HARI ini UMNO akan mengadakan satu Perhimpunan Agung Khas bagi melakukan pindaan perlembagaan parti itu seiring dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang berlangsung Mac lalu.
PAU 2021 telah meluluskan usul agar Perlembagaan UMNO membabitkan penggal pentadbiran dipinda dari tiga tahun kepada enam bulan selepas setiap pilihan raya umum (PRU).
Sudah tentu pindaan itu akan diluluskan dengan mudah kerana majoriti perwakilan yang hadir nanti adalah pemegang jawatan sama ada di peringkat pusat, bahagian, cawangan dan sayap-sayap parti, yang kesemuanya telah tamat tempoh perkhidmatan.
Dengan kata lain, proses meminda perlembagaan parti ini dibuat oleh mereka yang mempunyai kepentingan diri sendiri agar tidak hilang jawatan atau perlu bertanding lagi.
Namun, satu hal yang perlu difahami adalah pindaan perlembagaan itu juga tidak semestinya boleh diguna pakai sebaik diluluskan kerana Perkara 11, Akta Pendaftar Pertubuhan 1966 mengkehendaki sebarang perubahan aturan-aturan (perlembagaan) pertubuhan perlu mendapat kebenaran pendaftar terlebih dahulu.
Oleh sebab kuasa meluluskan pindaan perlembagaan itu terletak kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), agensi itu perlu memperhalusi selok-belok perundangan.
Tidak mustahil ada ahli UMNO yang tidak bersetuju dengan pindaan tersebut akan menyaman ROS sekiranya pindaan itu dibenarkan.
Soal keabsahan pindaan perlembagaan UMNO pasti akan berbangkit kerana ia dibuat ketika semua pemegang jawatan dalam parti sama ada di peringkat pusat, bahagian atau cawangan telah tamat penggal sejak Ogos 2021 dan hanya bertindak sebagai caretaker.
Adakah mereka mempunyai legitimasi untuk membuat perubahan besar kepada perlembagaan parti?
Walaupun Akta Pertubuhan 1966 tidak menyatakan bagaimana sesebuah persatuan boleh dikendalikan setelah pemegang jawatan melepasi tempoh penggal mereka, namun ROS harus mengambil kira prinsip umum dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagi jawatan yang dipegang melalui pemilihan, semangat Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan ahli-ahli Dewan Rakyat harus menjadi panduan.
Fasal 55 (3) menyatakan – "Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.”
Isyarat daripada Perlembagaan Persekutuan ialah selepas tamat tempoh maksimum sesuatu penggal pentadbiran, mereka yang memegang kuasa melalui pemilihan lalu tidak seharusnya membuat apa-apa keputusan membabitkan undang-undang, peraturan, mahupun pindaan perlembagaan.
Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan PRU mesti dibuat dalam tempoh 60 hari Dewan Rakyat terbubar.
Namun, Akta Pertubuhan tidak seteliti Perlembagaan Persekutuan, ia tidak menyatakan berapa lama penangguhan pemilihan boleh dibuat. Ia bergantung kepada perlembagaan parti dan budi bicara ROS.
Dalam masa kita tidak boleh mempertikaikan kuasa budi bicara penangguhan pemilihan, namun persoalan mengenai kuasa meminda perlembagaan yang dibuat oleh mereka yang telah luput tempoh penggal pentadbiran harus dibahaskan dengan teliti.
Malah, ROS juga perlu membuat keputusan sama ada meletakkan tempoh penggal pentadbiran secara subjektif kepada enam bulan selepas PRU sebagai sesuatu yang boleh diterima pakai dalam undang-undang.
Bagaimana sekiranya satu PRU diadakan lagi selepas dua tahun PRU sebelumnya. Apakah pemilihan UMNO juga perlu dibuat sebegitu rupa?
Pindaan tersebut bukanlah segala-galanya buruk. Ia juga membawa maksud baik untuk mengurangkan kemelut politik dalaman parti tersebut menjelang PRU.
Bagaimanapun, jika terdapat mana-mana pihak yang tidak berpuas hati membuat permohonan semakan kehakiman di mahkamah bagi menghalang ROS meluluskan pindaan tersebut, maka ia boleh mengambil masa yang panjang.
Pada masa sama, UMNO berada dalam risiko pengharaman atau penggantungan jika melepasi tarikh maksimum penangguhan pemilihan pada Disember ini.
* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca