SHAH ALAM - Rata-rata perunding hartanah melahirkan keyakinan masih mampu menjual sama ada rumah baharu atau ‘rumah terpakai’ di sebalik peningkatan kos bahan binaan.
Perunding hartanah berdaftar, Nora Azianty Selamat memaklumkan, permintaan terhadap dua jenis hartanah itu kekal pada tahap terbaik kerana pembeli sudah mengetahui nilai aset yang mereka kehendaki.
"Ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai ejen yang berjaya menjual ‘rumah subjualan’ (sudah ada pemilik) yang rata-rata berharga RM400,000 ke bawah.
"Biasanya rumah subjualan menjadi pilihan kerana terletak di kawasan mudah diakses sama ada untuk didiami oleh pembeli atau dijadikan sebagai pelaburan.
"Pembeli rumah baharu pula biasanya mengambil kira kerana kos permulaan yang rendah selain pemaju menawarkan hadiah sampingan seperti perjanjian pinjaman percuma, rebat atau diskaun lain berbanding rumah subjualan yang memerlukan pembeli sediakan 10 hingga 15 peratus kos guaman, 10 peratus wang pendahuluan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sementara itu, perunding hartanah berdaftar, Hasry Akmar Jamari memaklumkan, permintaan terhadap pembelian rumah di Johor kini semakin meningkat.
Katanya, pembeli memilih untuk memiliki hartanah itu ketika ini kerana bimbang harga rumah terus melambung pada masa akan datang.
"Kebanyakan pembeli memilih rumah baharu kerana ia mempunyai pakej dan tawaran tertentu,” ujarnya.
SIAPKAN RUMAH TERBENGKALAI
Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan menggesa, kerajaan campur tangan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh majoriti kontraktor kini akibat peningkatan harga bahan binaan yang semakin membebankan.
Katanya, kerajaan diminta memperluas Perubahan Kadar Harga (VOP) kepada kontraktor swasta bertujuan memberi subsidi kepada mereka.
Jelasnya, jika perkara tersebut tidak dilakukan, ia akan mengakibatkan lebih banyak projek tergendala dan terbengkalai.
"Harga bahan binaan sudah naik melambung sehingga sukar dikawal oleh kerajaan. Kalau projek-projek kerajaan yang ada VOP, ia boleh meringankan beban. Namun kalau projek swasta yang tiada VOP, mereka mengalami kerugian. Ini kerana bukan sahaja bahan binaan baik, harga gaji pekerja juga naik.
"Putaran ini akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat. Ia akan membebankan rakyat untuk membeli rumah nanti sebab harga naik. Kalau harga tidak naik, pemaju dan kontraktor yang kena tanggung rugi,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzill berkata, kerugian yang perlu ditanggung oleh kontraktor adalah disebabkan kenaikan harga bahan binaan itu sendiri.
"Ia bergantung kepada kadar kenaikan. Kalau naik sehingga 30 peratus, maka kontraktor rugi 30 peratus juga.
"Bahan binaan ini mempengaruhi 65 peratus dalam sesuatu projek. Jadi kalau harga bahan binaan naik tinggi, maka tiada siapa yang untung,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa kerajaan mengawal harga barang binaan agar ia tidak terlalu tinggi sehingga menyebabkan syarikat kontraktor gulung tikar.
Klik di sini untuk terus membaca