SHAH ALAM - Memperkenalkan diri sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memberitahu mangsa telah membuat pembelian ubatan dan menyalahi prosedur kementerian. Itu antara modus operandi baharu sindiket penipuan Macau Scam... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Memperkenalkan diri sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memberitahu mangsa telah membuat pembelian ubatan dan menyalahi prosedur kementerian.

Itu antara modus operandi baharu sindiket penipuan Macau Scam yang dikesan pada tahun ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak.

Menurutnya, mangsa yang menerima panggilan scammer itu kononnya akan disambungkan kepada pihak polis sebelum diterangkan bahawa mangsa terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram.

"Panggilan itu kemudiannya akan disambungkan kepada pihak ‘Bank Negara Malaysia.᾿

"Susulan itu, mangsa diarahkan untuk menyerahkan semua maklumat perbankan yang dimilikinya. Mangsa juga dimaklumkan bahawa akaun Tabung Haji miliknya akan dibekukan kerana mempunyai jumlah yang banyak,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, sindiket akan meminta nombor TAC daripada mangsa sebelum memindahkan wang bank ke dalam akaun bank sindiket.

Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya tertipu setelah membuat panggilan kepada pegawai khidmat pelanggan Tabung Haji.

Mengulas mengenai statistik kes Macau Scam di Kuala Lumpur, Mahidisham berkata, pada tahun 2020, sebanyak 3,055 kes membabitkan kerugian RM126.9 juta manakala tahun lalu merekodkan kerugian RM140.5 juta dengan 3,985 kes.

"Dalam tempoh empat bulan tahun ini sehingga April, 1,373 kes direkodkan dengan kerugian RM50.5 juta,” katanya.

Tambahnya, masyarakat sepatutnya mengambil berat tentang kempen pencegahan yang telah diadakan oleh pihak polis dan berkongsi maklumat ini kepada orang lain. Sikap malas membaca dan juga tidak mengendahkan nasihat polis juga perlu dibuang untuk mengelakkan lebih ramai yang menjadi mangsa.

"JSJK Kuala lumpur telah melancarkan e-Poster bagi memudahkan orang awam untuk mendapatkan maklumat tentang modus operandi terkini kes-kes melibatkan penipuan dalam talian.

"Setakat ini e-Poster ini telah diletakkan di 120 lokasi awam seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM), pusat beli-belah dan akan diperluaskan lagi di tempat-tempah ibadah dalam masa terdekat,” ujarnya.

Justeru, masyarakat diingatkan untuk menghubungi balai polis atau CCID Response Center di talian 03-26101559/1599 sekiranya menerima panggilan yang mencurigakan.

Klik di sini untuk terus membaca