SAYA tertarik dengan pe-nerangan Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan analogi kek, merujuk kepada Debat Perdana beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kata beliau, kita perlukan kek yang besar dahulu supaya dapat kita... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA tertarik dengan pe-nerangan Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan analogi kek, merujuk kepada Debat Perdana beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata beliau, kita perlukan kek yang besar dahulu supaya dapat kita membahagi-bahagikannya kepada rakyat.

Saya tidak suka makan kek. Kalau kek yang ada kacang atau badam mungkin membuka selera saya. Kek ini pun biasanya akan saya makan ketika ada sambutan hari lahir sesiapa sahaja.

Jika terasa sangat hendak makan kek, saya akan membeli yang kecil sahaja atau sepotong secukup rasa. Harganya bukan murah.

Dengan kos barangan meningkat, mungkin untuk sentiasa makan kek boleh menyebabkan poket kita kering, maka kita mungkin akan dapat makan kek pada majlis-majlis yang diundang sahaja.

Kata Anwar, kek walaupun besar tetapi hanya sebahagian kecil yang dapat menikmatinya. Nanti ada pula yang rasa iri hati kerana dapat makan kek tidak secukupnya.

Kata Najib, untuk memperoleh kek yang besar, hendaklah ada sumber duit. Sumber duit itu datang daripada sumber peniaga kek yang mungkin hendak membuat projek kek dan melabur di Malaysia dalam industri kek.

Dengan adanya pelaburan syarikat besar, ia akan membuka ruang pekerjaan kepada mereka yang memohon hendak bekerja dalam industri kek dan dengan terhasilnya peluang pekerjaan, maka ramai yang dapat beli dan makan kek.

Namun, peluang itu agak mencabar kerana mungkin ramai yang hendak mendapatkan kek. Jadi, perlu ada ruang dan peluang supaya kedai kek banyak dibuka dengan meningkatkan lagi pelaburan dalam industri kek.

Pernah terjadi kepada saya apabila termakan kek yang menyebabkan saya berulang kali ke tandas. Agaknya kek sudah tercemar.

Kita juga kadang-kadang amat gembira makan kek walaupun sepotong kecil. Sekurang-kurangnya kita beranggapan adalah juga orang yang mengingati kita yang mungkin sedang mengidam.

Saya berharap ramailah akan mendapat kek yang besar dan bukan sepotong sahaja pada masa akan datang. Dan kita berharap harga kek janganlah mahal sangat kerana bukan semua orang mampu membelinya.

Saya juga tertarik dengan cadangan Najib yang mengatakan untuk membina negara, hendaklah menambah aset, bukannya menjual aset.

Kita sebagai rakyat perlulah sentiasa berfikir bagaimana hendak menambah aset. Dengan menambah aset, maka dapat juga kita membina kekayaan keluarga.

Aset penting untuk pelaburan pada masa akan datang, bukannya bila susah, terus dijualnya aset atau harta, nanti akan menjadi papa kedana adalah kita.

Baru-baru ini pun ada yang telah mendapat duit daripada Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Dengan duit sebanyak itu, ada yang mampu menambah aset. Antara yang saya dengar, ada kedai-kedai emas kehabisan resit kerana ramai yang membeli emas.

HARGA EMAS NAIK

Dengan harga emas menaik, bolehlah mereka mendapat keuntungan.

Cuma saya ada berfikir, untuk menambah aset, kita perlu ada duit lebihan. Kalau guna bukan duit lebihan, nanti kalau ada kecemasan atau keperluan lain, mungkin kita terpaksa berhutang pula.

Agaknya kita perlu mencari pendapatan tambahan dengan bekerja sambilan. Duit tambahan itu nanti boleh kita tambah lagi aset kekayaan. Kita ini rakyat marhaen, tidaklah boleh seperti kata pepatah Melayu, tiang pandak hendak menyamai tiang panjang.

Orang-orang kaya atau berkepentingan, bak kata pepatah, busut juga ditimbun anai-anai.

Mereka yang sudah kaya akan bertambah kaya kerana mendapat duit yang kadang-kadang tidak perasan atau sedar dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Orang-orang kaya ini akan bertambah asetnya kerana mempunyai duit lebihan. Ada antaranya yang mendapat duit komisen sahaja pun sudah berjuta-juta. Kata pepatah lagi, untut bertambahlah kulitnya.

Mungkin dengan cadangan Najib, dapatlah kita satu pengajaran untuk digunakan dalam kehidupan seharian iaitu dapat makan banyak kek, tambahlah aset, baru boleh kaya dan tidak miskin papa kedana lagi.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.

Klik di sini untuk terus membaca