SHAH ALAM - Sebanyak 12 kali terma ‘audit forensik’ disebut-sebut oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu sesi Debat Perdana Najib-Anwar yang bersiaran secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur pada Khamis.
10 kali audit forensik disebut dalam pusingan pertama debat yang menjurus kepada isu Sapura Energy Berhad (SEB), yang merupakan syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar di dunia manakala dua lagi disebut pada pusingan kedua debat berhubung masa depan Malaysia.
Anwar menggesa supaya audit forensik dilakukan khususnya dalam mencari punca kepada permasalahan yang dihadapi SEB, sekali gus mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Susulan itu, pada Jumaat, perkataan audit forensik tersebut terkenal di media sosial di mana orang ramai menggunakan terma itu dengan memuat naik status atau komen di akaun media sosial masing-masing terutama isu SEB.Salah seorang pengguna Facebook, Nurul Musliha memuat naik soalan di Facebooknya berhubung tajuk perdebatan pusingan pertama antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Anwar.
Terdapat empat jawapan yang dikemukakan, antaranya, SEB akan selamat jika audit forensik dilakukan ataupun audit forensik tidak diperlukan.
Bagi pemilik akaun Facebook, Hishamong pula, berpandangan bahawa usaha selamatkan SEB dengan audit forensik boleh dibuat secara serentak.
"Kita tahu Najib tak pernah tolak audit forensik ke atas SEB dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) pun tak pernah buat audit forensik sebelum mereka suntik wang berbilion-bilion ke dalam SEB untuk menjadi pemegang saham terbesar pada tahun 2019,” katanya.
Bagaimanapun, seorang lagi pengguna Facebook, Syed Agil Jamalullail mempertikaikan cadangan audit forensik yang dikemukakan Anwar.
"Kalau betul sangat nak audit forensik, kenapa tak audit dulu sebelum kerajaan PH beli saham SEB? Masa PH beli saham SEB, Anwar tidak bising pula, tapi bila nak selamatkan duit rakyat daripada hangus, dia (Anwar) nak pula (buat) audit forensik,” katanya.
Untuk rekod, semasa zaman pentadbiran PH, PNB telah melakukan suntikan modal dan menjadi pemegang saham terbesar dalam SEB.
Klik di sini untuk terus membaca