SHAH ALAM - Pindaan Perlembagaan Parti bagi berhadapan dengan dinamika politik negara adalah perkara biasa bagi sesebuah parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, UMNO seharusnya menerima perubahan politik dan transformasi yang berlaku selepas PRU 2018.
Menurutnya, mereka sedang berusaha untuk memberi kepercayaan bukan sahaja kepada ahli parti tetapi juga pimpinan parti dalam konteks yang baharu.
"Pindaan kepada Perlembagaan parti itu perkara biasa tetapi luar biasa dalam situasi dan keadaan pada hari ini, saya lihat ini satu proses ke arah bagaimana untuk kita berhadapan dengan PRU15 yang akan datang.
"Ahli-ahli parti dan pemimpin sudah pasti ada kepelbagaian pandangan dan persepsi tentang apa yang harus dilakukan khususnya dalam EGM pada esok hari.
"Namun saya sebenarnya cukup yakin ada dua kelompok atau lebih dalam UMNO sama ada menerima atau menolak tindakan yang cuba diusahakan dalam EGM dan sebenarnya pindaan ini bukan lah perkara baharu kerana MCA pernah melakukan perkara sama pada 2011,” katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Edisi ke 345 yang bertajuk EGM : Risiko Untuk UMNO? Sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas.
Turut menjadi panel Pengamal Undang-Undang, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Dalam pada itu, Mohammad Tawfik bagaimanapun berkata, dalam mana-mana parti politik ia tidak boleh disamakan dengan parti politik yang lain.
"Kita lihat pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang berlangsung, jadi adakah kita nak ikut PKR laksanakan pemilihan itu atau parti itu ada pendirian yang tersendiri.
"Jadi bagi saya sudah pasti kepimpinan parti UMNO melihat bahawa berhadapan dengan PRU15 lebih penting berbanding dengan pemilihan parti.
"Ini kerana dengan kesedaran bahawa ada bibit-bibit pecahan dalam UMNO itu sendiri maka perlu pindaan atau penyatuan sementara waktu sebelum berhadapan dengan PRU15 akan datang,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, strategi, persepsi dan dakwaan yang digunakan boleh berubah pada bila-bila masa kerana politik itu seni serba mungkin.
"Hari ini kita lihat bukan sahaja persepsi ahli berubah tetapi pemimpin juga boleh berubah pada bila-bila masa dan meskipun kita lihat sudah ditetapkan 'poster boy' itu mungkin Datuk Seri Ismail Sabri tetapi boleh berubah pada bila-bila masa seperti di Johor.
"Ini sebenarnya politik, tidak statik, ia berubah secara dinamik dan apa sahaja yang berlaku itu sebenarnya politik melibatkan kuasa ataupun pergelutan untuk mendapatkan satu jawatan dalam kerajaan.
"Bagi saya perkara ini normal kalau tidak mahu perkara tersebut berlaku dalam kehidupan pemimpin politik, tidak mampu berhadapan dengan keadaan yang getir dalam politik, tidak perlu masuk politik lah, baik duduk di rumah sahaja,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, Pindaan Perlembagaan Parti itu tidak menjadi masalah sekiranya undang-undang dan ahli mahukan perkara tersebut berlaku.
Tambahnya, ia bukannya satu isu yang membelakangkan demokrasi atau menidakkan peraturan.
"Setiap daripada ahli parti perlu melihat bahawa ini sebenarnya satu proses demokrasi dan mereka tidak perlu ikut parti-parti politik lain kerana setiap parti politik ada pendiriannya dan sudah pasti setiap parti politik itu tidak ada satu pun keputusan yang sempurna.
"Kalau ada 100 ahli parti, akan ada 10 yang tidak setuju, jadi itu minoriti dan bagi saya itu sebenarnya demokrasi. Kita menghormati keputusan majoriti parti dalam masa sama kita menunaikan hak dan menjaga ahli yang minoriti.
"Namun dalam konteks pemilihan, saya sebenarnya melihat kedua-dua kem ini (Kem Putrajaya dan Kem 15) berusaha sama ada untuk melaksanakan pemilihan sebelum PRU15 atau selepas.
"Jadi kedua-dua keadaan ini sebenarnya memberi impak kepada kedua-dua kumpulan ini, jadi bagi saya dalam keadaan yang begitu terdesak pada dua kumpulan ini lebih baik kita menumpukan usaha bagaimana untuk mengukuhkan UMNO.
"Ini kerana dalam kerajaan UMNO masih tidak mendominasikan jawatan-jawatan penting, maka sudah pasti sesuatu perlu dilakukan bukan sahaja kem Putrajaya atau kem 15 tetapi pada waktu yang sama, mereka kena kukuhkan kedudukan UMNO itu sendiri dalam kerajaan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca