SHAH ALAM - Orang ramai melahirkan kerisauan terhadap kemungkinan berkurangnya penawaran rumah mampu milik susulan peningkatan harga bahan binaan.
Seorang pekerja sendiri dari Kampar, Perak, Nur Khairunnisa Abd Khalil, 28, berkata, golongan B40 adalah yang paling terkesan susulan situasi tersebut.
"Dengan kos sara hidup semakin tinggi, ditambah kekurangan pilihan bagi mencari kediaman sesuai dengan pendapatan, ia bakal memberikan tekanan buat kumpulan ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang pensyarah dari Kota Damansara, Nasratul Naim, 34, pula berkata, situasi tersebut bakal menyukarkan lagi golongan M40 dan B40 untuk mencapai impian memiliki kediaman sendiri.
"Apabila kurang bekalan rumah mampu milik, maka secara langsung menyebabkan ramai golongan pertengahan dan bawahan terpaksa memilih rumah yang harganya lebih mahal sehingga secara tidak sedar meningkatkan lagi kos sara hidup mereka,” ujarnya.
Sementara itu, seorang kerani dari Gelugor, Pulau Pinang, Adam Rosli, 27, berkata, situasi tersebut bakal menyebabkan kumpulan belia berasa putus asa untuk memiliki rumah.
"Jadi pilihan terbaik yang mungkin ada adalah dengan menyewa. Dengan gaji yang saya ada ini memang tak mampu untuk miliki rumah biasa agak mahal,” ujarnya.
Turut sependapat ialah Pembantu Pemasaran Digital dari Shah Alam, Norhidayah Abdullah, 26, yang bimbang tentang kemampuannya memiliki rumah dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang.
"Ini ditambah dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang akan menyebabkan kadar faedah pinjaman bank untuk membeli rumah meningkat dalam tempoh yang panjang,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja dalam sektor peruncitan, Ellinatrah Azha, 29, berpandangan harga rumah mampu milik yang ditawarkan di pasaran sudah tidak sejajar dengan taraf pendapatan golongan yang disasarkan untuk memiliki kediaman tersebut."Dengan mengambil kira kenaikan harga rumah yang sememangnya dijangkakan, jadi apakah pilihan yang kita ada untuk memiliki kediaman yang diimpikan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca