SHAH ALAM - Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berkemungkinan boleh meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan UMNO jika ia tidak memudaratkan ahli-ahlinya. Pengamal Undang-Undang, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, jika RoS... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berkemungkinan boleh meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan UMNO jika ia tidak memudaratkan ahli-ahlinya.

Pengamal Undang-Undang, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, jika RoS mendapati bahawa pindaan yang diusulkan itu tidak disalah gunakan oleh individu yang berkuasa dalam parti, maka RoS akan meluluskannya.

Menurutnya, fasal 30 Perlembagaan UMNO, sebaik sahaja RoS luluskan pindaan itu ia boleh dikuatkuasakan dengan serta merta.

"Maknanya jika berlaku Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas esok, UMNO mempunyai 60 hari untuk memohon kelulusan daripada RoS dan jika diluluskan, parti boleh kuat kuasakan terus apa yang diluluskan, tak perlu tunggu pemilihan yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Edisi ke 345 yang bertajuk EGM: Risiko Untuk UMNO? Sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Sabtu.

Turut menjadi panelis, penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Jelasnya, sekiranya ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan RoS, permohonan rayuan boleh dibuat.

"Apa yang menimbulkan kerisauan ialah sekiranya RoS tak setuju. Mereka juga takut RoS ini boleh dipengaruhi oleh Perdana Menteri, saya percaya tidak kerana RoS di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri (KDN).

"Katalah Menteri Dalam Negeri dengar rayuan dan buat keputusan, namun ada pihak yang masih tidak berpuas hati, Akta Pertubuhan klausa 18c, ahli-ahli tidak boleh ambil tindakan terhadap parti tetapi isu itu boleh bawa ke mahkamah untuk semakan kehakiman,” katanya.

Beliau berkata, isu prinsip dan etika tetap timbul apabila sepatutnya adalah musim pemilihan tiba-tiba pindaan perlembagaan dibuat.

"Prinsip, etika dan moral ini berbeza dari undang-undang, jadi bolehkah ketika musim yang sepatutnya ada pemilihan dan pertandingan, pimpinan tertinggi parti mengusulkan kepada ahli untuk pinda perlembagaan. Adakah ini bermakna pada masa akan datang perkara yang sama juga boleh dilakukan untuk mewujudkan suasana pertandingan yang berpihak kepada pimpinan tertinggi parti,” katanya.

Tambahnya, undang-undang akan kekal sebagainya undang-undang tetapi ia juga boleh digunakan dengan cara yang tidak membawa kepada keadilan.

"Bunyinya agak pelik sikit, manipulasi makna keputusan itu ikut undang-undang tapi kita rasa macam ‘a bad taste in the mouth’. Apa yang dimaksudkan di sini ialah kalau kita lihat apa yang hendak dibuat sekarang, mereka nak cuba pinda perlembagaan tapi kena jadi isu.

"Isunya ialah kerana ini adalah musim pemilihan kalau bukan musim pemilihan itu tidak menjadi masalah,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca