KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyerahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk mengambil keputusan sama ada membuangnya daripada parti, sekiranya tindakan kontroversinya bertemu dengan pemimpin pembangkang baru-baru ini dianggap melanggar amalan demokrasi.
Menegaskan pertemuan dengan pemimpin parti-parti pembangkang negeri Kelantan dalam majlis berbuka puasa di rumahnya di Kota Bharu pada bulan lalu adalah satu perjumpaan ‘kasual’, Tengku Razaleigh turut menolak dakwaan beliau sedang merancang menghimpunkan sokongan bagi menyingkirkan Pas daripada pentadbiran Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Secara peribadi, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li tidak melihat agenda pertemuan itu sebagai satu isu besar, sebaliknya ia sekadar satu perbincangan politik biasa dengan kebanyakan pemimpin pembangkang berkenaan juga merupakan kenalannya.
"Ini negara demokrasi, semua perkara kita boleh bincang di mana-mana tempat termasuk di kedai kopi. Bagi saya, pertemuan itu (dengan pemimpin parti pembangkang) sekadar perbincangan politik biasa dengan tiada isu besar mengenainya.
"Kalau MKT UMNO rasa mereka hendak buang saya (disebabkan kontroversi pertemuan itu), terpulanglah. Saya lebih dahulu makan asam garam politik berbanding mereka,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Sinar Premium pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi kemungkinan bekas Menteri Kewangan itu dan parti-parti pembangkang di Kelantan termasuk Parti Amanah Negara (Amanah) sedang merangka kerjasama politik untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Pas melalui PRU15.
Desas-desus itu timbul susulan pertemuan dalam sebuah majlis berbuka puasa antara Tengku Razaleigh dan beberapa pemimpin Kelantan, termasuk bekas Ketua Amanah Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah dan Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan.
Gambar majlis itu dimuat naik pemimpin Amanah Kelantan, Muhammad Husain, yang berkata pemimpin negeri dari pelbagai parti dan NGO di Kelantan turut menghadiri majlis itu.
Berikutan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan tindakan kontroversi Ku Li itu adalah di luar pengetahuan parti dengan MKT UMNO dan pengurusan Biro Politik parti bakal membincangkan perkara itu dalam mesyuarat akan datang.
Mengulas lanjut, Ku Li turut mendedahkan pertemuan dengan pemimpin pembangkang di rumahnya itu adalah lanjutan daripada pertemuan awal melibatkan pemimpin daripada DAP, Pejuang dan Amanah di pejabatnya di sini beberapa minggu sebelum itu.
Jelas Ku Li, sewaktu pertemuan kali pertama itu berlangsung, beliau akui kelompok pemimpin pembangkang itu ada memohon bantuannya untuk membantu menjayakan kempen menjatuhkan kerajaan negeri Pas di Kelantan pada PRU15.
Berikutan itu, beliau menegaskan cadangan membentuk kerjasama politik di Kelantan datangnya daripada pemimpin pembangkang, bukan melibatkan pihaknya.
"Lalu saya menjawab, saya konsisten melawan Pas sejak dahulu lagi. Bagaimanapun, perancangan ini perlu bergantung kepada keputusan ketua-ketua parti masing-masing bagi menentukan sikap sebenar mereka terhadap usaha itu.
"Kalau mereka betul-betul bersatu, kerah tenaga dan menyokong antara satu sama lain, maka sesiapa sahaja termasuk Pas akan jatuh. Tetapi kalau mereka yang hadir dalam pertemuan itu sahaja berkeyakinan Pas boleh tumbang, perkara itu tidak akan jadi realiti.
"Namun, saya ingin tegaskan tidak pernah kemukakan sebarang cadangan kerjasama politik dengan parti pembangkang, sebaliknya ia dikemukakan kelompok pemimpin berkenaan.
"Saya hanya kata, kalau hendak berpakat, pakat betul-betul. Kalau dapat restu daripada pimpinan parti masing-masing, jadi bolehlah kita berbincang secara serius...Itu sahaja pandangan diberikan saya,” ujarnya dengan tegas.
Klik di sini untuk terus membaca