BELALANG tertarik untuk menyentuh tentang satu fenomena baharu yang kini sedang melanda dan melibatkan kita semua sejak dunia diserang wabak covid-19, iaitu tentang tempat kerja. Majoriti daripada warga kerja dunia sejak dua tahun ini... Klik di sini untuk terus membaca

BELALANG tertarik untuk menyentuh tentang satu fenomena baharu yang kini sedang melanda dan melibatkan kita semua sejak dunia diserang wabak covid-19, iaitu tentang tempat kerja.

Majoriti daripada warga kerja dunia sejak dua tahun ini bekerja dari rumah. Pertama kerana arahan lockdown dan yang kedua kerana tidak selamat untuk bekerja secara berpasukan di tempat kerja kerana ancaman Covid-19.

Selepas dua tahun dan dunia memperoleh vaksin secara menyeluruh dan memasuki fasa endemik, dengan jumlah pesakit dan kematian semakin menurun, warga kerja khususnya pekerja kolar putih masih enggan kembali ke tempat kerja atau pejabat.

Maka, ini menjadi satu fenomena baharu. Sementara mereka berasa tidak apa untuk keluar ke kedai atau pasar raya membeli-belah dan menjalani kehidupan normal sepertimana biasa, pada masa yang sama merasakan kembali bekerja di pejabat sebagai tidak lagi normal.

Ini kerana perkembangan teknologi dan pelbagai aplikasi baharu seperti Zoom dan Teams memberi ruang kepada pekerja untuk bekerja dari rumah dan berkomunikasi menerusi aplikasi berkenaan.

Namun ia turut menyumbang kepada permasalahan baharu.

Antaranya, persekitaran pejabat jadi lesu dan sunyi kerana tiada orang dan aktiviti ekonomi serta pengangkutan awam tidak berkembang dan bergerak.

Inilah yang sedang berlaku di United Kingdom (UK) sekarang apabila Perdana Menteri, Boris Johnson terpaksa membuat seruan kepada kakitangan awam agar kembali bekerja di pejabat.

Bagaimanapun selepas dua tahun bekerja dari rumah, pihak kesatuan sekerja membantah seruan berkenaan.

Mereka mahu diberi hak untuk memilih sama ada bekerja dari rumah atau pejabat.

Johnson berhujah, produktiviti menjadi lebih efisien apabila seorang pekerja bertugas dalam suasana pejabat dan berinteraksi dengan rakan sepejabat secara fizikal.

Beliau memberi contoh apabila seseorang kakitangan itu bekerja dari rumah, dia mempunyai kecenderungan untuk beristirahat sekejap atau menonton televisyen atau membuka peti sejuk untuk membuat sandwic.

Kecenderungan kedua ialah untuk mengambil masa yang panjang atau santai menyiapkan tugasan kerana tiada gesaan secara berhadapan daripada ketua sepertimana di pejabat.

Johnson juga berkata, apabila sebahagian besar kakitangan awam memutuskan untuk bekerja dari rumah, sistem perkhidmatan pengangkutan awam lumpuh dari hari Isnin hingga Jumaat kerana ketiadaan penumpang.

Britain yang memiliki rangkaian pengangkutan awam antara yang terbaik di dunia kini mendapati hasil pendapatannya merosot kerana tiada penumpang yang berulang alik dari rumah ke pejabat.

Sementara kedai-kedai makan dan kedai kopi pula turut merasai kesan daripada fenomena baharu itu kerana tiada pekerja yang masuk untuk makan tengah hari berikutan ramai yang hanya makan di rumah kerana tidak keluar ke tempat kerja − sekali gus melumpuhkan sistem ekonomi bandar.

Di Malaysia pun sama. Ada rakan sepejabat yang sudah berbulan-bulan tidak bertemu muka kerana fenomena kerja dari rumah ini masih diguna pakai.

Jadi sementara kehidupan lain sedang kembali normal sepertimana sebelum Covid-19, masih ada amalan yang belum kembali normal.

Fenomena tempat kerja adalah salah satu darinya.

Belalang - Sentiasa menyesuaikan diri mengikut kehendak semasa....

Klik di sini untuk terus membaca