SABAN hari kita membaca kisah pertelingkahan antara orang Islam di serata dunia. Malah, senario sama juga berlaku di Malaysia. Umat Islam tidak lagi menjadi model dalam sikap berkasih sayang, bertolak ansur dan saling faham-memahami antara... Klik di sini untuk terus membaca

SABAN hari kita membaca kisah pertelingkahan antara orang Islam di serata dunia. Malah, senario sama juga berlaku di Malaysia. Umat Islam tidak lagi menjadi model dalam sikap berkasih sayang, bertolak ansur dan saling faham-memahami antara satu sama lain.

Adakah perpaduan dalam Islam hanyalah retorik semata-mata dan tidak mempunyai justifikasi di dalam agama? Ironinya, perpecahan sesama orang Islam seolah-olah menjadi norma dalam kehidupan, sedangkan agama Islam menitikberatkan perpaduan.

Fenomena itu sebenarnya tidak boleh dikaitkan dengan agama Islam langsung kerana Islam tidak menganjurkan umatnya berpecah.

Islam telah menyediakan jalan penyelesaiannya sebagaimana dalam surah Al Nisa ayat 59 bermaksud: "Kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) ALLAH dan (sunnah) rasul-Nya. Jika kamu benar-benar beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”Amin Al-Jarumi dalam bukunya, Bicara Ad Din Mutiara Kehidupan Beragama menjelaskan terdapat empat elemen penting perlu diberikan penekanan bagi penyatuan umat Islam seluruh dunia iaitu akidah tunggal yang sempurna, syariat Islam dikuatkuasakan, persaudaraan berdasarkan keimanan dan keislaman serta cita-cita bersama.

Jelas beliau, umat Islam perlu bersatu di bawah akidah sama dan sempurna. Keseluruhan sistem ibadat, muamalat, munakahat, jenayah dan hukuman perlulah berpaksikan kepada akidah sempurna itu. Malah, menguatkuasakan syariat Islam yang sama akan dapat mengelak umat Islam daripada meniru-niru orang lain dalam menjalani kehidupan. Syariat Islam itu mencakupi pelbagai sistem yang anjal, boleh disesuaikan dalam apa juga keadaan dan masa. Ukhuwah dalam kalangan umat Islam berteraskan keimanan dan keislaman amat dipentingkan. Masyarakat Islam juga mesti mempunyai cita-cita sama iaitu mengembalikan hak orang Islam mengamalkan agama mereka termasuklah di negara luar seperti Palestin, Iraq, Afghanistan dan lain-lain negara Islam.

Empat elemen tersebut adalah resipi kepada perpaduan umat Islam. Namun, umat Islam sering dilihat berbalah kerana masing-masing mengatakan merekalah yang benar dan pihak satu lagi itulah yang salah.

Seharusnya piawaian yang telah disediakan al-Quran iaitu berbalik kepada kitab ALLAH dan sunnah rasul-Nya jika berlaku perbalahan hendaklah menjadi parameter yang diambil bagi menyelesaikan kemelut serta masalah antara umat Islam.

Tuntutan perpaduan dalam Islam dapat direalisasikan melalui kerjasama antara yang kuat dan lemah, orang kaya dan orang miskin, berkongsi kegembiraan dan kesusahan, bertukar-tukar ucapan tahniah dan menyebarkan salam. Malah, perdamaian atau sulh juga amat dianjurkan Islam.

Muhammad Abu Zahrah dalam kitabnya, Al Wihdah Al Islamiyah menggariskan dalam konteks persaudaraan Islam – orang Islam hendaklah menyelesaikan pertikaian dalaman tanpa sebarang pergaduhan, konflik atau tamak haloba kepada kuasa dan kekayaan.

Perkara itu amatlah jelas kerana bagi mencapai negara baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur (negara yang baik dan ALLAH mengampuninya), perpaduan antara umat Islam adalah paksi yang perlu ditegakkan. Tiadalah gunanya jika sesebuah negara itu kaya tetapi umat Islamnya terlalu mementingkan diri sendiri dan bersengketa. Hal itu akan hanya menjadikan negara berkenaan rapuh dan tidak dapat bertahan dengan desakan serta tekanan orang luar.

Malah, tekanan bagi mengekang pelaksanaan undang-undang berteraskan agama juga tidak akan dapat dipertahankan kerana umat Islam itu sendiri begitu sibuk dengan persengketaan.

Umat Islam tidak boleh hanya menoleh ke belakang mengimbau apa yang telah berlaku, sebaliknya perlu juga melihat ke hadapan meneliti keperluan umat dan berjuang untuk masa hadapan lebih baik. Biarlah sejarah menjadi sempadan kepada semua dan kita sama-sama mengukir sejarah kegemilangan Islam pada masa akan datang.

Bagi yang mempunyai kuasa, hendaklah melaksanakan kuasa dengan amanah, manakala yang tidak mempunyai kuasa hendaklah akur kepada perintah orang yang berkuasa selagi ia tidak bercanggah undang-undang dan agama.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca