MINGGU lalu negara telah menyaksikan tiga sesi debat yang hebat. Walaupun ada tiga tetapi hanya dua yang mungkin lebih menarik perhatian.
Ramai juga bertanya, dalam dua debat tersebut, siapa yang menang? Soalan itu sebenarnya sukar dijawab.
Satu, debat ini hanyalah satu premis untuk meraikan pandangan dan idea masing-masing terhadap sesuatu isu dalam suasana matang dan terbuka. Kedua, debat bukanlah pertandingan untuk mencari siapa jaguh siapa juara.
Ketiga, sifatnya subjektif. Kalau tanya penyokong masing-masing, sudah tentulah mereka yang menang dan lawannya kalah. Kemudian yang mengikutinya juga ada perspektif tersendiri mengikut interpretasi masing-masing tentang siapa yang hujahnya lebih bernas, kupasannya lebih tuntas atau bahasa penyampaiannya lebih petah dan kemas. Jadi, terpulanglah untuk bersetuju atau tidak, yang penting kita harus menghormatinya.
Berbalik kepada dua debat tersebut, secara umum kedua-duanya telah berjalan dengan baik dan lancar. Secara perbandingan, kesemua pendebat berjaya menunjukkan kematangan dan bersikap profesional sepanjang sesi masing-masing walaupun dalam format berbeza.
Debat Saifuddin-Rafizi dalam format diskusi ala-pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS), manakala Najib-Anwar berlangsung dalam format silent debate (penonton yang senyap tanpa reaksi terhadap pendebat).
Debat Saifuddin-Rafizi lebih menjurus kepada pembentangan gagasan dan idea masing-masing sekiranya terpilih menjadi Timbalan Presiden. Kedua-duanya jelas memperlihatkan idea yang bernas dan praktikal, namun berbeza dari aspek sasaran.
PENDEKATAN SETIA
Saifuddin menonjolkan pendekatan setia kepada Presiden, yang umumnya menyasarkan ahli parti secara khusus dengan membawa naratif tidak mahu membina empayar politik sendiri sepertimana Timbalan Presiden sebelumnya.
Naratif itu cuba menawarkan asas kestabilan terhadap parti sebagai komponen untuk menyejahterakan dan menggerakkan parti ke hadapan. Isunya mudah, parti tidak akan ke mana jika masih gagal menyelesaikan perpecahan dalaman, yang sekali gus tidak membawa kemenangan buat parti dan menjadikan Presiden sebagai Perdana Menteri.
Rafizi pula dilihat lebih mencapah dalam berhujah apabila menggunakan pendekatan-pendekatan praktikal yang menyentuh bukan sahaja ahli parti, malah pengundi secara umum.
Keperluan untuk parti mempunyai Timbalan Presiden yang cekap, tangkas dan agresif membawa idea-idea segar untuk menang pilihan raya umum (PRU) menjadi penawarannya. Paling jelas, dalam isu khemah besar yang diutarakan.
Walaupun Saifuddin menepis idea khemah besar sebagai pendekatan parti berunding dengan parti-parti lain (selain Pakatan Harapan (PH) untuk menang pilihan raya, Rafizi jelas melihat ia punca PH terpesong selama dua tahun disebabkan strategi salah dan perlu segera diubah.
Debat Najib-Anwar lebih menonjolkan aspek perdebatan dalam erti kata sebenar. Walaupun format perdebatan memecahkan dua isu dalam satu sesi-isu penyelamatan Sapura Energy Berhad (SEB) dan hala tuju ekonomi, politik serta tadbir urus negara, hujah-hujah pendebat tetap fokus, kemas dan baik.
Kedua-dua pendebat memperlihatkan kemampuan menerangkan hujah dengan cara mudah dan teratur. Yang berbeza mungkin gaya dan cara penyampaian. Seperti dijangka, perkataan kek, forensik dan analogi Cash is King (King adalah ‘Rakyat’) lebih menjadi perhatian.
Secara peribadi, cara Najib lebih menepati format debat sebenar. Hujahnya kompak penuh fakta, idea dan cadangan menerusi pendekatan dasar (walaupun skeptik dengan cadangan dikemukakan).
Paling penting, Najib nampak bersedia dan kurang beretorik. Anwar juga, di sebalik masih mengekalkan gaya dan tona biasa tetap konsisten mengetengahkan isu-isu integriti dan tadbir urus yang baik (good governance).
Ada beberapa perkara yang mungkin tidak dijelaskan dalam perdebatan. Paling utama, apa masalah sebenar dalam SEB sehingga ia perlu diselamatkan – salah urus, rasuah atau apa? Ia tidak dijelaskan melainkan mengapa dan cara bagaimana ia harus diselamatkan (sama ada kaedah pengambilalihan oleh Petronas Najib mahupun audit forensik Anwar).
Yang pasti, budaya berdebat sebegini mesti dibudayakan dan kerap dianjurkan. Jika debat antara Najib-Anwar akhirnya berlaku, mengapa tidak ia dipanjangkan pula dalam kalangan pemimpin lain pada masa hadapan.
* Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM
Klik di sini untuk terus membaca