningkatkan kos operasi dan pembinaan ditanggung pemaju.
Katanya, keadaan tersebut yang diramal mengambil masa bertahun untuk kembali pulih juga akan terus memberikan tekanan terhadap kenaikan harga jualan rumah di Malaysia.
"Margin keuntungan pemaju telah semakin mengecil apabila usaha dilakukan untuk menyediakan rumah yang mampu dimiliki rakyat.
"Malangnya, kenaikan kos pembinaan tidak membantu dalam usaha ini,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.
Rabu lalu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) (tanpa bar keluli & termasuk bar keluli) bagi kesemua kategori bangunan di Malaysia telah meningkat antara 0.1 dan 3.6 peratus pada bulan April tahun ini.
Mengulas lanjut, Tong berkata, Prospek Pasaran 2022 Rehda menunjukkan 89 peratus pemaju di dalam negara menjangkakan jualan rumah mereka bagi tempoh separuh pertama 2022 adalah di bawah 50 peratus.
Tambahnya, Prospek Pasaran 2022 Rehda itu juga menunjukkan harga rumah yang dipasarkan pada tahun ini di Terengganu, Perak, Kedah/Perlis dan Negeri Sembilan adalah antara RM250,000 dan 500,000 sebuah.
Harga rumah yang dilancarkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pula adalah antara RM500,001 dan RM700,000.
Pada masa sama, Rehda menjangkakan peningkatan kos pembinaan tahun ini akan meningkat kepada purata 19 peratus berbanding tahun lalu, kesan kenaikan kos bahan binaan.
Tong berkata, antara langkah boleh dilakukan untuk memastikan rakyat dapat memiliki rumah adalah dengan menjadikan kos pematuhan dan peraturan lebih efektif.
Katanya, langkah tersebut jika dilaksanakan dapat mengurangkan kos tambahan tidak perlu dan mempercepat proses pembinaan, sekali gus mengurangkan kesan inflasi.
"Untuk tujuan itu, Rehda telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).Kami telah memberikan pandangan kami terhadap usaha KPKT,” ujarnya.
Sementara itu, Tong mendakwa beberapa pihak berkuasa negeri dan tempatan menyimpang dengan menggunakan garis panduan yang sewenang-wenangnya dan membuatkan sektor perumahan menjadi kurang mampu untuk dimiliki rakyat.
Kerajaan sebelum ini menyasarkan pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Klik di sini untuk terus membaca