SHAH ALAM - Ahli perwakilan UMNO mempunyai suara yang lebih tinggi berbanding Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kerana parti hidup atas dasar mereka. Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, jika... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli perwakilan UMNO mempunyai suara yang lebih tinggi berbanding Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kerana parti hidup atas dasar mereka.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, jika sesuatu dasar itu tidak mendasari kehendak ahli-ahli parti maka sukar untuk membawa arah tuju baharu pada parti politik berkenaan.

"Sudah pasti mahukan keabsahan yang besar daripada perwakilan kerana mereka mempunyai suara yang lebih tinggi daripada MKT meskipun dalam konteks hari ini perwakilan mahukan sesuatu perkara itu diluluskan dengan kadar segera atau pun dasar parti itu mahu diperbaharui atau dipinda. Jadi bagi saya ia terserah kepada perwakilan menentukannya.

"Ia kerana parti atau organisasi ini hidup atas daripada perwakilan dan ahli-ahli parti. Ini sebenarnya yang berlaku dalam mana-mana parti atau organisasi, mahu tidak mahu akhirnya ahli parti perlu dirujuk.

"Meskipun dikatakan ada rasuah politik tetapi akhirnya kalau perwakilan kata itu yang dia mahu serah kepada perwakilan kerana mereka menentukan kepimpinan parti, arah tuju dan dasar parti,” katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Edisi ke 345 yang bertajuk EGM: Risiko Untuk UMNO? Sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub

Turut menjadi panel Pengamal Undang-Undang, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Sementara itu, Mohammad Tawfik berkata, parti politik khususnya dalam kalangan pemimpin UMNO perlu mengambil peluang dengan segera untuk membubarkan Parlimen

Katanya, jika terlalu lama ia memberikan satu kesan yang negatif kepada momentum politik dan gelombang politik kepada Barisan Nasional.

"Kita melihat pada bila-bila masa sebenarnya, Perdana Menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk bubar Parlimen kerana ‘mood’ sekarang bukan sahaja ahli-ahli parti tetapi rakyat juga lebih cenderung kepada BN dan kerajaan.

"Kerana kita lihat pelbagai bantuan yang diberikan dengan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meredakan kemarahan rakyat. Tol percuma dalam sejarah negara, jadi sekurang-kurangnya rakyat sekarang berada dalam keadaan tenang.

"Bagi parti politik khususnya kepada pemimpin UMNO ini adalah ruang yang tepat dan segera perlu diambil, walaupun ada ura-ura mengatakan ada menteri yang akan meletakkan jawatan, itu perkara biasa dalam pentadbiran pemimpin keluar dan masuk,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau bagaimanapun berkata, kerajaan perlu melihat kepada bilangan kes Covid-19 yang tidak menentu untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU).

"Namun bagi saya bagaimana untuk kita menangani keadaan semasa itu terpulang kepada kerajaan dan sudah pasti desakan itu diberikan kepada Perdana Menteri untuk bubar Parlimen dalam tempoh pada bila-bila masa sahaja.

"Saya rasa rakyat sudah bersedia, mereka sendiri mesti sudah terfikir lepas hari raya akan ada PRU.

"Sudah pasti bersedia untuk menentukan satu kerajaan yang boleh menstabilkan semula ekonomi, politik dan apa sahaja kebaikan untuk negara.

"Kita dah lihat trek rekod BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan sekarang Kerajaan Keluarga Malaysia sudah pasti sesuatu yang menstabilkan itu perlu dalam waktu sekarang,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca