GENTING GAZA - Pada 10 Mei tahun lalu, wilayah Gaza diserang oleh Israel yang ketika itu berada di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sehingga menyebabkan lebih 259 penduduk Palestin terkorban.
Pertempuran sengit antara rejim Zionis dengan pejuang Palestin selama 11 hari berakhir selepas gencatan senjata dimeterai melibatkan Hamas pada 21 Mei 2021.
Setelah gencatan senjata itu dimeterai, Mesir dan Qatar masing-masing menjanjikan lebih AS$400 juta (RM1.7 bilion) untuk tujuan pembangunan semula Gaza.
Banyak bantuan dijanjikan untuk pembangunan semula selepas rejim Zionis menghentikan kempen pengeboman mereka.
Sebahagian sumbangan itu turut disalurkan terus kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) untuk membaiki serta membina semula rumah penduduk Palestin.
Kira-kira 50,000 rumah di Gaza telah rosak susulan pengeboman tentera Israel, manakala infrastruktur elektrik, sistem kumbahan dan air turut dibom oleh rejim Zionis.
Ketika itu, kebanyakan penduduk Palestin terpaksa mendapatkan perlindungan sementara di sekolah-sekolah sebelum kembali pulang ke rumah masing-masing.
Bagaimanapun, setelah konflik itu tamat, adakah pembangunan semula Gaza sedang pesat berjalan?
Sebenarnya pembangunan semula di Gaza hampir dibekukan gara-gara pentadbiran Israel yang mengawal sempadan utara wilayah yang ditadbir oleh Hamas itu.
Israel wajar dipersalahkan kerana sengaja melengah-lengahkan projek pembangunan semula di wilayah tersebut.
Setiausaha Rendah Kementerian Kerja Raya dan Perumahan untuk Gaza memberitahu The New Humanitarian, Naji Sarhan bahawa pembinaan semula hampir ditangguhkan sepenuhnya kerana Israel melaksanakan sekatan ke atas kemasukan dana dan bahan pembinaan ke Gaza.
Sejak beberapa tahun lalu, Israel telah mengenakan langkah ketat itu secara sewenang-wenangnya walaupun dikecam kumpulan hak asasi manusia.
Ia adalah kerana bahan binaan asas itu dikhuatiri akan digunakan untuk tujuan pertempuran kerana rejim Zionis menganggap Hamas sebagai pertubuhan ‘pengganas’ sama seperti sekutu rapatnya, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Barat.
Ekoran label pengganas diberikan kepada Hamas, sudah pasti rejim Tel Aviv berasa curiga dengan Hamas yang mentadbir Genting Gaza sejak 2007.
PROJEK PERLAHAN
Pembinaan semula masih belum bermula kerana Israel dikatakan turut membekukan penghantaran barangan penting yang diperlukan untuk kerja-kerja memulihkan semula infrastruktur pembekalan air dan sistem kumbahan di Gaza.
Sekatan sama juga dilakukan ke atas alat ganti dan elektromekanikal, sekali gus memburukkan lagi keadaan infrastruktur di wilayah Palestin itu.
Perkara itu diakui oleh Gisha iaitu sebuah organisasi hak asasi manusia Israel yang memantau kebebasan bergerak untuk penduduk Palestin.
Setakat ini, Qatar hanya menyumbangkan lebih AS$9 juta (RM39.58 juta) daripada AS$500 juta (RM2.1 bilion) yang dijanjikan.
Jumlah bantuan yang diberikan negara itu telah digunakan untuk membaiki kira-kira 100 unit rumah dan 12 bangunan kediaman serta jalan raya yang rosak teruk.
Sarhan menyatakan bahawa projek Mesir berjalan dengan baik, namun kerja-kerja yang dilakukannya dianggap sebagai projek pembinaan dan bukannya pembangunan semula Gaza.
Proses pembinaan semula Gaza yang perlahan turut memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Kadar pengangguran di wilayah itu mencecah lebih 45 peratus dan kebanyakan penduduk terpaksa bergantung kepada bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup sejak pendudukan Israel pada 1967.
Keadaan tersebut dapat dilihat apabila ada penduduk yang menggunakan bantuan kewangan UNRWA untuk menyewa dan membaiki rumah selepas ia dimusnahkan serangan bom Israel.
Walaupun rumah penduduk di Gaza masih belum dibaiki lagi, majoriti penduduk bimbang jika wilayah tersebut sekali lagi menjadi sasaran bedilan rejim Zionis.
Para pegawai Gaza turut mendakwa Israel sengaja memberi tekanan kepada mana-mana penyumbang yang mahu membantu pembangunan semula Gaza. Sejak perang berakhir setahun yang lalu, keadaan di Gaza masih lagi teruk dengan kerugian material mencecah lebih AS$400 juta (RM1.75 bilion) akibat kekejaman Israel.
Klik di sini untuk terus membaca