PADA Khamis, penganjuran Debat Perdana melibatkan dua tokoh besar negara iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya melabuhkan tirai kemeriahan program debat awam... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Khamis, penganjuran Debat Perdana melibatkan dua tokoh besar negara iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya melabuhkan tirai kemeriahan program debat awam sepanjang minggu ini.

Ia sesudah rakyat negara ini disajikan dengan hidangan pertembungan hujah dan idea melibatkan dua calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan dua calon Timbalan Presiden PKR pada Selasa dan Rabu.

Program Debat Perdana Anwar-Najib menjadi kemuncak kepada agenda percambahan ilmu melibatkan dua tokoh pemimpin daripada kerajaan dan pembangkang, dalam menggariskan kerangka hala tuju negara mendepani pasca pandemik Covid-19.

Dengan kedua-dua tokoh itu dilihat berjaya menampilkan hujah bernas dan berkualiti dalam mengupas isu kelemahan syarikat perkhidmatan minyak dan gas, Sapura Energy Berhad (SEB), masalah ekonomi, krisis politik dan urus tadbir negara ketika ini.

Keputusan hasil pertarungan hujah di antara Anwar dan Najib secara zahirnya memuaskan hati kedua-dua penyokong mereka, lantaran dua figura itu berjaya membuktikan keupayaan untuk berdebat meskipun masing-masing terpalit dengan isu integriti dan kelemahan kepimpinan di peringkat parti.

Namun begitu, adakah lontaran hujah dan idea dikemukakan Anwar dan Najib dalam program debat awam semalam berjaya memberi jawapan penyelesaian terhadap segala permasalahan dihadapi negara ketika ini?

Anwar semasa program Debat Perdana yang disiarkan langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis.

Berdasarkan asas hujah dikemukakan kedua-dua pendebat berkenaan pada Khamis, rakyat akan mendapati inti pati perdebatan hanya berkisarkan ulangan hujah kedua-dua belah pihak yang sudah dimuat naik dalam saluran media sosial masing-masing.

Dalam erti kata lain, itulah naratif utama cuba diketengahkan Anwar dan Najib kepada rakyat secara konsisten dengan kedua-duanya berkongsi niat untuk menyelesaikan masalah dan memberikan solusi terbaik kepada rakyat dan negara.

"Cuma, perbezaannya adalah Anwar lebih memberi tumpuan kepada soal urus tadbir dan pengurusan cekap dalam pengendalian projek berkepentingan rakyat, manakala Najib pula lebih memberi tumpuan menggunakan kaedah bailout yang pernah digunakan oleh kerajaan sebelum ini dalam menyelamatkan GLC bermasalah.

"Satu lagi perkara menarik yang boleh didapati daripada inti pati hujah mereka adalah Anwar mengambil langkah berhati-hati dalam setiap inisiatif penyelesaian masalah. Najib pula mengambil pendekatan agresif untuk mencari solusi tanpa perlu menunggu hasil penyiasatan dalaman terperinci.

"Itu sebabnya Anwar kerap menekankan keperluan siasatan audit forensik sepanjang penghujahan beliau, manakala Najib lebih selesa mengemukakan formula penyelesaian yang melibatkan peranan kerajaan untuk kepentingan rakyat lebih besar pada masa hadapan," kata Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi.

Satu lagi hasil penelitian menarik yang boleh didapati daripada debat Anwar-Najib adalah pendekatan kedua-dua pemimpin itu dalam menjustifikasi dan mencari solusi kepada kegagalan pelaksanaan sesebuah projek atau pengurusan krisis.

Pada Anwar, masalah pengurusan adalah akar kepada kegagalan sesebuah projek dengan beliau berpandangan perlunya diwujudkan kepimpinan bersih, berintegriti dan terhindar daripada salah guna kuasa demi masa hadapan negara lebih cerah.

Sebaliknya, Najib lebih kreatif dalam menyediakan solusi alternatif kerana beliau berpandangan masalah pengurusan bukan perkara pokok yang penting.

"Akarnya adalah 'trust' atau kepercayaan di mana kepercayaan Najib terhadap institusi dan pelaksana adalah optimis, manakala Anwar pula beranggapan tahap integriti kelompok pelaksana masih belum memuaskan.

Najib pada program Debat Perdana yang julung kali menampilkannya bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis.

"Jika dirungkai sedikit kecacatan dalam debat Anwar-Najib, saya melihat Najib tidak begitu menyentuh soal urus tadbir yang dibangkitkan Anwar, sama juga seperti Anwar yang dilihat kurang menyediakan visi masa hadapan melibatkan aspek polisi kerajaan dan pembangunan," ujar Anis Anwar lagi.

Konklusinya, pertembungan Anwar dan Najib pada zahirnya boleh diibaratkan 'bertemu buku dengan ruas' dengan Presiden PKR itu berjaya membuktikan karismanya selaku pemimpin paling berpengaruh di Malaysia masih utuh, manakala Najib pula berjaya mengenepikan dakwaan beliau sekadar 'jaguh Facebook' semata-mata.

Namun secara tersiratnya, rakyat Malaysia yang cakna akan sedar bahawa kebanyakan isu-isu sampingan selain SEB dilontarkan Anwar-Najib adalah 'serangan' kritikan terhadap tindakan politik yang dibuat bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu zaman pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) selama 22 tahun dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

Dengan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka semakin hampir, sudah pastinya program debat awam ini memberi peluang kepada Anwar dan Najib untuk menaikkan kembali pengaruh politik masing-masing di mata penyokong parti dan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, sama ada program debat perdana Anwar-Najib memberi solusi signifikan terhadap segala permasalahan rakyat, segalanya terpulang kepada tekad politik dan kejujuran kedua-dua tokoh besar berkenaan untuk merealisasikannya kelak.

Klik di sini untuk terus membaca