SEPERTI biasa, apabila bunyi guruh di langit, maka ramailah yang bercakap mengenai hujan. Begitulah juga isu berkaitan kematian doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang yang terjun dari apartmen baru-baru ini telah menjadi isu yang diulas... Klik di sini untuk terus membaca

SEPERTI biasa, apabila bunyi guruh di langit, maka ramailah yang bercakap mengenai hujan. Begitulah juga isu berkaitan kematian doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang yang terjun dari apartmen baru-baru ini telah menjadi isu yang diulas tanpa henti sehingga kini.

Pendek kata, pelbagai perspektif timbul berkaitan isu tersebut. Yang jelas, isu stres di persekitaran kerja yang toksik menjadi fokus perbincangan.

Sebetulnya, isu stres di tempat kerja telah lama berlaku. Berdasarkan beberapa kajian terkini, dianggarkan empat juta pekerja di Malaysia mengalami stres di tempat kerja. Dikhuatiri, gejala stres tersebut mendorong lebih ramai membunuh diri sebagai jalan penyelesaian yang singkat.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, dalam tempoh 10 hari sepanjang Mei, terdapat empat individu yang dilaporkan jatuh dari Jambatan Pulau Pinang. Hal itu sangat menakutkan jika tiada langkah konkrit untuk membendungnya.

Menurut perspektif psikologi, mereka yang bekerja di persekitaran kerja yang toksik akan berasa tidak bernilai, pandangan mereka tidak diambil kira, tidak dihormati, tiada perkembangan kerjaya dan kaku di tempat kerja. Kesemua elemen tersebut berlaku kesan daripada perbuatan buli, penderaan mental dan emosi serta beberapa perangai liar yang tidak dikawal.

Persoalannya, apabila menyedari berada di tempat kerja yang bertoksik, apa harus kita lakukan?

Berkaitan hal itu, saya tertarik dengan kupasan oleh Ronald E Riggio, seorang pakar psikologi menerusi artikel diterbitkan oleh Pscychology Today yang bertajuk How to fix a toxic work culture? Jelas beliau, perkara utama yang perlu kita lakukan adalah mengenal pasti kewujudan elemen toksik di tempat kerja terlebih dahulu seperti adanya tingkah laku buli dan pelbagai watak negatif serta antagonis (kuat menentang). Yang jelas, kesemua elemen tersebut mendorong terhadnya komunikasi dalam kalangan staf, budaya suka mempersalahkan orang lain dan pelbagai perilaku yang tidak beradab.

Selain itu, kita harus membentuk kumpulan dalam kalangan pekerja yang berfikiran positif, ikhlas dan berani mengembangkan nilai-nilai yang baik di tempat kerja serta mencantas perilaku buruk oleh pekerja-pekerja lain.

Pada masa sama, memupuk pelbagai aktiviti yang boleh meningkatkan kemesraan dalam kalangan pekerja. Yang penting, kita harus menjadi kelompok yang menyelesaikan masalah dan bukannya menimbulkan masalah.

BERANI BERSUARA

Di samping itu, kita harus berani menyuarakan dan menegur setiap perkara salah walaupun dilakukan oleh majikan sendiri. Sekiranya kita masih gagal membantu mempositifkan tempat kerja, barulah kita membuat perancangan sama ada kekal atau pindah dari tempat kerja berkenaan.

Pada hemat saya, isu toksik di tempat kerja perlu ditangani dengan serius dan bersungguh-sungguh. Memandangkan satu pertiga masa kita dihabiskan di tempat kerja, sudah tentu persekitaran toksik di tempat kerja akan mempengaruhi dua pertiga masa yang lain.

Sekiranya kita bekerja sebagai suatu ibadat, sudah tentu kita akan mengikut pedoman seperti mana sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi dan al-Tabarani)

Selain itu, toksik di tempat kerja boleh ditangani sekiranya kita beramanah seperti firman ALLAH SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) ALLAH dan rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah Al-Anfal, 8:27).

Elakkan diri menjadi toksik di tempat kerja.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca