MARTABAT Kesusasteraan Tamil terus berevolusi sehingga hari ini di Malaysia, sebuah negara yang diduduki rakyat berbilang bangsa dan agama. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan yang diibaratkan sebagai restu cukup besar dalam usaha... Klik di sini untuk terus membaca

MARTABAT Kesusasteraan Tamil terus berevolusi sehingga hari ini di Malaysia, sebuah negara yang diduduki rakyat berbilang bangsa dan agama. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan yang diibaratkan sebagai restu cukup besar dalam usaha mengekalkan survival bahasa Tamil di negara ini.

Survival Kesusasteraan Tamil turut terpelihara dengan adanya agenda pendidikan nasional berlandaskan sistem persekolahan vernakular dan terwujudnya platform pembelajaran mata pelajaran Kesusasteraan Tamil di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Akhbar harian Tamil, Makkal Osai melaporkan baru-baru ini isu SMK Sultan Sulaiman Shah, Bestari Jaya di Selangor yang mendapat perhatian seluruh masyarakat India dan pencinta Kesusasteraan Tamil apabila pelajar Tingkatan Empat dan Lima di sekolah itu menerima ‘halangan’ untuk mempelajari mata pelajaran tersebut.

Makkal Osai mendakwa pihak pentadbiran sekolah berkenaan telah menjadi batu penghalang kepada pelajar untuk mengambil dan mempelajari subjek tersebut.

MIC telah tampil menyiasat dengan mengadakan perjumpaan selama dua jam bersama pengetua dan barisan pentadbiran sekolah berkenaan. Pihak pentadbiran sekolah telah menjelaskan bermula tahun depan guru yang dipertanggungjawabkan mengajar mata pelajaran Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil bakal bersara.

Keadaan itu menyebabkan pihak sekolah mengalami masalah kekurangan guru Bahasa Tamil. Bagaimanapun, pengetua sekolah telah berjanji untuk menyelesaikan isu yang cukup sensitif itu sebelum 30 Mei ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon membidas undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan dan agenda pendidikan kebangsaan yang telah memperuntukkan hak saksama kepada semua pelajar bebas memilih mata pelajaran kegemaran mereka untuk dipelajari di sekolah.

Sungguhpun pihak pentadbiran sekolah menghadapi kekangan kekurangan guru Bahasa Tamil tetapi isu tersebut jangan dijadikan alasan untuk mencabar hak seseorang pelajar mempelajari subjek bahasa ibundanya.

Mata pelajaran Kesusasteraan Tamil adalah antara subjek dalam elektif kemanusiaan dan sastera ikhtisas di bawah Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang telah dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan Tingkatan Satu pada tahun 2017.

Hang Soon menjelaskan, beliau telah menghantar surat rasmi kepada Ketua Pengarah Pendidikan berhubung isu berkenaan agar pada masa akan datang, pelajar tidak menghadapi masalah seumpama itu.

Hang Soon juga telah menekankan tentang kepentingan pembelajaran Kesusasteraan Tamil yang telah tersenarai dalam KSSM sebagai subjek elektif peperiksaan awam.

Justeru, Hang Soon menegaskan agar pihak pentadbiran tidak bersikap leka dan menghalang pelajar mempelajari mata pelajaran tersebut.

Hakikatnya, pelajar bersedia untuk mempelajari mata pelajaran berkenaan dan ada guru untuk mengajarnya, maka pihak lain sepatutnya membantu dalam urusan pembelajaran tersebut supaya mereka mendapat keputusan cemerlang.

Hang Soon turut mengesyorkan kepada ibu bapa dan orang ramai sekiranya timbul isu seperti itu untuk segera membuat aduan ke pejabatnya.

Beliau akan sedaya upaya menyelesaikan isu-isu tersebut supaya rakyat sedar kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengamalkan agenda pendidikan secara adil serta saksama kepada semua pihak.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penulis-Penulis Tamil Malaysia, Nyana Simen menyambut baik pendirian KPM yang menegaskan pembelajaran mata pelajaran Kesusasteraan Tamil wajar dipelajari tanpa sebarang halangan daripada mana-mana pihak.

KPM harus melaksanakan langkah efektif bagi menangani isu kekurangan guru Kesusasteraan Tamil dan menjamin kedudukan serta survival mata pelajaran itu dalam KSSM demi kebaikan golongan pelajar masyarakat India.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor

Klik di sini untuk terus membaca