FILIPINA telah mengadakan Pilihan Raya Presiden pada 9 Mei lalu dan Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr berjaya memperoleh lebih 30.8 juta undi dalam keputusan tidak rasmi, lebih 97 peratus undian daripada pencabar berdasarkan kiraan pada 10... Klik di sini untuk terus membaca

FILIPINA telah mengadakan Pilihan Raya Presiden pada 9 Mei lalu dan Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr berjaya memperoleh lebih 30.8 juta undi dalam keputusan tidak rasmi, lebih 97 peratus undian daripada pencabar berdasarkan kiraan pada 10 Mei.

Pencabar terdekatnya, Naib Presiden Leni Robredo memperoleh 14.7 juta undi, manakala bekas petinju sensasi, Manny Pacquiao hanya mampu memperoleh tempat ketiga dengan 3.5 juta undi.

Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr, anak kepada bekas Presiden Filipina ke-10, Ferdinand Emmanuel Edralin Marcos Sr yang dianggap sebagai seorang diktator. Beliau telah mentadbir Filipina dari 1965 hingga 1986, melaksanakan perintah darurat dan undang-undang tentera.

Pentadbiran Marcos telah dicemari dengan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia, penyelewengan wang dan kemiskinan sehingga menyebabkan protes besar-besaran pada 1986 yang menyaksikan berjuta-juta orang turun ke jalan untuk membantah secara damai. Protes itu dikenali sebagai Revolusi Kuasa Rakyat atau Revolusi EDSA.

Akhirnya pentadbiran Marcos telah digulingkan dan keluarganya termasuk Bongbong yang berusia 28 tahun ketika itu terpaksa meninggalkan kediaman rasmi presiden, Istana Malacanang dan melarikan diri ke Hawaii.

Bagaimanapun pada 1991, keluarga Marcos telah dibenar kembali ke Filipina setelah kematian pemimpin itu pada 1989.

Sejak itu, Bongbong bersama ibunya, Imelda Marcos telah kembali berkecimpung dalam politik dan berusaha membina semula rangkaian politik keluarga Marcos. Imelda telah dipilih ahli Kongres Filipina selama empat penggal, sementara Bongbong turut menjadi ahli Senator Filipina dan kemudian sebagai Gabenor wilayah Ilocos Norte iaitu kawasan di kubu kuat keluarga Marcos.

Persoalannya, bagaimana Bongbong berjaya meyakinkan majoriti penduduk Filipina untuk melantik beliau sebagai Presiden Filipina dan mengembalikan keluarga Marcos ke Istana Malacanang?

Pertama, hampir lebih separuh pengundi terdiri daripada mereka berusia antara 18 hingga 30 tahun yang tidak pernah hidup di bawah pentadbiran Marcos. Pengundi muda hanya membaca daripada buku sejarah dan media mengenai pentadbiran Marcos.

Selain itu, Bongbong telah berusaha memulihkan nama ayahnya dengan menyatakan kononnya pentadbiran Marcos adalah zaman keemasan Filipina dan pelaksanaan undang-undang tentera telah membawa ketenteraman.

Kedua, kekecewaan kebanyakan penduduk Filipina terhadap pentadbiran presiden-presiden pasca Marcos.

Impian dan aspirasi penduduk Filipina bahawa pentadbiran selepas Marcos akan membawa reformasi dan perubahan tidak tercapai. Malah, jurang pendapatan dan kadar kemiskinan masih kekal.

Ketiga, populariti Bongbong meningkat akibat gandingan bersama Sara Duterte sebagai calon Naib Presiden.

Sara merupakan anak perempuan Presiden Filipina, Presiden Rodrigo Duterte dan bekas Datuk Bandar Davao.

Keempat, para pemimpin yang pernah berjuang menjatuhkan Marcos Sr pada 1986, sama ada telah meninggal dunia atau terlalu uzur untuk menghalang kebangkitan semula keluarga Marcos.

Persoalan seterusnya, bagaimana dasar luar Filipina khususnya hubungannya dengan Malaysia di bawah pentadbiran Bongbong?

Sehingga kini ramai masih tidak mengetahui hala tuju dasar luar yang Bongbong akan terajui kerana beliau enggan menyertai debat-debat politik pra pilihan raya dan tidak menyatakan dengan jelas hala tuju dasar luar Filipina sekira beliau terpilih menjadi Presiden.

Namun, beliau dijangka meneruskan dasar luar ketika pentadbiran Duterte.

Hubungan Filipina-Malaysia juga dijangka tidak mengalami perubahan yang drastik. Filipina tidak akan menggugurkan tuntutannya ke atas Sabah walaupun Filipina sedar kedaulatan Malaysia ke atas Sabah telah diterima oleh masyarakat antarabangsa dan sukar untuk dipertikaikan.

Namun, tiada mana-mana Presiden Filipina yang sanggup menggugurkan tuntutan ke atas Sabah demi menjaga kepentingan kedudukan politik masing-masing termasuk Bongbong.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca