SATU perkembangan menarik yang diharap akan menghasilkan kesudahan yang baik kepada Felda berlaku beberapa hari lalu pada 11 Mei.
Anak syarikat milik penuh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) iaitu FIC Properties Sdn Bhd (FICP) telah memberi notis kepada PT Rajawali Capital International (RCI) dan PT Rajawali Corpora (RC) untuk melaksanakan put option ke atas pe-laburannya dalam PT Eagle High Plantation Tbk (EHP).
Dengan menguatkuasakan put option itu, FICP berharap mendapatkan balik modal sebanyak AS$505.4 juta (kira-kira RM2.2 bilion) yang dilaburkan pada 2017 bagi membeli 37 peratus saham ladang kelapa sawit Eagle High di Indonesia.
Sejak itu hingga kini, Felda dianggarkan telah rugi atas kertas kira-kira RM2 bilion apabila harga saham Eagle High jatuh merudum di Bursa Saham Indonesia.
Felda dilaporkan membayar premium 96 peratus atas harga pasaran apabila membeli saham Eagle High pada harga 850 rupiah sesaham – satu penilaian harga tidak masuk akal dan menimbulkan persoalan mengenai tujuan tersembunyi urus niaga itu.
Sekarang terbuktilah apa yang dibimbangkan dan dikritik itu. Harga saham Eagle High jatuh dan perniagaannya rugi. Jumaat lalu, nilai saham Eagle High di Bursa Saham Indonesia tinggal 72 rupiah.
Dengan memilih melaksanakan perjanjian jual balik itu, Felda berharap dapat memperoleh semula pelaburan tersebut bersama faedah terkumpul enam peratus setahun.
Syarat put option selalunya dimasukkan ke dalam perjanjian jual beli saham apabila pelabur kurang yakin dengan prestasi syarikat dibelinya atau penjual bercadang membeli balik saham yang dijual.
Ada laporan media massa dan analisis pasaran saham mengatakan konglomerat Rajawali, milik tauke Cina Indonesia, Tan Sri (Kehormat) Peter Sondakh menjual 37 peratus saham Eagle High kepada Felda bagi mencari wang untuk membayar hutang.
Opsyen itu mensyaratkan PT Rajawali Capital International atau PT Rajawali Corpora membeli balik 37 peratus saham Eagle High milik Felda itu dengan harga AS$505.4 juta (kira-kira RM2.22 bilion) pada kadar faedah enam peratus setahun mulai 11 Mei 2017.
Dalam tempoh pemilikan oleh Felda itu, Eagle High hampir-hampir tidak pernah membuat keuntungan daripada ladang-ladangnya.
Persoalannya, sama ada Sondakh bersedia dan mampu membayar balik lebih RM2 bilion kepada Felda?
Dia boleh mengelak atau melambatkan urusan tersebut dengan mengemukakan kepada timbang tara antarabangsa atau cara-cara lain.
Yang boleh sedikit sebanyak menyedapkan hati kita adalah Sondakh mempunyai banyak harta dan pelaburan di Malaysia.
Suka atau tidak, kita tidak dapat lari daripada membebankan tanggungjawab konspirasi ini ke atas pihak-pihak yang terlibat memaksa Felda membuat pelaburan buruk itu.
Sejak itu beberapa penyiasatan audit dan laporan polis telah dibuat ke atas Felda dan anak-anak syarikatnya bersabit pelbagai pelaburan meragukan dan merugikan.
Awal tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mendapati bekas Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bersalah atas sembilan tuduhan menerima rasuah RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak.
Selain pelaburan dalam Eagle High dan pelaburan-pelaburan lain yang meragukan atau rugi, aset-aset Felda juga diambil bagi melakukan Tawaran Awam Permulaan (IPO) ke atas FGV Holdings Berhad pada tahun 2012.
Kesimpulannya, adalah menjadi harapan kita yang kerugian dan kelemahan kewangan Felda akibat manipulasi serta rasuah dapat diatasi sekali gus, walaupun ramai peneroka Felda sendiri tidak sedar atau tahu kerosakan yang dilakukan ke atas organisasi mereka. Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca